Saturday, May 9, 2009

Bila saya hutang ah long?




PENGARAH Eddie Pak atau nama Islamnya Mohd Aliff Najmi Abdullah mula dikenali apabila mengarahkan filem Syukur 21.

Filem itu menampilkan kumpulan Raihan buat pertama kalinya di layar perak ditayangkan pada tahun 2000.

Selepas menyepi sekian lama, pengarah berusia 44 tahun itu kini muncul dengan filem terbaru arahannya, Dimensi Cinta terbitan Harian Inovatif Sdn. Bhd., dan Sunday To Sunday Services Sdn. Bhd.

Mungkin nasib tidak menyebelahi Eddie kerana sejak awal pembikinan filem itu lagi pelbagai masalah datang melanda.

Bermula dengan kehilangan secara misteri pelakon utama yang dipilih iaitu Hairie Othman, ia terus disusuli dengan pelbagai masalah lain.

Ia tidak selesai di situ sahaja, sebaik sahaja Eddie memulakan penggambaran filem yang menelan kos RM1.8 juta ini pada Februari lalu, perkhabaran yang sampai pada Kosmo! kononnya kebanyakan syot telah dibuang dan banyak babak yang telah diubah daripada perancangan asal, gara-gara kurang bajet. RM1.8 juta, kenapa masih kurang bajet?

Malah, berita yang paling mengejutkan ada pihak mendakwa, Eddie telah 'menyapu' duit produksi yang sepatutnya diberi kepada pelakon dan krew kerana masalah peribadinya.

Bukan mahu mengeruhkan keadaan, Kosmo! memberi peluang kepada Eddie mempertahankan dirinya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

Kosmo!: Banyak pihak memandang rendah kemampuan Eddie untuk menjayakan filem Dimensi Cinta, semuanya gara-gara kegagalan filem Syukur 21 sebelum ini. Komen?

EDDIE: Pandangan orang saya tidak boleh ubah sesuka hati saya. Pada saya filem Syukur 21 gagal pada kutipan tiket tetapi sekurang-kurangnya impak filem itu pada industri seni sangat besar. Selepas itu lebih banyak filem bercorak keagamaan yang moden mula mendapat tempat di stesen TV kita. Mungkin juga saya sudah lama tidak buat filem, itu membuat orang ragu-ragu terhadap saya. Hakikatnya dalam diam itu saya banyak buat iklan, dokumentari dan filem pendek untuk festival filem. Cuma saya tidak suka kecoh-kecoh mungkin sebab itu orang kata saya hilang. Tetapi penerbit tetap memilih saya, dan ia satu rezeki yang tidak perlu ditolak.

Benarkah banyak masalah timbul sejak awal pembikinan Dimensi Cinta sampai sekarang?

Setahu saya setiap produksi mempunyai masalahnya yang tersendiri, kalau buat drama atau apa sahaja mesti ada masalah begitu juga dengan pembikinan filem ini. Orang nampak saya yang bermasalah kerana semua masalah itu diselesaikan oleh saya sebab apabila di lokasi saya menjadi kepala kepada semua krew. Tanggungjawab saya besar, jadi saya sering memikirkan apa yang terbaik untuk produk yang bakal dikeluarkan.

Bagaimana pula dengan kes Hairie?

Macam kes Hairie, saya yang secara peribadi memilih dia pada mulanya. Mungkin ketika itu dia ada masalah yang saya pun tidak tahu, jadi kita teruskan juga bersama Fahrin Ahmad. Itu masalah lama yang tidak perlu diperbesarkan lagi.

Bagaimana pula di lokasi? Dengarnya banyak sangat masalah?

Bila di lokasi, tidak semua yang dirancang pada awalnya menjadi. Jadual asal kami dibenarkan buat penggambaran sehingga pukul 12 malam, tetapi disebabkan masalah tertentu kami hanya dibenarkan sehingga pukul 6 petang sahaja. Sebab itu, saya selaku pengarah bersama jurukamera, pengarah seni dan penulis skrip berbincang apabila perubahan perlu dibuat. Perubahan bukannya suka-suka, ada sebab yang tidak dapat dielakkan seperti tidak mendapat lokasi, bajet dan bermacam lagi. Kalau saya pengarah yang degil dan mahu juga syot seperti yang dirancang, ia pasti lagi mengganggu kerana terpaksa menangguhkan penggambaran. Saya harus menjadi lebih kreatif dengan mengambil inisiatif yang lain supaya dalam filem ia nampak cantik. Walau apa pun, memang masalah ini sedikit sebanyak telah mengganggu perjalanan filem kerana apa yang dirancang tidak jadi. Tetapi penggambaran tidak mengambil masa yang lama, bahkan lebih cepat daripada jadual asal.

Ada juga khabar angin kononnya pelakon dan krew lewat dapat bayaran kerana masalah peribadi Eddie? Mereka kata Eddie pinjam duit ah long, guna duit itu untuk bayar hutang?

(Ketawa) Mana ada, siapa yang buat cerita ini? Kalau saya pinjam ah long, saya sudah pindah rumah yang juga dijadikan pejabat ini. Sampai sekarang di rumah inilah saya selalu mengadakan mesyuarat, perjumpaan bersama pelanggan dan krew-krew. Selama ini saya tidak ada satu gangguan pun. Jadi, cerita saya pinjam ah long memang tidak logik. Kalau saya pinjam, mungkin saya sudah melarikan diri ke mana-mana, sembunyi di mana-mana tetapi saya masih di rumah bersama keluarga macam biasa.

Dengan semua masalah yang berlaku dalam produksi filem Dimensi Cinta, apa janji Eddie pada orang yang bakal menontonnya?

Besar mana masalah yang datang, saya menjanjikan filem ini berkualiti daripada jalan cerita sehinggalah mutu gambar. Ini kerana saya menggunakan krew profesional yang kebanyakannya selalu membuat iklan. Pelakon juga memberikan lakonannya yang hebat.

Macam mana perasaan Eddie apabila cerita negatif tentang diri dan kelemahan produksi dibawa keluar?

Saya tidak marah, saya sudah masak dengan asam garam industri seni kerana sudah 27 tahun saya bekerja dalam bidang ini. Saya cuma menganggap orang yang membawa cerita ini tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas tentang pengurusan sebuah produksi, itu sahaja. Orang yang bercakap itu mungkin tidak mengenali saya sepenuhnya. Mulut orang memang tidak boleh tutup.

Kami sudah selesaikan bayaran

BAGI menjelaskan lagi isu ini dengan lebih jitu, Kosmo! menghubungi syarikat penerbitan Dimensi Cinta yang diwakili oleh Pengarah Urusan Harian Inovatif Sdn. Bhd., Mohd. Fairuz Mohd. Yusof.

Banyak cerita negatif tentang pembikinan filem Dimensi Cinta sejak mula sehinggalah ia tamat penggambaran. Benarkah bayaran belum diterima oleh krew dan pelakon?

MOHD. FAIRUZ: Saya ada juga dengar-dengar cerita sebelum ini tetapi tidak ada yang tanya terus pada saya. Sebenarnya syarikat kami telah menyelesaikan 75 peratus bayaran dan selebihnya adalah untuk peruntukan penyuntingan, efek dan sebagainya. Sepatutnya isu lewat bayar tidak timbul.

Mengapa pelakon dan krew tak boleh bangkitkan? Bukankah itu hak mereka?

Kami telah menyelesaikan bayaran, semua wang itu telah diberi kepada Sunday To Sunday Services Sdn. Bhd. Saya ada buktinya kerana bayaran dibuat melalui peguam yang dilantik.

Tentang soal bayaran krew dan pelakon, mereka harus tanya pada Sunday To Sunday kerana kontrak yang mereka tandatangani adalah di bawah Sunday To Sunday bukannya di bawah Harian Inovatif kerana kami tidak pernah tandatangan kontrak dengan mana-mana artis.

Tentang bajet bagaimana? Benarkah ia telah dikurangkan secara tiba-tiba, kurang dari RM1.8 juta?

Bajet sama seperti yang diumumkan ketika majlis pelancaran iaitu RM1.8 juta. Harian Inovatif tidak pernah mengurangkan apa-apa kos.

Bila filem ini akan ditayangkan?

Mengikut perancangan awal, kami sasarkan pada bulan September tahun ini, tetapi rasanya tidak sempat kerana banyak perkara yang masih perlu dilakukan, kemungkinan besar ia akan ditayangkan pada cuti sekolah hujung tahun.

Tolong hormati hak kami

ISU yang sama turut disoal kepada pelakon utama filem ini, Fahrin Ahmad yang memegang watak sebagai Imran menggantikan Hairie Othman. Dalam bual bicara kami, Fahrin mengakui terdapat beberapa masalah sepanjang produksi ini berlangsung.

Betul ke sampai hari ini (temu bual), pelakon Dimensi Cinta masih tidak mendapat bayaran?

FAHRIN: Memanglah saya akui ada sedikit masalah tetapi harus berlaku adil dan menghormati pihak produksi dan juga penerbit sebelum mengulas lebih lanjut. Mereka mungkin ada masalah yang saya tidak tahu. Bagaimanapun saya bagi pihak rakan-rakan pelakon yang bekerja dan ada kontrak yang telah ditandatangani sangat berharap perkara perjanjian sebelum ini dihormati oleh semua pihak.




Dengan masalah ini, apakah Fahrin serik untuk berlakon bersama penerbit baru?

Tidaklah, ia bergantung pada nasib. Kadang-kadang apabila kita teruja untuk memulakan sesuatu semangat memang tinggi sehingga kita terlupa dan terlepas pandang masalah-masalah yang wujud.

Berbalik kepada tanggungjawab, seorang pelakon kena lebih teliti. Walau apa yang terjadi dalam sesebuah produksi hak dan nasib pekerja serta pelakon harus terbela, itu yang perlu diutamakan oleh mana-mana produksi, itu tanggungjawab mereka.

Harapan untuk produksi filem Dimensi Cinta?

Saya sebagai pelakon dan juga pekerja mengharapkan apa jua masalah yang melanda dapat diselesaikan dengan segera. Sebagai pelakon atau krew, kami hanya mahukan hak kami dihormati, itu saja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: