KEBOLEHAN rakyat Sabah dalam bidang nyanyian memang tidak boleh disangkal menerusi deretan nama gah yang menjadi sebutan dewasa ini. Kini, berupayakah mereka menguasai dunia lakonan tanah air?
Meluangkan masa menyaksikan ujibakat program realiti televisyen `Pilih Kasih' selama dua hari di 1Borneo, Kota Kinabalu, Sabah, hujung minggu lalu, boleh disimpulkan bahawa cabang seni itu turut dimiliki anak Sabah - walaupun ada sesetengahnya bagaikan 'kaku' beraksi di hadapan dua nama unggul iaitu Rosyam Nor dan Erma Fatima selaku juri.
Rosyam yang bertindak sebagai penerbit program `Pilih Kasih' merangkap Pengarah Urusan Syarikat Suhan Movies Trading Sdn Bhd berkata, rancangan itu akan menjadi pelantar ke arah pencarian pelakon benar terbaik bagi memeriahkan industri perfileman negara.
"Saya akan menggabungkan ilmu yang ada bersama produksi tenaga kerja bagi menerbitkan dan menjayakan program ini, khususnya mencari pelakon berbakat. Kekuatan Pilih Kasih terletak kepada barisan penerbitannya yang berpengalaman luas dalam industri pembikinan filem, drama, dokumentari dan video," katanya.
Hujung minggu 25 dan 26 April lalu menyaksikan 202 individu dari seluruh pelosok Sabah bertandang mencuba nasib - Kota Kinabalu, Tawau, Tuaran, Papar, Penampang, Sandakan dan Kota Belud. Malah, had usia 18 hingga 35 tahun tidak menghalang peserta yang terkeluar dari lingkungan itu memberanikan diri mendekati urusetia supaya diberi peluang mencuba.
Pencarian di Kota Kinabalu merumuskan 57 orang layak ke pusingan seterusnya, sekali gus meletak harapan sekurang-kurangnya ada yang lolos untuk menjadi 20 finalis yang dicari.
Ada yang ketara gementarnya, ada yang mengundang tawa walaupun adegan dilakonkan adalah situasi serius yang dipenuhi kemarahan dan ada yang didorong emosi hingga jatuh berguling dari pentas ke lantai - segalanya atas nama `lakonan semata-mata'.
Nurul Aqidah Abdul Rahim, 22, dari Kota Belud, memberanikan diri mencuba kerana mahu keluar dari kepompong rendah diri yang mencengkamnya selama ini.
"Saya mendapat tahu mengenai uji bakat ini selepas dimaklumkan oleh adik. Dia cabar saya mencuba sebab dia tahu saya tak berani. Rasa rendah diri saya begitu tebal ketika di sekolah menengah kerana saya sedar tubuh saya gemuk, kulit saya gelap dan muka saya berjerawat.
"Alhamdulillah, saya berjaya mengubah penampilan dan mungkin itu yang mendorong langkah saya ke sini. Ahli keluarga tidak tahu saya masuk ujibakat. Entah bagaimana saya jadi yakin dan berani menaiki pentas sedangkan saya tak pernah berlakon, malah ketika di sekolah saya cuma aktif bersukan," katanya.
Baridah Ibrahim, 25, dari Kampung Air, Semporna, berkata statusnya sebagai isteri dan ibu bukan penghalang untuk mencuba nasib.
"Saya minat berlakon dari sekolah lagi dan suami juga memberi galakan," katanya.
Radika Kalbie, 21, dari Kampung Batu 2, Tawau, mengakui gementar sebaik memijak pentas tetapi perasaannya berubah apabila dapat menjiwaii skrip pendek yang diberi ketika ujibakat.
Bakat jadi keutamaan
BAGI Rosyam, 'Pilih Kasih' mengutamakan bakat mengatasi paras rupa kerana matlamatnya ialah mencari pelakon berbakat dan memiliki karisma bagi memenuhi ketandusan industri lakonan.
"Perubahan perlu dilakukan dalam industri seni lakon di negara ini kerana saya perhatikan sambutan penonton terhadap filem tempatan agak suram.
"Kita ada ramai pelakon hebat tetapi persoalannya mengapa filem tempatan tidak mendapat sambutan menggalakkan? Mana silapnya?
"Justeru, matlamat utama menghasilkan program realiti televisyen ini adalah mencari pelakon yang baik dari segi mutu lakonan dan keadaan itu dengan sendirinya akan menjadikannya bintang.
"Bukan mudah melahirkan bintang yang mampu bertahan lama dan menjadi sebutan tanpa mencungkil bakat mereka di peringkat awal. `Pilih Kasih' mahu menjadi jawapan ke arah membentuk pelakon serba boleh yang memenuhi kriteria diperlukan dalam mana-mana drama atau filem yang kita terbitkan khas untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM)," katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Turut hadir pelakon, pengarah dan penerbit Erma Fatima.
Mengenai kekuatan kandungan program terbitannya itu, Rosyam berkata, beliau mahu berkongsi cerita dan pengalaman sebagai pelakon, sekali gus menunjukkan kepada masyarakat luar bahawa kerjaya sebagai pelakon adalah jalur pekerjaan yang baik jika dilakukan dengan jujur.
Program Pilih Kasih juga akan melatih bakat terpilih hingga menjadi pelakon yang memebuhi kriteria yang diingini dalam filem Kekasih arahan Bade Azmi.
Ia mengekalkan format program realiti lain yang mana paparan perjalanan aktiviti harian pelajar disiarkan menerusi jurnal harian pada Isnin hingga Jumaat sepanjang 12 minggu selama 30 minit di TV2 dengan Telekom Malaysia (TM) selaku penaja utamanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: