Wednesday, May 20, 2009

Blogger Boy tonjol kelainan


SEBAHAGIAN pelakon dan krew Blogger Boy.

Elemen komik jadikan siri yang disiarkan di 8TV ini istimewa

SUDAH menjadi amalan syarikat penerbitan Red Communications Sdn Bhd untuk mengetengahkan sesuatu yang menjadi kegilaan semasa dalam filem mahupun siri keluaran mereka.

Jika Gol & Gincu yang diterbitkan beberapa tahun lalu menampilkan permainan futsal sebagai latar cerita, Kami pula mengetengahkan muzik kumpulan indie. Siri terbaru keluaran syarikat itu, Blogger Boy, sebagaimana yang dapat dilihat menerusi tajuknya, menampilkan penggunaan diari peribadi di internet itu sebagai latar.

Namun, berbeza dengan kebanyakan blog, Blogger Boy menonjolkan sedikit kelainan apabila weblog milik watak Budi atau Budak KL menggunakan lakaran kartun untuk menyampaikan isi hati. Kewujudan elemen komik menerusi blog terbabit menjadikan siri ini agak istimewa jika dibanding dengan siri sedia ada yang lain.

Kelainan itu boleh ditonton orang ramai apabila siri ini mula disiarkan 8TV pada 28 Mei, jam 9.30 malam. Diterbitkan oleh Lina Tan, ia ditulis Rafidah Abdullah dan diarahkan oleh Bernard Chauly, Khoo Teng Leang serta Fabian Wilfred Joseph. Drama bersiri ini dilakonkan Qi Razali, Nas-T, Julie Woon, Patrick Teoh, Sukania Venugopal, Bernice Chauly dan Sabrina Hassan.

Siri ini mengisahkan seorang pemuda, Budi (Qi) yang baru saja mendapat pekerjaan tetap di sebuah pusat tuisyen. Atas desakan ibunya, dia berhajat melamar teman wanitanya, Zehan (Sabrina), yang banyak berbudi kepadanya. Bagaimanapun, ketika dia cuba menyatakan niatnya, wanita itu mengeluarkan kad undangan menghadiri perkahwinannya kepada lelaki terbabit.

Budi seorang pemuda yang berbakat dalam lukisan komik. Namun dia tidak suka menghebahkan keupayaannya itu, sebaliknya menggunakan kebolehannya untuk meluahkan segala apa dirasa. Dia melukis komik di laman weblog miliknya, menggunakan nama Budak KL.

Dia mempunyai teman serumah, Kid (Nas-T), yang dikenali dengan sikap kaki perempuan. Budi tidak pernah berasa terancam dengan kawannya itu, sehinggalah dia ditemukan semula dengan rakan sekelasnya, Nina (Julie). Kid yang suka bertukar-tukar pasangan itu turut terpikat dengan wanita cantik yang kini mula mengubat luka di hati Budi.

Pada majlis pelancaran siri berkenaan di Mutiara Damansara baru-baru ini, wakil media berpeluang menonton dua episod pertama siri terbabit. Daripada dua episod yang dipertontonkan, Red Communications berkemungkinan besar menyaksikan sebuah lagi penerbitan mereka menjadi kesukaan ramai, sebagaimana penonton jatuh cinta pada siri Gol & Gincu dan Kami.

Kisah cinta muda-mudi masa kini yang disulam dengan penggunaan elemen terkini seperti blog dan komik manga atau manwha, disokong kehadiran pelakon muda yang berbakat, serta muzik yang segar, tidak mustahil meletakkan Blogger Boy antara siri pilihan penonton 8TV apabila ia ditayangkan nanti.

Qi yang menguji bakat lakonannya buat kali pertama, tidak menghampakan sebagai seorang pemuda kebanyakan, tetapi seronok untuk diperhatikan. Lakonannya bersahaja, dan menepati gambaran watak Budi.

"Saya memang menyimpan impian untuk berlakon. Apabila Red Communications meminta saya datang ke uji bakat, saya tidak melepaskan peluang berkenaan. Sebaik saja saya membaca dialog yang diberi, Lina berasakan sayalah watak yang dicari-cari. Saya juga nampaknya kena simpan misai dan janggut ini untuk beberapa ketika, apabila menjayakan watak terbabit," cerita anak muda yang juga pengacara Destinasi Bajet ini.

Berbeza dengan tugas pengacaraan yang memerlukannya sentiasa memandang kamera, kali ini Qi dilarang berbuat demikian. Begitupun dia mula berasakan keseronokan beraksi sebagai pelakon, yang seterusnya memungkinkan dia mencuba pelbagai lagi siri mahupun filem, jika berpeluang.

Katanya, watak Budi sendiri tidak jauh berbeza dengan dirinya beberapa tahun yang lalu. Lalu, sedikit persamaan itu memberikannya kelebihan untuk menjayakan siri terbabit dengan lebih baik. Dia juga nyata seronok bergandingan dengan Nas-T, yang banyak membantu menghidupkan sesuatu babak.

Menurut Lina, pertemuan antara mereka dengan Qi bagai sudah ditakdirkan. Bakat baru itu, katanya, memang ingin mencuba dunia lakonan dan teringin berlakon dengan produksi Red Communications. Sebelum Qi menghubungi mereka, nampaknya Lina dan pasukannya yang terlebih dulu menghubungi lelaki tadi.

"Kami memang mencari lelaki yang berwajah selamba dan boleh membuatkan penonton, terutama penonton wanita, cair serta mudah kasihan kepadanya. Watak Budi tidak boleh nampak ‘poyo’, sebaliknya menonjolkan karakter yang tulus dan ikhlas. Qi memiliki semua karakter ini," ujar Lina yang menerbitkan 23 episod bagi musim pertama siri terbabit.

Menyentuh penggunaan pelakon baru dalam produk mereka, seperti Qi dan Julie, Lina berkata, pada sesi uji bakat, ramai bakat yang datang.

"Dari situ, kita boleh melihat pelakon mana yang mampu mewakili karakter yang diperlukan, tidak kira lama atau baru. Apabila pelakon baru yang dilihat benar-benar serasi dengan sesuatu watak, maka ia menjadi rezekinya. Lagipun, kami gembira apabila beberapa bakat baru yang kami perkenalkan seperti Zahiril Adzim dan Zayanah Ibrahim mula mendapat perhatian," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: