Sunday, May 3, 2009

Amylea tak pernah bercita-cita jadi penyanyi

Assalamualaikum, saya Husna amat meminati Amylea dan ingin terus menyokong Amylea sebagai anak seni.

1. Apakah pekerjaan Amylea sebelum bergelar salah seorang pelajar AF3?

2. Sepanjang bergelar anak seni, berapa banyak trofi yang di gondol oleh Amylea?

3. Kenapa Amylea melibatkan diri dalam bidang seni ini mungkin ada yang istimewa yang boleh Amylea kongsi bersama kami sebagai peminat?

Saya sentiasa mendoakan kejayaan Amylea dalam apa jua bidang.

n Nurul Husna Mohammad,

Simpang, Perak.

AMYLEA

1. Sebelum menyertai AF3, saya baru sahaja habis SPM dan bekerja sebagai seorang penyanyi bersama dengan ayah menggantikan tempat ibu saya.

2. Hehehe... saya baru saja terlibat, jadi tak ada walaupun satu trofi. Tambahan pula tidak aktif menyanyi semasa di bangku sekolah sehinggakan piala pertandingan pun tidak ada. Yang banyak hanyalah sijil-sijil kokurikulum semasa di sekolah.

3. Latar belakang keluarga memang terlibat dalam bidang seni dan mungkin darah seni itu sudah mengalir dalam diri. Biar pun tidak pernah bercita cita untuk menyanyi tetapi apa kan daya, takdirnya saya di sini. Sekarang saya rasakan saya tidak mahu berada di tempat lain selain bidang ini.

Perit kena kritik

Hai Amylea, harapan saya agar anda sentiasa sihat dan mendapat berkat daripada Ilahi dalam meneruskan perjuangan.

1. Apa pengalaman yang mungkin tidak dapat Amylea lupakan sepanjang bergelar anak seni?

2. Apa petua Amylea menjaga suara agar dapat menyanyi dengan baik?

3. Album sudah dipasaran, tapi nampak gayanya promosi kurang. Komen sikit.

n Adawiyah, Setiawangsa KL

AMYLEA

1. Semua pengalaman yang saya lalui semuanya tak dapat dilupakan. Apa yang positifnya saya dapat bekerjasama dengan orang-orang penting dalam industri. Paling kurang menyenangkan saya apabila ada pihak yang tidak pernah memahami diri saya dan mengeluarkan komen-komen yang negatif. Memang perit untuk ditelan.

2. Sejujurnya saya tidak ada apa-apa petua untuk menjaga suara. Saya hanya menjaga kesihatan diri dan saya pasti ini semua adalah daripada mental sahaja. Kalau kita terlalu bergantung dengan macam-macam petua kita yang akan rasa ada yang tak kena. Kena selalu bersemangat dan yakin itu saja petuanya.

3. Saya mula sertai OIAM musim 3 sejak Disember lepas dan pada masa itu juga album dipasarkan. Jadi saya atau mana-mana artis yang menyertai OIAM telah menandatangani perjanjian bahawa tidak dibenarkan untuk mempromosikan apa-apa jenis keluaran rekod selagi berada di OIAM3. Sebab itu kurang promosikan apatah lagi pihak pengurusan dulu sudah tidak ada lagi. Tapi sekarang saya tengah mempromosikan kembali.

Kualiti tak jamin apa-apa

Assalamualaikum.

Hai, saya harap awak sentiasa sihat dan terus maju jaya. Di sini ada beberapa soalan yang saya nak awak jawab.

1. Keluar Akademi Fantasia kemudian masuk One In A Million. Tak rasa janggal ke sebab asyik masuk program realiti sahaja?

2. Nama Amylea tidak sepopular nama-nama bintang AF yang lain. Tidakkah Amylea berkecil hati dengan perkara tersebut memandangkan Amylea mempunyai bakat yang cukup besar.

3. Popular atau kualiti yang baik? Mana satu pilihan Amylea?

n Johan Johari, Johor.

AMYLEA

1. AF dan OIAM dua perkara yang sangat berbeza. Saya tak rasa asyik masuk program realiti kerana ini hanya kali kedua saya menyertai pertandingan nyanyian sepanjang hidup saya.

2. Saya tidak rasa kecil hati kerana saya mempunyai idola-idola yang saya sanjung. Saya ukur diri pada mereka ini. Jadi saya tak pernah rasa saya sebesar mana. Saya akur sebagai orang baru saya mesti bekerja keras memastikan saya sentiasa berada disini dan dinilai dengan bakat selain populariti sahaja

3. Kedua duanya sama penting. Tak guna berkualiti tetapi tidak dapat kongsi dengan orang lain.

Pahit jadi anak seni

Assalamualaikum adik. Kakak merupakan peminat setia adik sejak dahulu lagi. Sedih kakak apabila adik terkeluar daripada OIAM tempoh hari.

1. Bagaimana rasanya menjadi anak seni? Adakah betul jalan yang adik pilih?

2. Apa perasaan adik apabila melihat peserta OIAM lain yang melangkah ke final sedangkan adik terkandas?

3. Siapa yang paling banyak memberikan galakan dan dorongan di kala adik dilanda masalah?

Sekian, terima kasih.

n Juita Citra Terindah, Selama, Perak.

AMYLEA

1. Tentulah banyak pahitnya. Tetapi saya percaya tak kira apa bidang yang dipilih tentu ada turun naiknya. Muzik adalah hidup saya dan saya bernafas dalam dunia ini. Biar apa pun ini saja yang saya jalan yang akan saya pilih, saya pasti laluinya juga.

2. Secara profesional, bohong kalau saya tidak cemburu atau terkilan. Tetapi ini semua dugaan dan pasti ada sebab dan hikmah di sebaliknya. Secara peribadi saya tumpang seronok kerana tak lama lagi akan muncul lagi artis-artis yang berkualiti untuk memeriahkan dunia seni kita.

3. Tentulah ibu bapa. Saya bersyukur pada Allah kerana bukan saja mempunyai ibu bapa yang sangat hebat tetapi dikurniakan sahabat-sahabat yang tak jemu menyokong. Mereka inilah yang menjadi tulang belakang saya. Saya kuat kerana mereka.

Harap bertemu jodoh

Selamat sejahtera Amylea.

Apa khabar? Saya harap supaya anda sihat sentiasa. Seronok melihat anda dipentas OIAM. Tapi sedih kerana anda telah tersingkir.

1. Apa matlamat jangka masa panjang Amylea dalam bidang muzik?

2. Bila lagi nak terjun ke dalam bidang lakonan?

3. Gambarkan diri Amylea 10 tahun akan datang.

Saya harap anda berjaya pada masa hadapan.

n Rahina Azlinda Samsudin, Segamat Johor

AMYLEA

1. Wow. Saya sukakan soalan ni sebab lain dari yang lain. Saya bercita-cita mahu menjadi seorang penghibur, pengarah muzik, penulis lirik dan seorang produser muzik yang disegani. Bukan hanya untuk saya tetapi untuk menghasilkan lebih ramai penyanyi yang bagus. Saya mahu dikenali sampai peringkat antarabangsa dah semua itu akan jadi kenyataan jika diizin Allah. Doakan saya.

2. Ermm... Saya tak pasti tapi buat masa ini saya memang tak ada rancangan untuk jadi pelakon kerana kurang berminat.

3. Saya harap masa itu semua cita-cita akan tercapai. Dapat memberi kebahagiaan pada ibu bapa dan mungkin dapat bertemu jodoh.

Suka Afdlin Shauki

Assalamualaikum Amylea.

Saya ada beberapa soalan dan sangat berharap agar anda dapat menjawabnya.

1. Siapakah ikon anda dalam bidang muzik?

2. Apa strategi anda untuk terus popular dan bertahan dalam bidang seni?

3. Selama mana anda nak terus terlibat sebagai penyanyi? Tak terfikir nak cuba bidang lain pula ke?

AMYLEA

1. Ikon saya ialah Afdlin Shauki, Alicia Keys, Natasha Bedingfield, Aubrey Suwito dan Hujan

2. Saya mesti terus percayakan diri dan kebolehan yang saya miliki. Tidak cepat berpuas hati dan sentiasa ada kelainan supaya orang tidak bosan. Saya amat menghargai peminat-peminat kerana tanpa mereka tak bermakna usaha saya.

3. Saya sudah bertekad untuk terus berjaya dalam bidang ini. Nyanyian? Mungkin tidak terus sampai tua tapi saya ingin menjamin kehidupan dari segi penulisan lagu dan menerbit dan ini seolah olah duit pencen saya nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: