Thursday, May 21, 2009

Borak Lokasi: Razak pengganti M Rajoli?


LAZIMNYA sebelum sesuatu watak diserahkan kepada pelakon, pengarah terlebih dulu mengkaji apakah watak yang diberikan itu bersesuaian atau tidak dengan karakter pelakon.

Barangkali, raut wajah serta latar belakang agama Razak Ahmad, menyebabkan dia menjadi pilihan paling tepat membawakan watak wali yang menjelmakan dirinya sebagai Kamal.

"Pada usia menjelang Maghrib (tua) ni, eloklah juga berlakon watak ustaz, orang alim atau imam masjid walaupun saya tiada masalah untuk membawakan apa jua peranan. Sekurang-kurangnya, di samping berlakon ia mengingatkan saya pada jalan kebenaran.

"Saya tidak kisah dengan jolokan bakal menjadi pengganti M Rajoli. Bahkan berbangga kerana tidak semua orang boleh membawa watak ini.

"Mungkin saya menjadi pilihan pengarah kerana sedikit kelebihan atau latar belakang agama keluarga saya. Lagipun, lakonan adalah punca rezeki, jadi tidak perlulah saya memilih," katanya.

Razak menambah, Kamal adalah watak misteri atau boleh dianggap sebagai wali yang wujud untuk menyedarkan Faez, anak derhaka, budak nakal dan terbabit dengan gejala merempit.

Untuk merapati Faez, Kamal meminta kerja sebagai penggali kubur sama sepertinya.

"Namun, Faez sering melayannya dengan kasar. Pernah kepalanya berdarah akibat dibaling batu oleh Faez. Pun begitu, Kamal tetap tidak melawan sehingga terdetik di hati pemuda itu Kamal bukan manusia biasa.

"Sejak kejadian itu, timbul sedikit keinsafan di hatinya. Namun, perbuatan Faez mengheret dirinya dalam satu permasalahan apabila melanggar bapanya sendiri hingga meninggal dunia ketika melarikan diri dari pada pihak berkuasa gara-gara terbabit dalam perlumbaan haram.

"Bermula dari kejadian itu, penonton dapat melihat perubahan watak Kamal yang selama ini penyabar menjadi antagonis. Dengan adanya Kamal juga membongkar kehidupan lampau bapanya sehingga wajah menjadi cacat, tragedi yang menyebabkan ibunya meninggal dunia serta menjadi miskin," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: