Thursday, May 21, 2009

Borak Lokasi: Banyak 'bermain' cahaya untuk suasana suram


MESKIPUN sudah 13 tahun bertugas sebagai jurukamera, telefilem Sucilah Hati adalah pengalaman pertama Zamri Paimin (Zam), 32, bekerjasama dengan pengarah terkenal, Murali Abdullah.

Tentunya, tugasan pertama ini memberi cabaran kepada Zam untuk memastikan hasil kerjanya menepati kehendak pengarah yang banyak memenangi anugerah antaranya Drama dan Pengarah Terbaik menerusi Anugerah Skrin 2008 melalui drama Suara Saleha.

"Sebelum ini saya banyak bekerjasama dengan Rashid Sibir sekitar 1998 hingga 2004 sebelum beralih bidang. Antara drama yang pernah saya jayakan, Seruling Kasih dan Rebah Di Pintu Neraka.

"Justeru, sudah semestinya cara kerja mereka berdua berbeza. Bagaimanapun, perbezaan itu adalah perkara biasa kerana dalam mana-mana produksi, kerjasama antara pengarah dan jurukamera teramat penting.

"Kedua-dua pihak ini perlu sentiasa berbincang shot dan 'mood' bagaimana diinginkan untuk menghasilkan visual terbaik. Rasanya tidak sukar untuk bekerjasama dengan Murali kerana dia faham tugas jurukamera kerana dulu dia juga pernah berada di tempat saya.

"Namun, pengalaman dan kepakaran dimilikinya itu membuatkan dia lebih teliti daripada kebanyakan pengarah lain. Rasa selesa dan seronok bekerjasama dengan Murali kerana dia juga seorang yang terbuka dan sudi mendengar idea kru," katanya.

Kata Zam, dia banyak bermain dengan cahaya bagi mendapatkan suasana suram kerana Sucilah Hati mengisahkan kehidupan daif dua beranak, Faez dan ayahnya.

"Dalam keadaan cuaca panas, ada kalanya memberi kami sedikit masalah sehingga kru produksi terpaksa menunggu cuaca redup sedikit sebelum penggambaran diteruskan. Ada beberapa babak saya terpaksa menggunakan mini Jimmy Jib khususnya bagi merakamkan babak dari sudut yang tinggi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: