DALAM menampilkan kepelbagaian kepada penonton setia saluran Dunia Ria, TV2 sempena sambutan Hari Ibu yang diraikan seluruh golongan Hawa bergelar ibu mengajak penonton berhibur dengan tiga filem berturut-turut yang pastinya diyakini mampu membuatkan seisi keluarga terhibur malah sarat dengan pengisian berguna terutama dalam menghargai golongan yang begitu dimuliakan status mereka ini.
Pasti kelainan yang ditonjolkan kerana selain menghidangkan filem dan drama Melayu terbaik, sempena sambutan Hari Ibu kali ini penonton berpeluang menyaksikan variasi filem yang disiarkan merangkumi filem Inggeris, Cina dan Hindustan disiarkan tiga malam berturut-turut mengisi slot tontonan ramai iaitu bermula Stepmom (6 Mei), jam 10.00 malam mengisi slot Cinema@2, Lavender (7 Mei), jam 10.00 malam dalam slot Golden Dragon dan Mother India (8 Mei), jam 12.00 malam mengisi slot Friday Night Movie@2.
Dibintangi pelakon popular, Julia Roberts yang menyandang watak Isabel, Stepmom bermula dengan kemunculannya sebagai ibu tiri yang tidak dialu-alukan oleh dua orang anak teman lelakinya, Luke (Ed Harris). Kedua-dua anak tirinya, Anna (Jena Malone) dan Ben (Liam Aiken) masing-masing berusia 12 dan tujuh tahun melakukan pelbagai cara untuk memastikan usaha Isabel untuk memenangi hati mereka tidak kesampaian. Apatah lagi ketika itu juga, bekas isteri Luke, Jackie (Susan Sarandon) mula memainkan peranan bekerjasama dengan anak-anaknya itu. Konflik bermula apabila kedua-dua wanita ini berlumba-lumba untuk memenangi hati kedua-dua anak mereka itu.
Lavender menyusul kemudiannya dengan membawakan elemen plot cerita menarik Angle (Takeshi Kaneshiro) yang ’sakit’ namun dia perlukan sebuah cinta sejati untuk terus hidup. Ketika itu Angel bertemu dengan gadis cantik bernama Anthena (Kelly Chan) yang juga yang mengalami tekanan jiwa setelah kematian kekasihnya, Andrew.
Sejak itu, Angle memutuskan untuk menyintai Anthena demi memperoleh cinta sejati dan cuba untuk membuatkan gadis itu melupakan kekasihnya buat selama-lamanya. Hingga akhirnya Anthena mula jatuh hati terhadap karisma yang ditunjukkan oleh Angle sepanjang percutian mereka sama-sama menjelajah ke Eropah. Pastinya sepanjang siarannya, anda akan terhibur menyaksikan filem garapan pengarah terkenal, Riley Yip ini. Selain dua pelakon terkenal ini, Lavender turut membariskan pelakon Eason Chan Yik-Shun dan Cheng Pei-Pei.
Malah dalam mengembalikan nostalgia filem lama turut disiarkan Mother India arahan Mehboob Khan yang cukup diminati sekitar tahun 1957 dalam menghargai jasa dan pengorbanan seorang wanita bergelar ibu. Penonton diajak berkongsi kisah wanita bernama Radha (Nargis) dalam mengharungi kehidupan yang dibelenggu kemiskinan di kampungnya. Dugaan hidup Radha bermula setelah dirinya berkahwin dengan pemuda dikenali Shamu (Raaj Kumar) di mana ibu mentuanya meminjam wang daripada seorang yang berpengaruh di kampungnya, Sukhilala untuk melangsungkan perkahwinan mereka. Kemudiannya tanggungjawab digalas oleh mereka untuk melangsaikan hutang itu.
Kesukaran hidup mula membelenggu hidup Radha apabila ibu dan suaminya meninggal dunia. Ketika itu Radha sedaya upaya membesarkan anak-anaknya, Birju (Sunil Dutt) dan Ramu (Rajendra Kumar) hingga keduanya-duanya menginjak dewasa. Namun malangnya, Birju membesar sebagai seorang yang pemarah dan suka memberontak. Dia cuba untuk menentang kekuasaan Sukhilala dan bertindak mahu menghapuskan lelaki yang suka melakukan penindasan terhadap masyarakat miskin itu. Lalu bagaimanakah kesudahannya?
Jangan lupa saksikan program menarik sempena Hari Ibu di TV2.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: