|
|
KURANG dari seminggu bakal berlangsung Konsert Black Dog Bone sempena Hari Ibu yang akan diadakan di Istana Budaya pada 8 hingga 10 Mei ini.
Konsert anjuran Istana Budaya dan Box Office (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kumpulan Utusan itu turut mempertaruhkan Black Dog Bone sebagai artis utama di samping kemunculan istimewa Jay Jay dan Rahim Othman yang akan diiringi oleh Okestra Simfoni Kebangsaan.
Jika kumpulan Black Dog Bone sendiri sanggup berkumpul semula demi menjayakan konsert ini, begitu juga dengan Jay Jay dan Rahim Othman yang sudahpun bersedia untuk memberikan yang terbaik kepada penonton.
Lagu Untukmu Ibu merupakan ciptaan Rahim dan ia akan dinyanyikan secara berduet oleh Jatt dari kumpulan Black Dog Bone bersama dengan Jay Jay dengan diiringi tiupan seruling daripada Rahim.
"Itulah keistimewaan yang cuba kita bawakan untuk penonton," luah Jay Jay ketika ditemui di Studio Utusan baru-baru ini.
Kunjungan Jay Jay yang diiringi oleh Rahim dilihat sebagai sesuatu medan yang tepat untuk mencungkil persiapan mereka menghadapi konsert nanti.
Walaupun dihimpit dengan pelbagai kontroversi sebelum ini namun itu tidak menjadi halangan kepada Jay Jay malah semua itu dilihat sebagai asam garam dalam kehidupan artis.
"Biarlah apa sahaja yang orang nak katakan. Tak guna rasanya untuk kita terus berbalas kenyataan. Semua orang akan tahu siapa yang salah dan siapa yang betul," katanya ketika mengulas sikap kurang senang rakan-rakan Carefree yang lain terhadap dirinya.
Cuma bagi dirinya, dia rasa amat terkilan dengan sikap bekas ahli kumpulan yang lain yang dilihat cuba menabur pasir dalam periuk nasinya.
Ternyata semua itu tidak memberikan apa-apa kesan dan jelas terpancar dari wajah Jay Jay yang dia mahu terus memberikan tumpuan kepada konsert nanti.
Kini Jay Jay sedang sibuk berlatih dan hanya menunggu kehadiran Black Dog Bone yang kini menetap di Singapura untuk sama-sama meneruskan latihan di Istana Budaya pula.
Walaupun sekadar artis undangan, Jay Jay tidak mahu sekadar memberikan persembahan yang ala kadar malah dia juga berjanji akan memberikan persembahan yang mantap sama seperti waktu muda dahulu.
Bagi Rahim pula, ini adalah medan untuk dirinya menunjukkan bakat yang ada seperti dahulu. Bimbang disalah anggap oleh pihak lain, dia hanya mahu memberikan persembahan yang terbaik pada malam tersebut.
"Cuba bayangkan sudah 28 tahun saya tidak bermain seruling. Tiba-tiba ada permintaan untuk saya berbuat demikian. Sudah pasti saya teruja dengan konsert ini.
"Dah lama sangat tak bermain seruling. Seruling pun sudah tiada dan terpaksa beli yang baru. Takut juga nafas tak cukup dan semput nanti. Ini persembahan yang besar dan sudah pasti tidak boleh dipandang remeh,
"Sebagai persediaan, saya masih lagi bersenam dengan kerap bagi mengembalikan stamina seperti waktu muda," kata Rahim tanpa berselindung.
Akui Rahim, ketika ini sudah 90 peratus persediaan dibuat dan kini dia hanya menantikan tarikh keramat itu sahaja.
l Tiket masih boleh dibeli
Pengarah Box Office (M), Ali Bakar pula berpendapat konsert ini merupakan satu wadah yang baik untuk semua peringkat umur menghargai jasa dan pengorbanan ibu.
"Ini merupakan satu konsert yang baik. Memang saya sendiri teruja dan bersemangat untuk menganjurkannya. Walaupun wujud pelbagai masalah tapi ia langsung tidak menjejaskan kita.
"Daripada segi latihan pula, saya sangat berpuas hati dengan semua artis yang terlibat. Semuanya memberikan komitmen yang baik dan bersungguh-sungguh.
"Dan pada masa yang sama kita juga mengharapkan orang ramai agar sama-sama dapat menyertai konsert ini. Sukar sebenarnya untuk kita melihat Black Dog Bone bersatu kembali.
"Inilah masa yang sesuai untuk kita sama-sama kembali ke era kegemilangan Black Dog Bone yang pernah menggegarkan negara satu masa yang lalu," kata Ali Bakar.
Paling membanggakan dirinya apabila orang ramai memberikan maklum balas yang positif dan mahu pihaknya terus menganjurkan acara sebegini pada masa hadapan.
Bagi mereka yang berminat masih lagi boleh mendapatkan tiket-tiket eksklusif untuk menyaksikan persembahan Black Dog Bone, Jay Jay dan Rahim Othman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: