|
| "SEBAGAI artis bohonglah jika saya tidak mempunyai ramai kenalan wanita. Malah, saya berkawan dengan bermacam orang tetapi hakikatnya, mereka ini hanya kawan biasa. |
"Berbeza pula dengan Suzan (Suzan Ahmad), apabila bertentang mata kali pertama, buat saya gelabah, berpeluh dan resah. Asalnya niat saya hanya hendak meminta maaf, akhirnya kami bertukar nombor telefon bimbit.
"Bukan nak memuji, tatkala saya renung wajahnya semacam ada cahaya. Itulah yang membuat hati saya terdetik, dialah wanita yang ditakdirkan untuk hidup bersama saya," kata vokalis kumpulan Jinbara, Thia menceritakan kisah pertemuan pertama dengan isterinya, Suzan, 34, yang juga wartawan Bintang Popular Berita Minggu.
Thia atau nama sebenarnya, Syamsul Bahkhtiar Zakaria, 39, berkata, bukan mudah untuk memenangi hati isterinya itu pada peringkat awal kerana masing-masing terikat dengan komitmen dan tugas tidak menentu.
"Rupa paras cantik, bukan itu yang saya cari. Bagi saya, dia (Suzan) memenuhi ciri-ciri dan impian wanita yang saya cari selama ini," katanya.
Menurut Thia, status Suzan sebagai ibu tunggal dan mempunyai tiga anak, tidak menjadi 'kudis' buat dirinya, kerana dia amat menyenangi kanak-kanak.
"Sejak mula berkenalan, Suzan sudah memberitahu segalanya kepada saya. Justeru, saya memang sudah bersedia menerima dia dan tiga anaknya. Saya amat bersyukur, dia (Suzan) terbuka hati menerima lamaran saya untuk menjadikannya sebagai isteri," katanya.
Thia dan Suzan yang kelihatan berseri-seri dan gembira ditemui selepas majlis pernikahan mereka di rumah pengantin perempuan di Batu 3 Pasir Puteh, Kampung Bachang, Melaka.
Terdahulu, pasangan itu diijab kabul Iman II Masjid Bachang, Rahman Ibrahim dengan berwalikan bapa Suzan, Ahmad Samad, 62, sambil disaksikan ahli keluarga terdekat, tepat jam 11.40 pagi kelmarin dalam majlis sederhana tetapi meriah.
Thia yang juga anak bongsu 11 beradik berkata, peristiwa dia gagal hadir sesi fotografi yang dirancang di pusat rekreasi, Rimba Jinbara di Hulu Klang, Selangor pada Mei tahun lalu, hingga menimbulkan rasa kesal isterinya sekali gus membawa kepada pertemuan empat mata antara mereka berdua akan dikenang selamanya.
"Sebenarnya, Suzanlah wanita pertama yang saya bawa pulang ke rumah untuk bertemu dengan keluarga. Alhamdulillah, mereka (ahli keluarga ) amat memahami. Bagi mereka, yang penting saya akan hidup bahagia dan paling utama apabila saya membawa seseorang wanita berjumpa mereka, bermakna saya benar-benar serius untuk mengakhiri zaman bujang.
"Oleh kerana ibu bapa sudah lama meninggal dunia, saya banyak berbincang dengan kakak dan abang serta ahli keluarga lain sebelum mengambil keputusan berkahwin," katanya lagi.
Mengulas mengenai majlis pernikahan mereka, Thia yang berasal dari Kampung Jawa, Klang berkata, dia dan isteri sepakat untuk tidak mengadakan majlis pertunangan seperti kebiasaannya dan terus bernikah kerana ia lebih diutamakan.
"Apa yang penting, niat kami untuk berkahwin dan bertunang itu hanya sekadar adat semata-mata.
"Mengenai destinasi bulan madu, kami sekeluarga akan ke Cherating Terengganu serta ke Singapura dalam tempoh terdekat ini. Bagi saya, yang penting kami berdua dan anak-anak tiri bahagia untuk hidup bersama," katanya.
Sementara itu, Suzan berkata, sikap jujur dan suka berterus terang yang ada pada Thia berjaya membuka hatinya untuk menerima vokalis itu sebagai suami dan bapa kepada tiga anak kesayangannya, Ahmad Naqiuddin, 8; Qystina Nayli, 6, dan Ahmad Nifail, 3.
Menurutnya, sejak pertemuan di Angkasapuri itu, dia langsung tidak menyangka Thia benar-benar ingin menjalin hubungan serius dengannya.
"Maklumlah, saya ibu tunggal tiga anak yang masih kecil dan saya tidak berasa dia serius untuk memperisterikan saya.
Malah, ketika itu, saya menganggapnya sebagai teman biasa apabila kami saling menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan berhubung melalui telefon bimbit.
"Seminggu selepas pertemuan, dia (Thia) kerap menghantar SMS dan bertanya khabar sebelum melamar saya.
"Pada mulanya, saya berasa terkejut, namun saya reda apabila melihat kesungguhannya untuk memperisterikan saya," katanya.
Suzan berkata, dia juga tertawan dengan keletah penyanyi rock itu yang jujur menyayangi beliau dan tiga anaknya.
"Saya suka cara dia melayan anak-anak, malah mereka (anak) mudah mesra dengannya. Selain baik dan penyabar, dia memang memenuhi ciri-ciri lelaki yang saya minat iaitu tinggi, berambut panjang dan pandai bermain gitar," katanya.
Pada majlis pernikahan itu, Thia dan Suzan mengenakan busana serba putih sebtuhan pereka terkenal Calvin Thoo.
Pihak lelaki menyerahkan sembilan dulang hantaran termasuk sebentuk cincin, manakala pihak perempuan membalas dengan 11 dulang hantaran. Suzan menerima wang hantaran sebanyak RM10,000, manakala mas kahwin pula RM40.
Selain sanak saudara terdekat, majlis pernikahan pasangan ini turut diserikan dengan kehadiran artis popular, Jaclyn Victor dan Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah.
Menariknya, majlis pertunangan hanya berlangsung kira-kira lima minit sebelum upacara pernikahan dimulakan selain diselang seli celoteh pengacara majlis dan persembahan berzanji. Manakala, majlis di sebelah pihak lelaki akan berlangsung di Taman Seri Andalas, Klang pada 14 Jun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: