Wednesday, May 27, 2009

Konsert cuma bertaraf gig


DENGAN sistem audio yang kurang memuaskan, vokal kumpulan Letto kedengaran biasa-biasa sahaja.


APABILA mendengar namanya, Rhythm Of Unity pasti membuatkan khalayak teruja. Bukan setakat teruja sebaliknya imaginasi sudah mampu menggambarkan kehebatan acara itu yang 'menjaja' nama kumpulan terkenal dari negara seberang, Slank dan Letto. Siapa sahaja yang tidak menaruh harapan tinggi melangit.

Malah, ada peminat yang tidak sabar-sabar untuk menyaksikan konsert yang turut menampilkan kumpulan indie popular tanah air seperti Estranged, Hujan dan One Buck short. Bersesuaianlah dengan 'perjuangan' asal konsert itu yang mahu menyatukan negara dua serumpun,Malaysia dan Indonesia.

Setakat membayar tiket berjumlah RM55 barangkali tidak menjadi sebarang masalah kepada orang ramai. Asalkan dapat bertentang mata dengan penyanyi kesayangan masing-masing, itu sudah cukup membahagiakan mereka.

Itu semua luahan perasaan mengasyikkan sebelum konsert Rhythm Of Unity bertemu titik noktah. Sebaliknya konsert yang berlangsung di pekarangan tempat letak kereta di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur Sabtu lalu dilihat tidak direalisasikan seindah harapan. Atau lebih tepat maksudnya, indah khabar daripada rupa!

Satu persatu insiden kurang enak terjadi kepada konsert yang dikendali eBlitz Communications Sdn. Bhd., dan bekerjasama dengan Mahaka Entertainment Indonesia itu. Sepatutnya kawasan terbuka berhampiran stadium itu sudah digegarkan dengan kerancakan muzik bermula pukul 5 petang namun ada beberapa petugas masih sibuk menyelenggara pentas dan keadaan sekeliling.

Peminat yang datang sudah pasti terkesima. Kotak fikiran mereka tertanya-tanya apakah acara itu sudah berakhir atau diadakan keesokan harinya apatah melihat fizikal tapak konsert yang begitu kelam-kabut ibarat dihempas angin puting beliung.

Rupa-rupanya barulah mereka mengerti bahawa konsert ditangguhkan pada pukul 9 malam kerana berdepan dengan masalah yang tidak dijangkakan. Masih lagi setia menanti tetapi menjengah angka 9 juga masih belum nampak bayang konsert akan membuka tirainya. Tunggu dan terus menunggu lagi nampaknya.

Dalam waktu sama, terlihat beberapa krew konsert sedang sibuk memasang penghadang bertujuan untuk menghalang orang luar yang tidak punya tiket untuk menonton secara 'percuma' konsert tersebut.


RAGAM penonton yang curi-curi menyaksikan konsert secara percuma di luar ruangan konsert.


Paling memeningkan, pihak wartawan juga berdepan dengan kerenah petugas di kaunter media yang sukar memberikan kerjasama. Atau barangkali masih belum memahami dengan jelas tugas mereka berada di situ. Tidak relevan rasanya meminta kad nama syarikat penerbitan. Bukankah lebih bijak kalau minta menunjukkan kad pengenalan media?

Sekitar pukul 10 malam barulah konsert berjalan dengan menyaksikan One Buck Short menjadi artis pertama yang membuat persembahan sebelum tempat diambil alih oleh Hujan, Letto dan Estranged.

Kemunculan Slank sudah pastilah ditunggu-tunggu sedangkan waktu terus berlalu dengan pantas. Sekadar menyampaikan dua buah lagu, Slank terus berjalan pergi meninggalkan pentas. Seolah-olah persembahan mereka sekadar melengkapkan syarat untuk konsert berkenaan demi mengelakkan kejadian yang tidak diingini dicetuskan oleh orang ramai.

Penonton yang hendak melihat Slank sudah pasti pulang dengan kehampaan bahkan terasa tidak berbaloi membayar harga tiket yang kemudiannya diturunkan kepada RM35. Itupun selepas satu jam konsert berlangsung setelah melihat hanya tidak sampai tiga ratus penonton yang berada berdekatan pentas terbuka. Selebihnya penonton hanya 'curi-curi' menyaksikan konsert itu dari luar. Peminat di luar lebih 'meriah' berbanding penonton di tapak konsert itu sendiri.

Slank menerima arahan untuk menamatkan konsert itu kerana waktu sudah memasuki pukul 12.30 tengah malam. Pihak penganjur bagaimanapun harus akur dengan arahan pihak berkuasa tempatan. Suka atau tidak, itu sudah termaktub dalam perjanjian yang perlu dipatuhi untuk menjalankan sebarang acara di sekitar Kuala Lumpur.


ONE Buck Short diberikan penghormatan untuk membuka tirai konsert tersebut.



HUJAN tetap memberikan persembahan yang bertenaga pada malam itu.


Nasib menyebelahi pihak penganjur apabila peminat tidak melakukan sebarang kekecohan atau huru-hara terutama penonton yang terdiri daripada rakyat Indonesia yang mencari rezeki di negara ini. Walaupun riak wajah mereka jelas terpamer kekecewaan namun mereka terus beredar sebaik sahaja konsert itu berakhir.

Proses pembelajaran kepada eBlitz

Bagi menjelaskan lebih lanjut tentang keadaan haru-biru yang berlaku sepanjang perjalanan Rhythm Of Unity, pihak penganjur selaku pengarah eBlitz, Ignes Messyta mengaku setiap hal atau insiden yang berlaku pada hari konsert itu memang tidak dijangkakan.

"Saya juga berasa kecewa dengan masalah yang menimpa sebelum dan semasa konsert ini berlangsung," katanya ringkas dengan riak kekecewaan semasa ditemui selepas konsert berkenaan tamat.

Menjelaskan kumpulan Slank yang setakat menyanyikan dua buah lagu sedangkan mereka yang menjadi tumpuan utama dan dinantikan oleh peminat beritahu Ignes, waktu menjadi faktor utama mengapa Slank hanya muncul dalam tempoh 15 minit.

"Kalau ikut peraturan, konsert sepatutnya berakhir pada pukul 12 tengah malam tetapi kami berjaya dapatkan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk memanjangkan waktu persembahan kepada 12.30 tengah malam.

"Sebenarnya ia boleh dihabiskan tepat pada waktunya cuma Estranged yang patut menyampaikan sebanyak dua buah lagu tiba-tiba menyanyi lima lagu.

"Kami selaku pihak penganjur sudah berkali-kali mengingatkan kepada mereka agar menyanyikan dua lagu sahaja dalam konsert ini disebabkan kami mengejar waktu yang singkat.

"Lantaran itu, kumpulan Slank sekadar dapat mendendangkan dua buah lagu selepas menerima arahan untuk menutup konsert ini. Saya memang dukacita dengan apa yang berlaku," ulasnya yang masih tersentak dengan 'kekecohan' yang berlaku pada acara Rhythm Of Unity itu.

Ignes juga sempat menerangkan tentang masalah yang dihadapi sehingga membuatkan konsert tersebut ditunda selama lima jam. Jelasnya, tenaga kerja yang terlibat sudah melakukan sepenuh persediaan beberapa hari sebelum konsert itu berlangsung.

"Sejak minggu ini pihak kami sudah melakukan persiapan termasuk memeriksa kerja-kerja pemasangan pentas dan khemah yang disediakan kepada pengunjung.

"Disebabkan terdapat masalah maka kami tukar kerja-kerja di belakang tabir ini kepada pihak lain. Ada hal yang berlaku selang sehari sebelum menjelang konsert ini sehingga kami kelam-kabut buat itu dan ini.

"Kami berusaha lakukan yang terbaik semata-mata mahukan konsert ini berjalan seperti yang diingini oleh pihak kami dan peminat. Ada masalah yang kami berjaya selesaikan dengan baik tetapi ada juga kekurangan yang tidak dapat dielakkan.

"Oleh itu kami di Eblitz memohon maaf kepada penonton yang tidak mendapat kepuasan menonton konsert ini seperti yang dihajati," luah Ignes dalam nada cukup bersedih.

Berbicara lebih lanjut tentang kerugian yang dialami, Ignes masih belum dapat menentukan sama ada konsert yang dikendalikannya mengalami kerugian besar mahupun kecil jumlahnya. Semua masih terlalu awal untuk didedahkan kepada khalayak.

Bahkan ia tidak dianggap kegagalan kepada eBlitz yang kali pertama menjayakan konsert besar ibarat Rhythm Of Unity sepanjang mereka beroperasi sebagai syarikat pengurusan acara serta hiburan, perundingan dan penerbitan.

"Kami tidak anggap diri gagal atau berputus asa dengan kejadian dalam konsert ini sebaliknya kami memandang perkara ini sebagai proses pembelajaran dan batu loncatan kepada syarikat ini untuk berdepan dengan setiap rintangan yang mendatang.

"Kalau hendak cakap tentang kerugian, kami perlu lihat dulu jumlah tiket yang terjual untuk konsert ini sebelum apa-apa kenyataan dapat dikeluarkan.

"Walaupun apa jua yang berlaku, kami kena bayar artis yang membuat persembahan. Ada artis yang kami sudah bayar sebanyak 50 peratus untuk kadar persembahan mereka malah ada yang lainnya 30 peratus juga sudah dilunaskan.

"Biarpun mengalami kerugian, kami tetap akan bayar wang selebihnya kepada mereka," janji Ignes sebelum beredar.

Apa jua yang terjadi, baik corak hitam lebih banyak terpalit daripada putihnya dalam Rhythm Of Unity, pujian harus diberikan kepada eBlitz yang tetap bersungguh-sungguh merealisasikan konsert tersebut hingga ke penghujungnya.

Cuma lain kali mereka harus berfikir panjang dan memandang pelbagai aspek sebelum melaksanakan sesebuah projek yang berskala besar fizikalnya. Jangan sampai pisang berbuah dua kali sudahlah!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: