Saturday, May 9, 2009

Kembara sang aktor




SELEPAS kemunculan filem The Da Vinci Code (2006), ramai pengikutnya sudah tidak sabar menantikan sekuelnya, Angels & Demons. Diadaptasi daripada novel popular tulisan Dan Brown, karya itu yang bakal menemui penonton pada 14 Mei depan menandakan kepulangan Ewan McGregor ke layar perak.

Angels & Demons yang diarahkan Ron Howard itu menurut McGregor adalah sebuah filem thriller yang pantas menggenggam hati audiens dari awal hingga penghujungnya.

"Saya sukakan skripnya kerana ia membuatkan saya tidak berhenti membaca. Ia bagaikan satu perlumbaan menentang pergerakan jarum jam. Ditambah dengan pengarah seperti Ron Howard, sudah lama saya ingin bekerjasama dengannya," ungkapnya.

Dilahirkan di Crieff, Scotland, McGregor menghadiri sekolah muzik dan drama Guildhall, London pada tahun 1988 dalam jurusan drama. Enam bulan sebelum tamat belajar, dia memenangi tawaran sebagai pelakon utama siri televisyen, Lipstick on Your Collar dan sejak itu dia mula aktif sebagai pelakon.

Aktor berusia 38 tahun itu mula terlibat dalam filem cereka pada tahun 1993, Being Human. Setahun kemudian, dia memenangi anugerah Empire untuk lakonannya dalam karya Shallow Grave arahan Danny Boyle. Namun, dia mula dikenali di peringkat dunia menerusi watak lakonannya sebagai penagih dadah, Mark Renton dalam filem Trainspotting yang juga diarahkan Boyle.

Kejayaan itu telah membuka ruang kepada McGregor untuk membintangi rangkaian filem blockbuster, Star Wars iaitu Star Wars: Episode I - The Phantom Menace (1999), Star Wars: Episode II - Attack of the Clones (2002) dan Star Wars: Episode III - Revenge of the Sith (2005).

McGregor juga merupakan antara aktor yang kerap berbogel di layar perak termasuklah menerusi filem Trainspotting, Velvet Goldmine, The Pillow Book dan Young Adam. Namun, dia tidak bersifat terbuka apabila berbicara mengenai keluarganya.

Hasil perkahwinannya dengan Eve Mavrakis, dia mempunyai dua orang anak, Clara Mathilde, 13, dan Esther Rose, 7. Pada April 2006, McGregor dan isterinya itu telah mengambil seorang anak angkat dari Mongolia iaitu Jamiyan yang kini berusia 7 tahun.

Menetap di Los Angeles bersama keluarganya, McGregor turut popular dengan dokumentari Long Way Round (2004) dan Long Way Down (2007).

Kedua-duanya menceritakan pengembaraan dia bersama kawannya, Charley Boorman dengan motosikal ke Ukraine, Russia, Kazakhstan, Mongolia dan Kanada sambil melakukan kerja amal bersama UNICEF. Dokumentari mereka mendapat sambutan memberangsangkan apabila disiarkan di TV.

Bagi mendalami watak McGregor dalam Angels & Demons yang turut dibintangi Tom Hanks, Ayelet Zurer, Stellan SkarsgÄrd dan Thure Lindhardt, ikuti petikan temu bual yang disediakan oleh Buena Vista Columbia TriStar Films (M).

Sejak kecil anda ingin menjadi pelakon. Siapa yang menjadi inspirasi anda?

McGregor: Pak cik saya, Denis Lawson. Dia merupakan aktor yang memiliki perwatakan istimewa dan sejak kecil saya ingin menjadi seseorang yang berlainan seperti dia. Menarik sekali untuk memiliki perwatakan yang berbeza. Maka, saya bercita-cita menjadi seorang aktor. Ketika berusia sembilan tahun, saya ada memberitahu pak cik saya itu bahawa saya ingin menjadi aktor.

Dia lalu kembali berbincang mengenai cita-cita saya dalam tempoh 10 tahun lagi. Tapi sejak usia saya sembilan tahun lagi, saya sudah tahu saya akan menjadi seorang aktor dan sudah mula berusaha ke arah itu.

Justeru, zaman persekolahan saya amat membosankan kerana saya berpendapat ia tidak relevan dengan hidup saya. Apa yang saya utamakan adalah muzik, seni, puisi. Malah, sebahagian besar daripada persekolahan saya didominasi muzik.

Pengalaman bekerja dengan Ron Howard dalam Angels & Demons.


EWAN McGREGOR menyuntik impak lakonan yang penuh efektif menerusi filem Angels & Demons.


Apa yang paling mengujakan adalah peluang untuk menghabiskan masa senggang dengan Ron semasa berehat. Saya mendapati diri saya selalu berada di sisi Ron dan berbual dengannya. Dia seorang lelaki yang baik. Kami sebenarnya pernah bertemu dua atau tiga kali sebelum itu.

Ada kalanya, saya bertemu dengan dia di restoran semasa menjamu selera bersama keluarga saya. Maka, kami akan berbual seketika dan ia amat menyeronokkan apabila saya akhirnya bekerjasama dengan Ron.

Ceritakan sedikit mengenai watak anda dalam Angels & Demons, Camerlengo Patrick McKenna. Bagaimana pula perasaan berganding dengan Tom Hanks?

Watak saya adalah individu yang bertanggungjawab mengambil alih kuasa Vatican sebelum Pope baru dipilih. Tom seorang lelaki yang baik dan aktor hebat, dia memang seorang legenda. Kami ada berlakon dalam babak yang sama dan pengalaman itu amat mengagumkan. Namun, babak lakonan saya dan babak lakonan Tom bergerak selari. Jika dia berlakon di satu tempat, saya pula di tempat yang lain, jadi kami sebenarnya tidak banyak berkongsi babak lakonan.

Alangkah bagusnya jika saya mempunyai lebih banyak peluang untuk berlakon bersama Tom.








USIA dan pakaian tidak menjadi halangan buat Ewan untuk beraksi di layar perak.


Adakah anda membaca novel Angels & Demons untuk melakukan penyelidikan mengenai watak anda itu?

Sudah tentu. Saya terus menelaah buku Angels & Demons selepas menerima tawaran untuk watak ini. Membaca bukunya memberikan gambaran mengenai ceritanya. Namun, sebenarnya berbincang dengan Ron yang banyak membantu saya mengembangkan watak.

Bagi satu jangka masa yang panjang, anda dipilih untuk melakonkan karakter lelaki muda seperti dalam Trainspotting dan Star Wars. Adakah anda teruja untuk menjayakan watak yang lebih matang?

Tiga tahun lalu, saya berganding dengan Ryan Gosling dalam filem Stay. Ketika mendapat skrip, saya berfikir: "Okay, saya perlu menghidupkan watak lelaki seorang pakar psikiatri. Namun, saya menikmatinya kerana bagi saya isu sesuatu karakter yang saya lakonkan bukan suatu isu."

Selepas banyak meraih pengalaman baik sebagai pelakon, bapa dan juga seorang pengembara, apakah lagi perkara yang anda ingin lakukan di masa depan?

Sebenarnya kita boleh melakukan banyak benda tanpa batasan dalam hidup kita. Saya ingin belajar memandu kapal terbang dan mendaki gunung di Scotland.

Peluang untuk mengunjungi tempat seperti Siberia, Mongolia, Kazakhstan atau Uganda sebelum ini amat mengujakan. Ia memberikan perasaan kepuasan dan membuatkan saya melihat dunia dengan cara berbeza. Di Ethiopia misalnya, penduduknya tidak mempunyai bekalan air yang bersih atau ubat-ubatan dan mereka mula bekerja pada usia lima tahun.

Saya bersama rakan saya pernah melawat satu bandar di utara Kenya dan 20,000 kanak-kanak di negara itu mati dibunuh dengan kejam dalam masa sehari. Di mana-mana sahaja, kami ternampak wanita yang terdesak untuk mendapatkan ubat dan makanan untuk anak mereka.

Pengalaman sebegitu telah mengubah dan memberi kesedaran kepada saya. Tapi ia juga mengingatkan saya betapa pentingnya untuk meluangkan masa bersama keluarga saya.

Jika pengarah Baz Luhrmann membuat keputusan untuk menerbitkan pementasan muzikal Moulin Rouge, adakah anda akan terlibat sama?

Saya tidak pasti. Idea untuk kembali dan menjadi sebahagian daripada pementasan itu tidak pernah difikirkan. Namun, ia akan menjadi satu pementasan yang menarik. Saya pernah membawa anak saya menyaksikan teater Chitty Chitty Bang Bang dan sedar bahawa saya boleh menyanyi. Saya suka melakukan banyak benda berlainan dan mungkin saya akan lakukannya suatu hari nanti.

Anda lebih suka terlibat dalam teater?

Ya, saya mendapat pendedahan terlebih dahulu menerusi teater dan saya memang sangat sukakan dunia teater. Saya berasa teruja menonton apa-apa sahaja yang berkaitan teater. Sebagai aktor, adalah sesuatu yang bagus untuk berada di atas pentas. Berlakon di atas pentas adalah mengenai kerjasama. Dalam filem, anda boleh menyunting dan menggabungkan babak, tetapi teater tidak begitu.

Bagaimana anda melihat diri anda di skrin lebar semasa anda berusia 50 tahun?

Ia akan bergantung kepada watak yang dipegang. Tapi saya berharap saya masih tetap berlakon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: