Thursday, May 21, 2009

Adik manja versi 2009


KEHADIRAN pelakon Dharma Harun Al Rashid dalam bidang hiburan tempatan masih diingati walaupun wajahnya jarang kelihatan di TV dan layar perak. Hakikatnya, pelakon berusia 52 tahun ini tidak dapat lari daripada bayangan filem Adik Manja yang pernah ditayangkan pada 1980.

Filem arahan Othman Hafsham ini menyaksikan Dharma bergandingan bersama Noor Kumalasari sebagai pelakon utama. Menariknya, filem bergenre komedi dan cinta ini, berjaya meraih tiga anugerah di Festival Filem Malaysia pertama yang diadakan pada tahun sama. Filem ini menang anugerah Skrip Terbaik, Filem Komedi Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Adibah Amin.

Kata Dharma, kejayaan filem ini sesuatu di luar jangkaan hingga ia mencatatkan kutipan tertinggi filem Melayu ketika itu. Walaupun harga tiket pada masa itu hanya RM2, sambutan penonton memberangsangkan dengan kutipan RM3.5 juta.

“Selepas 29 tahun filem ini berlalu, ingatan penonton sebenarnya masih kuat. Atas alasan itu, Dharma mengambil keputusan menghasilkan filem versi baru, Adik Manja Returns.

“Ke mana saya pergi, peminat yang bertemu masih ingat filem Adik Manja. Mereka suka dengan filem itu dan bertanyakan kepada saya, mengapa tidak kembali berlakon dan menghasilkan kembali filem versi baru Adik Manja?

“Jika dilihat pada judul filem baru yang ingin saya buat kali ini, Adik Manja Returns, ia sudah memberikan tarikan tersendiri kepada penonton. Pada saya, filem asal yang lalu menjadi masterpiece untuk rujukan filem baru ini.

“Sebelum ini, saya sebenarnya masih aktif dalam bidang hiburan, tetapi banyak memberi tumpuan pada kerja belakang tabir iaitu menulis skrip. Pada 1998, saya menghasilkan telemovie, Tiga Hari Empat Malam diikuti Bodyguard (2000). Ada beberapa skrip drama baru yang sudah saya siapkan, tetapi belum ditayangkan.

“Apabila memikirkan saya mampu menulis skrip, saya juga terfikir mengapa tidak hasilkan filem baru yang diarahkan saya sendiri. Filem Adik Manja Returns menjadi pilihan kerana penonton suka dengan filem asal filem itu,” katanya.

Mengenai sambutan yang bakal diterima, Dharma tidak menafikan setiap produser mahupun pengarah mengharapkan filem sendiri berjaya dengan kutipan tertinggi. Bagaimanapun, dia yang turut bertindak sebagai produser untuk filem baru ini yang diterbitkan di bawah produksi sendiri, Adik Manja Sdn Bhd percaya ia bergantung pada nasib.

“Saya berharap filem ini menjadi, tetapi ia juga kuasa Tuhan yang menentukan sama ada berjaya atau tidak. Untuk versi baru, saya ingin fokuskan pada kehidupan pelajar kolej yang saya gambarkan lebih ‘inovatif’. Kenakalan pelajar ini menjadi tarikan kepada penonton untuk mengetahui plot cerita ini dengan mendalam.



“Dalam memberi kelainan, saya turut tampilkan adegan remaja menari hip hop dan shuffle. Pada pandangan saya, adegan ini suatu yang menarik untuk dipertontonkan kerana masyarakat masa kini juga mempunyai perasaan ingin tahu apakah aktiviti yang remaja suka lakukan.



“Adegan ini menjadi elemen hiburan yang penting kepada filem ini. Dalam pada itu, saya turut mengadakan pertandingan antara dua tarian popular ini,” katanya.

Filem ini masih menggunakan watak asal Cikgu Azmi yang dilakonkan Dharma di samping pelakon lain seperti Rozita Che Wan, Scha, Kencana Dewi, Faezah Elai, juara Pertandingan Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene, Rafidah Ibrahim (Fida) dan bekas pemenang kedua program realiti Raja Lawak 3, Nuur Jihan Musa. Sebagai tarikan, Dharma percaya kehadiran pelakon baru ini memberi kekuatan kepada filem ini.

Memberi makna pada filem ini, Timbalan Menteri kementerian, Datuk Joseph Salang Gandum hadir melancarkan filem ini yang diadakan di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Saya takut penonton tidak suka menonton filem ini jika menggunakan pelakon yang banyak kontroversi. Sebolehnya, saya mahu filem ini ‘bersih’ dari aspek kisah peribadi pelakon itu sendiri. Saya yakin kehadiran pelakon baru ini memberi kekuatan kepada filem saya kali ini.

“Dalam filem Adik Manja yang lalu, saya dan Noor Kumalasari juga adalah pelakon baru ketika itu, tetapi lakonan kami berjaya juga mendapat sambutan positif penonton. Penggambaran filem ini akan bermula pada 1 Julai nanti selama 45 hari di lokasi Universiti Multimedia, Cyberjaya.

“Saya percaya penonton yang pernah menyaksikan Adik Manja yang lalu pasti tertanya apa yang berlaku pada versi baru kali ini. Saya berharap filem ini dapat menarik minat penonton tidak kira peringkat umur hadir semula ke pawagam memeriahkan sambutan filem Melayu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: