Wednesday, May 27, 2009

Bercinta lelaki Belanda




SUDAH lama tidak mendengar berita tentang pelakon cantik dan seksi, Julia Hana. Sejak kontroversi adegan tarik rambutnya dengan seorang Datin kira-kita tiga tahun yang lalu sehingga memaksanya membawa kes tersebut ke mahkamah bagi membersihkan namanya sebagai perampas suami orang, Julia tiba-tiba hilang daripada direktori hiburan tempatan.

Julia seakan-akan melarikan diri dan bersembunyi daripada sebarang publisiti walaupun hakikatnya, kerjaya seninya masih berjalan seperti biasa.

Namun, kontroversi terbaru yang mendakwa dirinya sudah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan berusia dalam lingkungan 40-an, kembali menghangatkan namanya.

Benarkah dia sudah berkahwin atau itu satu lagi kontroversi yang sengaja diciptakan buat Julia?

Bagi mendapatkan kesahihan kontroversi perkahwinannya, Kosmo! berdepan dengan si empunya diri ketika ditemui pada majlis doa selamat filem terbarunya Remp-It Nan Sempit, di pejabat Metrowealth Production di Subang Jaya, baru-baru ini.

"Bila masa saya berkahwin? Mana ada! Belum sampai jodoh lagi. Kalau benar sudah berkahwin, buat apa saya sembunyi? Saya lagi gembira untuk memberitahu semua orang kalau benar sudah jadi isteri orang.

"Saya pun tidak tahu macam mana dan siapa yang menyebarkan kononnya saya sudah berkahwin," ujarnya yang kecewa dengan kontroversi barunya itu.


BARISAN pelakon filem Remp-it Nan Sempit arahan Ahmad Idham.


Malah, Julia juga mengakui kerana kes tarik rambut tersebut diberi tumpuan berlebihan oleh media, deia agak berasa kecil hati. Dan itu juga antara sebab dia lebih bersikap 'low-profile' daripada sebarang publisiti.

"Selama ini memang niat saya untuk 'low-profile' supaya menutup cerita-cerita buruk, terutama selepas kontroversi tarik rambut itu. Ketika itu saya sangat kecil hati apabila cerita itu terlalu diberi tumpuan.

"Sangka saya kalau berdiam diri orang akan lupa tentang kontroversi lama, tetapi sangkaan saya meleset. Ada sahaja cerita baru, orang pasti kaitkan juga kisah tarik rambut itu. Mungkin sudah tertulis hidup saya akan sentiasa dihantui perkara itu sampai bila-bila," katanya yang berharap agar cerita panas tentang dirinya dihentikan.

Bagi menjernihkan keadaan, Julia tidak lagi bersembunyi tentang siapa gerangan jejaka yang bertakhta di hatinya kini.

"Memang saya sedang berkawan dengan seseorang. Dia adalah seorang ahli perniagaan dari Belanda yang berketurunan Melayu-Belanda. Dia baru saja mula menetap di Malaysia tahun lepas.

"Walaupun kami baru bercinta, sebenarnya sudah 15 tahun saya mengenalinya, tetapi hanya setahun yang lalu barulah kami menjalinkan hubungan yang lebih serius.

"Buat masa ini, kami belum ada perancangan untuk berkahwin, tapi saya akui, saya sendiri sebenarnya sudah bersedia ke arah itu. Umur pun semakin meningkat, keluarga terutama emak sudah bising dan asyik bertanya bila saya nak kahwin," tuturnya,

Mengenai reaksi kekasihnya tentang khabar angin yang mengatakan dirinya telah berkahwin, Julia menjelaskan padanya mulanya lelaki itu agak terkejut tatkala mendapat tahu tentang perkhabaran itu.

"Sesiapa saja yang berkawan dengan saya pasti terasa juga kalau saya asyik dikaitkan dengan gosip saja. Sukar untuk pertahankan hubungan bila timbulnya benda-benda macam ni.

"Dia memang terkejut juga pada awalnya, tapi lama-lama dia faham akan kedudukan saya sebagai artis," ujar Julia.

Bukan lagi Minah Rempit>

Meskipun lama tidak muncul dalam mana-mana filem, Julia tetapi menjadi pilihan Ahmad Idham dalam filem terbaru arahannya Remp-It Nan Sempit yang baru sahaja memulakan penggambaran.


MENGAKUI hatinya kini sudah dimiliki dengan kehadiran seorang ahli perniagaan berketurunan Melayu-Belanda.


Walaupun wataknya dalam filem itu bukanlah watak utama, dan Julia hanya membuat kemunculan istimewa, namun katanya, dia tetap menerima tawaran tersebut. Ini kerana watak itu merupakan kesinambungan daripada watak Ika yang pernah dipegangnya dalam filem Remp-It dulu.

"Jika dalam filem Remp-It, Ika adalah seorang bohsia yang seksi. Tetapi akhir filem itu, dia berkahwin dengan Mat Rempit bernama Macha lakonan Cat Farish.

"Apa yang menariknya dalam filem Remp-It Nan Sempit ini pula, Ika dan Macha sudah mempunyai anak dan mereka sudah meninggalkan aktiviti negatif itu. Mereka telah membuka sebuah warung bersama, kiranya watak Ika memang jauh berbeza.

"Kalau dulu seksi dan menggoda, sekarang sibuk menjaga anak dan berkain batik," ceritanya lagi.




Filem bercorak aksi komedi ini bukannya sebuah filem aksi mat rempit sebaliknya ia menampilkan pertembungan dua dunia, antara dunia mat rempit dan dunia korporat.

Demi cinta seorang mat rempit yang bekerja sebagai budak penghantar surat, lakonan Shaheizy Sam terjun ke dunia korporat, manakala seorang eksekutif muda lakonan Intan Ladyana pula terpaksa membiasakan diri dengan dunia kekasihnya iaitu dunia mat rempit.




Pelbagai adegan lucu timbul sepanjang proses mereka menyesuaikan diri dengan dunia masing-masing. Namun, ia tetap sarat dengan mesej untuk membuka minda anak muda supaya tidak terlalu hanyut dengan dunia keseronokan sahaja. Selain Julia, Shaheizy dan Intan, filem ini turut dibantu Norliana Samsudin dan Along Cham.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: