![]() EMPAT anak muda ini sibuk menyusun langkah mengembangkan kerjaya seni selepas menjuarai Gang Starz, tahun lalu. |
One Nation Emcees maju setapak lagi apabila tubuh syarikat sendiri
SUDAH lebih lapan bulan kumpulan One Nation Emcees bergelar juara program realiti Gang Starz. Namun, sehingga hari ini, kumpulan terbabit nampaknya belum pun muncul dengan album sendiri. Mereka juga belum meletup di radio dengan mana-mana single.
Bagaimanapun, ia bukan bermakna kumpulan yang dianggotai empat anggota ini sudah berkubur setelah menggenggam kejuaraan pada tahun lalu. Sebaliknya mereka kencang memenuhi pelbagai undangan mengadakan persembahan, daripada TV3 sendiri mahupun penganjur luar.
Sering kali diundang menjayakan persembahan sempena Karnival Jom Heboh oleh stesen televisyen berkenaan, kumpulan ini juga tidak pernah dilupakan jenama Hotlink apabila karnival terbabit dianjurkan.
Pada masa yang sama, Shamimi Amalina Norhisham (Mimi), 23, Fareezan Murtaza (Kozae), 27, Norzaidi Edris (Zydee), 27, dan Hasan Baias (Jojoe), 34, sibuk menyusun langkah membina empayar sendiri dalam memastikan jejak yang dimulakan dengan Gang Starz tidak akan terpadam begitu saja.
Dalam diam, empat anak muda ini menubuhkan syarikat O.N.E Nation Emcees Sdn Bhd bagi mengukuhkan lagi nama kumpulan terbabit di arena seni.
![]() |
Malah, bagi mempermudahkan lagi kerja pengurusan A&R mereka, One Nation Emcees melantik Zaijaluddin Abdul Jalil (Jai) sejak beberapa bulan lalu, untuk memikul tugas berkenaan. Cukup kena pada masanya, apabila kumpulan itu sendiri sudah pun mula merakamkan beberapa lagu untuk dimuatkan dalam album sulung.
"Kami pernah dilamar beberapa syarikat rakaman, tetapi pada masa yang sama kami turut mendengar nasihat orang lama dalam industri. Mereka berkata, jika kami ingin memperjuangkan genre muzik yang benar-benar kami suka, sebaiknya One Nation Emcees mempunyai syarikat sendiri. Ia membolehkan kami mengawal muzik yang seharusnya kami ketengahkan menerusi jenama kumpulan ini," ujar Mimi.
Mengeluarkan perbelanjaan sendiri hasil pembabitan kumpulan itu dalam persembahan sebelum ini, serta wang tunai dimenangi pertandingan terbabit, mereka berazam muncul dengan sebuah album mini sebelum tirai 2009 dilabuhkan.
"Ketika ini, kami hanya menunggu waktu untuk menerbitkan single pertama berjudul Raja Gelek, ciptaan kumpulan ini bersama Damian VE. Lagu ini berentak rancak serta mempunyai gabungan elemen muzik hip hop dan irama Melayu kita. Dengan percantuman irama sedemikian, kami berharap lagu itu tidaklah nanti sama dengan kebanyakan lagu hip hop sedia ada.
![]() |
| Mimi |
"Pada awalnya, kami agak bimbang untuk merakamkan Raja Gelek, risau kerana takut dikatakan kumpulan ini mengagungkan irama Bollywood. Namun apabila siap dirakam dan didengar semula, kami berasa cukup lega kerana ia sebenarnya lebih berbaur keMalaysiaan," kata Jojoe pula sambil memberitahu, mereka yakin lagu itu mampu membuatkan peminat berasa seperti hendak bergoyang sama sebaik saja mereka mendengarnya.
Kumpulan itu juga sudah merancang penerbitan single kedua sebaik saja single pertama melekat di hati peminat. Berjudul Bisikan Cinta, lagu kedua lebih kepada irama balada.
"Berbeza dengan single pertama, Bisikan Cinta nyata lebih serius bunyinya," celah Kozae.
Sehingga hari ini, sudah tiga lagu dirakamkan One Nation Emcees, manakala dua lagi lagu sudah pun berada dalam genggaman mereka. Kumpulan itu cuma menunggu waktu sesuai untuk memasuki studio rakaman, seterusnya melangsaikan baki lagu yang ada.
"Daripada dua lagu terbabit, sebuah daripadanya memungkinkan kami berduet bersama seorang penyanyi terkenal tempatan, manakala lagu kedua pula bakal menyaksikan kami menyanyikan lagu etnik daripada Sabah.
“Lagu etnik negeri itu dipilih kerana tiga daripada empat anggota kumpulan ini berasal dari sana, manakala Mimi sendiri belajar selama empat tahun di Sabah," kata Mimi yang menegaskan, pemilihan lagu etnik itu juga dibuat berikutan permintaan peminat mereka dari Negeri Di Bawah Bayu, di samping muncul sebagai usaha kumpulan berkenaan untuk lebih mendekatkan diri bersama peminat yang setia memberikan sokongan.
Ditanya, siapakah pemuzik atau individu yang banyak membantu One Nation Emcees untuk terus maju dalam bidang itu, kata Zydee, selain Damian, mereka juga berterima kasih kepada komposer Azmeer dan penerbit di TV3, Sufian Isa, yang banyak menolong kumpulan itu mencari arah betul dalam langkah mereka menelusuri arena muzik yang kian mencabar.
Bakal lancar laman sesawang sendiri
SEBAIK saja mereka mempunyai syarikat sendiri, One Nation Emcees turut berasakan kumpulan itu seharusnya mempunyai laman sesawang yang memudahkan peminat mengikuti perkembangan karier seni kumpulan terbabit.
Lalu, mereka mewujudkan laman www.onenationemcees.com yang diharap dapat dilancarkan bersama-sama dengan album sulung, tidak lama lagi.
"Menerusi laman web ini, peminat dapatlah melihat sendiri perkembangan terkini kumpulan kami, di samping mendapatkan maklumat peribadi setiap anggota, melihat koleksi gambar, mendengar serta memuat turun lagu, di samping sama-sama membabitkan diri dalam forum," kata Mimi.
Ketika ini, laman web terbabit masih lagi berada dalam peringkat pembinaan.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: