SELEPAS tiga minggu mengadakan sesi uji bakat bermula 4 April lalu, program realiti pertama membabitkan bidang lakonan, Anak Wayang menerima hampir 100 peserta yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam program yang akan memulakan siaran pertamanya pada 22 Mei depan.
Daripada 100 peserta yang layak untuk ke sesi saringan seterusnya, 30 peserta datangnya dari Johor Bahru, Pulau Pinang (20) dan Lembah Klang (50). Mereka juga akan dinilai sehingga penganjur menapis seramai 50 peserta untuk peringkat separuh akhir dan hanya 25 peserta yang akan meneruskan program realiti ini.
Pengarahnya, Hisyamuddin Sehan berkata, sesi uji bakat yang diadakan di tiga lokasi menerima ramai peserta yang begitu berminat di dalam bidang lakonan.
“Sambutan yang diterima begitu mengagumkan namun untuk mendapatkan peserta yang memenuhi kehendak kita tidak banyak. Ada beberapa peserta yang pernah diuji bakat di Johor dan Pulang Pinang turut mencuba nasib di Shah Alam.
“Kita mencari peserta yang mempunyai pakej yang lengkap dalam bidang lakonan, bukan saja bakat yang diperlukan iaitu mampu melakukan pelbagai emosi dan watak tetapi memiliki penampilan dan imej yang baik,” katanya yang ditemui pada sesi uji bakat yang diadakan di Hotel Quality, Shah Alam baru-baru ini.
Program Anak Wayang yang berkonsepkan program realiti dan drama bersiri secara serentak akan berlangsung selama 10 minggu bermula 22 Mei depan.
Penerbitnya, Noor Haina Itam berkata, ia turut dibahagikan kepada dua saluran Astro yang akan menyiarkan program ini iaitu Ria dan Prima.
“Program realiti akan disiarkan melalui saluran Ria bermula Isnin, Selasa dan Rabu yang akan memaparkan diari peserta manakala Jumaat adalah pentas Anak Wayang. Ia akan disiarkan satu jam bermula 9.30 malam.
“Sementara melalui Astro Prima pula, drama bersiri yang akan dilakonkan oleh peserta yang berjaya akan disiarkan bermula Isnin sehingga Jumaat selama satu jam bermula jam 8.30 malam.
“Setiap minggu lima peserta berbeza akan diberikan watak dan peserta yang berjaya boleh disaksikan lakonan mereka menerusi drama yang akan disiarkan melalui Astro Prima.
“Bererti sebanyak 50 drama akan dihasilkan melalui program ini serentak dengan program ini tamat selama 10 minggu. Pada minggu ke 10 iaitu sebaik drama terakhir disiarkan di Prima, penonton boleh terus menukar saluran Ria untuk menyaksikan secara langsung program akhir realiti Anak Wayang menentukan pemenangnya.
“Untuk memudahkan penonton mengundi peserta setiap minggu mereka boleh menyaksikan menerusi Astro Prima dulu dan beralih kepada Ria,” katanya.
Anak Wayang akan dihoskan pelakon berpengalaman yang pernah merangkul gelaran Bintang Harapan Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-17 iaitu Nur Fazura Sharifuddin yang akan digandingkan dengan Pelakon Lelaki Terbaik FFM ke-20, Rusdi Ramli bakal melihat peserta bertanding untuk memegang lima watak iaitu jururawat, mekanik, pengelola majlis, gangster dan setiausaha menerusi drama bersiri 50 episod berjudul Kecuali Cintamu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: