Datin Seri Tiara Jacquelina akui cabaran pentaskan Puteri Gunung Ledang tidak seteruk jadi pengetua Akademi Fantasia.
RABU lalu, Datin Seri Tiara Jacquelina meluangkan masa ke butik Guess di premis beli-belah terkemuka Kuala Lumpur, Pavilion. Jenama antarabangsa pilihan ramai itu antara kesukaan Tiara tatkala melakukan terapi membeli belah.
Malah hubungan baik yang terjalin di antaranya dan FJ Benjamin, kepala syarikat yang menaungi pelbagai jenama termasuk Guess itu sudah lima tahun berlanjutan.
Lalu, bukanlah sesuatu yang pelik sekalipun bagi wanita yang cukup terkenal dengan watak Gusti Puteri Retno Dumilah itu menjejaki gedung beli belah popular itu. Sambil berseloroh di awal bicaranya, membeli belah pasti menyeronokkan kepada sesiapa pun termasuk dirinya yang cukup dikenali bijak bergaya ketika berada di hadapan khalayak.
Kala bersua muka dengannya, perubahan paling ketara yang jelas kelihatan ialah mengenai berat badannya yang semakin menurun. Dalam sibuk memilih pakaian yang sesuai sambil mengerut dahi memberi isyarat keliru yang mana satu sesuai, terpacul perkataan stres di bibirnya.
Seloroh Tiara penuh makna, mementaskan teater kebanggaannya, Puteri Gunung Ledang pun tidak seteruk tugas yang dipikulnya kini di Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7).
Bukan merungut, tetapi akui wanita bersemangat waja ini, tempoh 10 minggu di AF7 untuk melahirkan ikon yang dilaungkan seiring transformasi yang dicanang bukanlah semudah yang disangka. Malah katanya lagi, dia dan tenaga pengajar yang lain termasuk produksi AF7 sedang gigih memastikan baki pelajar yang tinggal, Hafiz, Akim, Yazid, Claudia, Isma dan Aishah mengikut arah yang diingini.
“Syarat yang saya pernah timbulkan sebelum ini adalah antara kriteria yang diperlukan kepada mereka yang ingin bergelar superstar untuk terus tegar berada di dalam industri. Saya sedar bukan mudah untuk mereka memenuhi apa yang dimahukan itu, lalu, kalau mereka dapat mencapai skala 15 peratus pun sudah bagus bagi saya.
“Faktor masa yang singkat dan sering mengejar kami di Akademi ada kalanya ia turut menjadi beban. Pelajar yang tinggal pun masih mentah dan ukuran kehebatan mereka masing-masing bersifat subjektif. Bayangkan ada di antara mereka tidak pernah langsung mengetahui mengenai istilah laman google, Youtube dan MTV.
“Tekanan yang saya alami sekarang tiada kena mengena langsung dengan ‘usikan’ pihak media kerana saya tahu rakan wartawan melunaskan kerja yang perlu mereka bereskan. Tekanan luar tidak boleh saya layan sangat kerana kalau nak memuaskan hati semua orang memang mustahil. Saya bukan penyampai radio atau penata gaya yang boleh menentukan lagu atau gaya apa yang mereka bakal persembahkan,” katanya tulus.
Berbalik kepada tujuannya ke butik itu ia bukanlah untuk membeli-belah demi kepuasan sendiri, sebaliknya, kali ini Tiara hadir dengan satu misi yang perlu disempurnakan. Pelakon yang pernah membintangi Ringgit Kasoorga ini perlu membeli-belah untuk anak didiknya di AF7.
Menurut Tiara, apa yang dilakukan itu sebahagian daripada proses transformasi yang ingin dilihat berlaku kepada pelajarnya. Katanya, pemilihan jenama itu sesuai dengan cita rasa untuk menjadikan mereka sebagai bintang muda yang trendy, segar, funky dan nampak muda.
“Dengan pilihan yang ada dan kerjasama F1 Benjamin dan Guess, saya mahu melihat mereka mempraktikkan gaya sebegini yang sesuai untuk dipakai hari-hari dan bukan untuk tujuan membuat persembahan. Apa yang saya lakukan ini bagi memastikan imej bintang yang dapat membezakan mereka dengan orang biasa.
“Saya sendiri antara penggemar jenama ini dan yakin semangat yang ada pada rekaan jenama ini mampu menampilkan mereka dengan penuh bergaya. Mereka kena nampak sentiasa terkini dan yang pastinya tidak nampak tua daripada usia sebenar.
“Untuk pelajar perempuan tak saya nafikan apa yang dipilih untuk mereka bergantung kepada selera saya sendiri. Saya sendiri suka rekaan yang mempunyai perincian ‘bling-bling’. Sebenarnya pelajar saya sendiri tidak tahu mereka akan melalui proses transformasi ini kerana kalau yang mengikuti diari AF7, saya ada mengambil ukuran mereka untuk tujuan ini sedang mereka fikir saya mahu mengukur berat badan mereka,” katanya sambil tertawa.
Sementara itu, Pengurus Divisyen Komunikasi Pemasaran FJ Benjamin, Cindy Lee, berkata pihaknya tidak keberatan untuk bekerjasama dan memberi sokongan kepada AF7 apatah lagi inisiatif ini dilakukan Tiara sendiri yang cukup rapat dengan kami.
Kata Cindy, semua bermula apabila Tiara menghubunginya untuk mendapatkan kerjasama dan tajaan.
“Kami teruja untuk tujuan ini dan sebagai premis yang mementingkan gaya, kami juga mahu melihat bakal bintang AF7 nanti tampil dan hadir dengan pakej lengkap termasuk hebat menyanyi dan pandai menarik perhatian melalui cara bergaya. Kami yakin jenama ini bersesuaian dengan apa yang ingin dibuktikan Tiara,” kata Cindy.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: