Sunday, May 3, 2009

Saya belum jatuh – Mawi




awi sudah hilang aura. Itulah kata-kata orang apabila penyanyi berusia 28 tahun itu tidak diumumkan sebagai pemenang Artis Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular pada 12 April lalu.

Sebelum ini dia menyandang gelaran berkenaan selama tiga tahun berurut-turut yang memperuntukan sebuah kereta untuk pemenang. Dalam masa yang sama ada dakwaan yang mengatakan sejak berumahtangga dengan Ekin populariti Mawi kian merudum. Dia tak sehebat berbanding Mawi yang baru keluar dari pentas Akademi Fantasia (AF) musim ketiga dulu.

Bukti kepada kemerosotan kerjaya Mawi ialah pada tahun ini tidak ada mana-mana syarikat yang mengambilnya menjadi penghibur pada acara Minggu Setiausaha yang lazimnya disambut sepanjang bulan April.

“Saya tidak terlalu memikirkan perkara itu,” ujar Mawi ketika ditanya persoalan berkenaan pada majlis pelancaran album terbarunya Allah Habibee di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 27 April lalu. Malah Mawi juga mendakwa apa yang terjadi kepadanya ini adalah berpunca daripada kemelesetan ekonomi.

Masalah yang berlaku itu menyebabkan banyak syarikat terpaksa mengambil langkah berjimat cermat dan kesannya dirasai oleh semua pihak termasuk juga artis.

Mungkin Mawi itu satu nama besar sehingga pelbagai persepsi dilemparkan kepadanya. Lebih merumitkan keadaan apabila syarikat rakamannya Maestro Talent & Management telah ditutup dan pengurusan artis dari syarikat itu terpaksa dipindahkan kepada Astro Entertainment Sdn. Bhd.

Adakah Mawi merasakan satu persatu masalah baru akan menimpanya? Ikuti penjelasan Mawi kepada wartawan NIEZAM ABDULLAH.

Selepas syarikat rakaman Maestro ditutup, adakah Mawi membayangkan “riwayat” seni Mawi akan berkubur?

Tidak. Sebelum syarikat itu tutup kami dah bincang. Malah saya masih lagi artis Astro. Kali ini syarikat diambil alih oleh Astro Entertainment Sdn. Bhd. Aktiviti dan perjalanan seni saya tetap sama macam dulu. Tak ada apa-apa masalah.

Album Allah Habibee hanya dijual 15,000 unit. Jumlah itu agak sedikit. Ada kaitan dengan populariti yang merudum?

Kita kena faham, pasaran album sekarang ni semakin perlahan. Kalau dulu sesebuah album senang-senang nak jual 100,000 unit. Sekarang memang susah. Nak dapat 10,000 (unit) pun sakit. Sekarang orang lebih suka muat turun dari Internet. Bayangkanlah untuk muat turun saja pun mencecah 50,000 pelanggan. Dalam masa yang sama orang pun suka dengar radio. Itu antara puncanya kenapa album artis susah nak laku.

Pada tahun ini Mawi tidak diundang menjayakan Minggu Setiausaha, macam mana dengan undangan yang lain? Nampak seolah-olah Mawi semakin jatuh.

Minggu Setiausaha tahun ini memang tak ada undang saya. Yang tu saya mengaku. Tapi ramai artis tak dapat buat majlis tu. Dari segi undangan untuk saya pula masih ada. Cuma tak banyak. Kalau dulu dalam satu hari saya boleh pergi ke tiga tempat untuk buat persembahan. Sekarang ni tak sampai macam itu tapi masih ada lagi.

Ada orang kata populariti Mawi sekarang semakin menurun. Mawi sedar atau tidak?

Saya tak pernah fikirkan perkara itu. Selama ini saya hanya tahu buat kerja saya saja. Saya anggap apa yang saya buat adalah ikhlas. Itu dah cukup. Walaupun orang kata macam itu tetapi saya percaya peminat masih lagi menyokong saya dalam bidang seni. Dalam ABP hari tu walaupun saya kalah (Artis Paling Popular) saya tak rasa terjejas apa-apa pun. Reaksi peminat kepada saya masih sama.

Pernah tak Mawi fikir, tibalah masanya Mawi perlu beralih bidang lain?

Saya menyedari perkara tu. Memang saya takut juga. Sebab itulah saya dah rancang nak terbitkan satu program televisyen iaitu Langkah Mawi yang akan menjalani rakaman di Itali, Hong Kong dan Melbourne, Australia tak lama lagi. Ini projek pertama saya dengan Mawi World Sdn. Bhd. Harap-harap berjaya. Lepas projek tu, saya juga fikir nak buat projek lain. Semua masih dalam perancangan. Saya tak boleh cakap sekarang. Takut tak jadi pula nanti.

Kenapa baru sekarang? Pada hal sepatutnya Mawi dah fikirkan perkara itu dari dulu ketika Mawi di kemuncak.

Dulu saya agak kelam kabut. Banyak benda nak buat dan tak terbuat. Bila dah masuk empat tahun ni barulah saya rasa ia masa yang sesuai. Itupun selepas melalui banyak pengalaman. Bila dah ada pengalaman saya rasa tibalah masanya untuk saya bergerak sendiri.

Mungkin Mawi boleh cerita sikit pasal album Allah Habibee ni?

Album ini cukup istimewa kerana lagu-lagunya juga berbeza dengan album-album saya sebelum ini. Dalam masa yang sama saya turut menghasilkan lirik kedua saya lirik Ayah untuk album yang lepas. Kali ini liriknya Hijab. Tiga lagi dalam album ini tercalon dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) iaitu Allah Habeebi, Serulah Namanya dan Teman Hakiki. Lagipun album ni proses adunan muzik dibuat di Amerika Syarikat. Memang ia jauh beza berbanding album yang lepas.

Bagaimana dengan Ekin? Dah mengandung ke?

(Ketawa) Masih belum lagi. Tunggu sajalah dulu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: