Aizat ditemani ibu, kakak sepanjang lima hari berada di bumi yang pernah membawa kejayaan kepada rakan seangkatannya, Mila.
TANGGUNGJAWAB yang tergalas di bahu anak muda ini cukup besar untuk membawa nama negara ke persada antarabangsa. Semestinya tekanan juga tambah berlipat kali ganda dirasakan penyanyi bernama Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan memandangkan teman seangkatan, Mila Jirin berjaya mengharumkan nama negara di Festival Muzik Pop Antarabangsa ke 17 Discovery, di Varna Bulgaria, tahun lalu.
Dengan trek rekod kerjaya penyanyi berusia 20 tahun itu sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini, ramai berkeyakinan jejaka yang turut berkebolehan mencipta lagu ini mampu mengulangi kejayaan Mila tahun lalu.
Ditemani ibu dan kakak sepanjang lima hari berada di sana, anak muda ini sama seperti insan biasa yang lain tidak mampu menyembunyikan perasaan gementar. Pada waktu sama menyimpan harapan dan berfikiran positif dua buah lagu sentuhannya, Lagu Kita yang dicalonkan untuk kategori Lagu Terbaik dan Hanya Kau Yang Mampu bagi kategori Persembahan Terbaik bakal memikat hati juri.
“Aizat berharap dua buah lagu hasil ciptaan sendiri akan memberi kelebihan kepada Aizat. Mungkin dengan mempertaruhkan hasil karya sendiri sedikit sebanyak memikat juri dan seterusnya dapat menyumbang markah yang lebih.
“Aizat melihat peluang dan kepercayaan yang diberikan ini dari sudut yang positif. Aizat yakin 100 peratus mampu bersaing dengan peserta dari negara lain dan untuk memastikan kata-kata Aizat itu saya harus lakukan yang terbaik. Memang tidak dapat Aizat nafikan, kejayaan yang dicatat Mila tahun lalu sedikit sebanyak memberi tekanan pada Aizat.
“Bagaimanapun lagi menakutkan sesuatu perkara itu, lagi seronok pula Aizat rasakan. Aizat seorang yang sukakan cabaran kerana ia membuatkan Aizat tambah berkobar-kobar,” katanya.
Ditanya mengenai pemilihan Lagu Kita dan Hanya Kau Yang Mampu untuk dipertaruhkan pada pertandingan itu nanti, Aizat berkata, dia yang memilih lagu itu kerana ia cukup istimewa berikutan hasil sentuhannya sendiri. Kedua-dua buah lagu itu turut mendapat sambutan baik daripada peminat serta kejayaan Lagu Kita yang menempa tempat ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini.
Biarpun lagu itu sering dibawakan di pelbagai majlis, anak muda ini tidak mahu mengambil mudah dengan mengabaikan latihan sebagai persediaan untuk berhadapan dengan peserta dari lebih 40 buah negara.
“Dari segi persiapan, Aizat akan cuba menjaga suara dan kesihatan. Walaupun sudah biasa menyanyikan dua buah lagu itu, Aizat masih memerlukan latihan, tak boleh nak goyang kaki saja. Aizat perlu kaji perspektif penonton di sana kerana penerimaan penonton tidak sama.
“Ketika persembahan nanti, Aizat akan jadi diri Aizat yang sebenar sama seperti mana di sini. Bagaimanapun, Aizat akan cuba lakukan sesuatu untuk lebih menonjol ketika persembahan nanti. Di samping itu, Aizat akan berusaha untuk mempromosikan Malaysia kepada delegasi lain,” katanya lagi.
Kerjaya Aizat baru bermula
JIKA orang lain berpendapat kerjaya anak muda ini semakin menyinar, Aizat pula berpendapat kerjayanya baru hendak bermula. Kejayaan yang diraih setelah hampir setahun bergelar anak seni katanya hanyalah 1.2 peratus saja.
Kejayaan menempatkan diri ke final AJL, dicalonkan dalam senarai Top 5, Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 dan meraih kejayaan dalam Anugerah Industri Muzik ke-16 apabila menggenggam trofi Album Pop Terbaik, bukan bermakna dia sudah berjaya dan boleh mendabik dada.
“Perjalanan Aizat masih jauh, Aizat anggap semua ini sebagai rezeki. Aizat tidak merasakan kerjaya sudah berada di puncak sedangkan kerjaya Aizat sebenarnya baru nak bermula. Aizat masih perlu banyak belajar lagi dan berjumpa dengan lebih ramai orang lagi,” katanya yang menafikan semakin angkuh berikutan perkembangan positif kerjayanya.
“Aizat tidak pernah berubah, Aizat masih seperti dulu. Siapa yang kata Aizat semakin meninggi diri? Setahu Aizat layanan yang diberikan kepada semua orang sama saja,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: