Wednesday, May 20, 2009

Fragmen: Menilai baik, buruknya pertandingan nyanyian di TV

SELEPAS melalui pelbagai kritikan, ulasan, pandangan dan persepsi, program realiti Akademi Fantasia ketujuh (AF7) terbitan Astro menutup tirainya Sabtu lalu. Kita tetap menganggap itu adalah kejayaan bagi Astro. Sekurang-kurangnya segenap lapisan masyarakat di negara ini memberi perhatian terhadap program ini walaupun kebanyakan pandangan yang diterimanya berbentuk negatif.

Masyarakat berhak memberikan pandangan. Bagi kita AF adalah antara program TV biasa. Kelebihannya kerana ia diberikan publisiti yang meluas membuatkan program ini nampak gah atau hebat.

Astro pula bijak mengatur strategi dalam membuat hebahan, gimik, pemasaran, pengiklanan dan promosi untuk ‘menjual’ program itu kepada penonton atau pelanggannya.

Hakikatnya, AF antara beberapa program hiburan berbentuk pertandingan nyanyian yang diterbitkan oleh hampir semua stesen TV kita. Kita hanya nampak AF kerana cara dan pendekatannya yang menarik dan dianggap lain dari lain.

Sedangkan di TV3, ada pertandingan nyanyian seperti Gangstarz dan Mentor. Malahan sebelum ini pun, TV3 menganjurkan Sinaran Pasport Kegemilangan. Menerusi 8TV pula dianjurkan pertandingan One In A Million (OIAM) yang menggantikan Malaysian Idol, manakala ntv7 pernah mengadakan program Audition yang menggabungkan bakat lakonan dan nyanyian dan di TV9 pernah diadakan pertandingan Bintang Kecil iaitu program mencungkil bakat nyanyian di kalangan kanak-kanak.

RTM juga tidak terkecuali apabila mereka menerbitkan semula Bintang RTM. Malahan di RTM juga ada beberapa pertandingan nyanyian lain seperti Bintang Asli Remaja dan Bintang Klasik Nasional. Semua pertandingan ini kita anggap mempunyai matlamat yang sama iaitu mencungkil bakat dalam bidang nyanyian.

Apa yang membezakan antara satu sama lain ialah dari segi pendekatannya saja. AF memperkenalkan pendekatan baru iaitu mewujudkan segmen jurnal harian atau Diari AF yang memaparkan gelagat pesertanya di belakang tabir.

Kebanyakan gelagat peserta AF di belakang tabir inilah yang selalunya menjadi bahan kecaman penonton dan masyarakat. Tapi di sebalik kecaman dan kritikan itu juga, sebenarnya mempopularkan lagi AF kerana ia membuatkan program ini menjadi bualan orang ramai. Konsep jurnal ini yang menjadi sokongan kepada segmen utama sudah menjadi ikutan kepada program seumpamanya di stesen TV lain pula.

Sama ada ia relevan untuk diteruskan atau sebaliknya, ia tidaklah penting sangat. Sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan program hiburan biasa kerana kita percaya walau apa pun, ia tetap ada penontonnya.

Baik atau buruk, positif atau negatif program seperti ini sebenarnya agak subjektif. Ia bergantung kepada individu yang menyertai program ini. Stesen TV atau radio sekadar menyediakan ruang atau platform kepada orang ramai yang berminat untuk menonjolkan bakat mereka. Ada sesetengah peserta program ini pernah menyertai pertandingan nyanyian di pusat membeli belah, pertandingan karaoke atau pertandingan nyanyian anjuran kelab sosial di tempat kerja atau persatuan penduduk. Tiada pihak yang mempersoalkan pertandingan seperti ini sedangkan penyertaannya membabitkan mereka seumur 10 hingga 12 tahun lagi.

Namun, apabila pertandingan ini dianjurkan oleh stesen TV, maka elemen komersial dan glamor kenalah ada. Ia untuk membezakan dengan pertandingan nyanyian terbuka di dewan orang ramai atau ruang legar kompleks membeli belah.

Kalau diikutkan pertandingan seperti ini sudah dimulakan sejak kewujudan Radio Malaya pada tahun 50-an lagi menerusi Bintang Radio. Kita tidak dapat hendak bayangkan impak sosialnya kerana tidak melalui zaman itu tetapi sambutannya tentu meriah seperti pertandingan nyanyian pada zaman sekarang.

Pada tahun 70-an, RTM gah dengan Bintang RTM dan Bakat TV. Berdasarkan catatan dan laporan akhbar di arkib, sambutannya dikatakan menggalakkan. Semuanya positif. Tidak ada kontroversi.

Bintang RTM itu sendiri melalui satu era yang panjang. Sebelum kelahiran program realiti seperti sekarang, Bintang RTM menjadi tempat kepada rakyat Malaysia untuk mencuba nasib mengetengahkan bakat masing-masing dalam bidang seni suara. Ketika itu, Bintang RTM sama popular dengan program realiti masa kini seperti AF, OIAM, Malaysian Idol, Mentor dan GangStarz. Masa sudah berlalu. Kegemilangan Bintang RTM tinggal sejarah. Kemunculan stesen TV baru yang kemudian memperkenalkan program bercorak talentime memberikan kesan besar terhadap Bintang RTM. Apatah lagi produk program realiti daripada stesen swasta ini dihasilkan dengan format lebih menarik, segar dan glamor dengan sokongan promosi, publisiti dan pemasaran yang agak besar-besaran juga.

Bagaimanapun, RTM tetap menggagahkan juga untuk meneruskan Bintang RTM walaupun menyedari ia jauh ketinggalan daripada program realiti daripada stesen TV lain. RTM memang boleh bangga dengan sejarah pencapaian Bintang RTM tetapi dalam konteks sekarang RTM harus memikirkan sesuatu untuk mengembalikan kegemilangan program ini.

Sehingga hari ini, belum ada kajian terperinci yang menunjukkan program pertandingan nyanyian anjuran stesen TV atau radio mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat.

Bagaimanapun, stesen TV janganlah pula mengetepikan begitu saja pandangan dan teguran daripada masyarakat. Setiap kelemahan, kekurangan dan kecacatan dalam sesebuah program seperti tingkah laku peserta yang dipaparkan dalam Diari AF sewajarnya perlu diberi perhatian oleh pihak stesen TV.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: