BUAT kali pertama, produser gigih, David Teo, enggan mengumumkan jumlah kutipan filem seram terbarunya, Jangan Tegur. Sebelum ini, kecil atau besar kutipan yang dilakukan filem keluaran Metrowealth Movies Production, dia akan tetap berkongsi cerita mengenai jumlahnya bersama orang ramai.
Namun, kali ini penerbit berkenaan memilih untuk merahsiakan kutipan filem seram arahan Pierre Andre itu. Filem berkenaan mula ditayangkan di 64 panggung termasuk Brunei, mulai 9 April lalu. Ketika dihubungi Rabu lalu, David memberitahu, filem berkenaan masih ditayangkan buat minggu keempat.
David mempunyai alasan sendiri untuk berbuat demikian. Jelasnya, dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu baik, lebih elok dia tidak mengumumkan jumlah kutipan filem terbabit bagi mengelakkan pihak lain ‘terasa’.
Bagaimanapun, dia menegaskan, filem terbabit mencatat pungutan yang memuaskan hatinya serta sudah pun melepasi jumlah modal yang dikeluarkan. Cuma, katanya, dia ingin mengambil sikap ‘low profile’ bersama judul seram berkenaan.
Menurut laman web Finas, selepas tamatnya tempoh wajib tayang filem lakonan Nadia Mustafar, Julia Ziegler, Pierre Andre, Almy Nadia, Ellie Suriaty dan Azri Iskandar itu, ia berjaya memungut RM2.57 juta, hasil tayangan di 57 panggung di seluruh Malaysia.
Filem yang mendapat publisiti meluas akibat ‘kehilangan’ pengarahnya ketika proses pasca produksi filem itu giat berlangsung, muncul filem tempatan paling tinggi kutipannya sejak dua bulan lalu.
Selepas filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula keluaran Les’ Copaque mencatat kejayaan besar dengan kutipan RM6.3 juta apabila ia mula ditayangkan pada penghujung Februari, filem lain seperti Rasukan Ablasa, Jin Hutan, Sayang You Can Dance dan Talentime gagal memungut kutipan memberangsangkan.
Ketika ini, filem kedua arahan Syamsul Yusof, Bohsia, ligat ditayangkan di hampir 50 panggung.
Menurut David, selepas Jangan Tegur, beberapa lagi filemnya akan memasuki panggung pada tahun ini termasuk Syurga Cinta lakonan Awal Ashaari, Heliza dan Haziq Tom Tom Bak pada 21 Mei dan Jangan Pandang Belakang Congkak lakonan Lan Pet Pet, Cat Farish dan Shaheizy Sam dan Lisa Surihani yang akan menemui penonton pada Jun depan.
"Jangan Pandang Belakang Congkak baru saja mendapat tarikh wajib tayang iaitu pada 4 Jun ini. Saya akan tetap menayangkan filem keluaran Metrowealth, walaupun ramai penerbit lain mengelak daripada menayangkan produk mereka pada waktu itu kerana bimbang bertembung dengan filem besar dari Hollywood.
"Metrowealth pula menerbitkan banyak judul. Lalu, tidak sedap rasanya kalau kami memerap filem itu. Jadi, apabila ada waktu yang baik, kami menayangkan filem berkenaan untuk hiburan peminat semua. Pada musim Aidilfitri nanti, kami mungkin akan menayangkan pula Senario Episod II - Beach Boys, diikuti filem aksi arahan sulung Farid Kamil, Remp-It V3," katanya.
Buat ketika ini, kata penerbit itu, syarikatnya sedang menunggu waktu sesuai untuk memulakan dua lagi projek filem mereka. Filem pertama adalah dalam kategori aksi yang bakal muncul filem kedua arahan Farid. Ia dijangka menelan belanja lebih besar dengan kisah yang menjuruskan kepada samseng kongsi gelap.
Manakala pengarah yang cukup sinonim dengan filem terbitan David, Ahmad Idham pula akan turun padang buat kesekian kalinya, kali ini mengarahkan filem pertamanya dalam genre drama. Biarpun menyedari filem dalam kategori itu agak sukar untuk dijual di pawagam, tetapi penerbit ini nekad menghasilkannya demi memperkayakan genre filem keluaran mereka.
"Saya amat sedar mengenai risiko yang bakal ditanggung filem berbentuk drama, tetapi kami akan tetap menerbitkannya dengan matlamat penyertaan ke festival filem, di samping memperbanyakkan genre filem terbitan Metrowealth," kata David.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: