|
|
MEMPUNYAI pakej yang sempurna meliputi raut wajah kacak, bertubuh sasa dan popular di negara kelahiran mereka iaitu Indonesia menjadikan mereka sentiasa digilai oleh kaum Hawa.
Apa sahaja yang dilakukan mereka pasti mendapat perhatian termasuk cara berjalan, berpakaian, percakapan walaupun kadangkala berasa rimas dan bosan.
Samuel Rizal, 29, Didi Riyadi, 28, dan Ariffin Putra, 22, adalah tiga jejaka hangat diperkatakan kerana lakonan mantap sama ada di layar perak atau drama televisyen dan turut menjadi rebutan ‘cewek’ yang mahu mendekati mereka.
Bagaimanapun, pasti ada yang tidak percaya dengan pengakuan “masih belum berpunya dan sedang mencari pasangan yang sesuai” yang dibuat mereka.
Dalam pertemuan sempena majlis meraikan setiausaha bersama 20 selebriti lelaki dari Indonesia dan Malaysia di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini, mereka menjelaskan tentang pengalaman percintaan mereka.
Bagi Samuel atau mesra dengan Sammy yang namanya meledak menerusi filem Eiffel I’m In Love bersama Shandy Aulia itu, perkara itu perlu ditolak tepi dahulu.
Menurut pelakon yang mula menempa nama menerusi filem Tusuk Jelangkung ini, dia masih mencari pasangan sesuai sejak terputus hubungan dengan seorang gadis setahun lalu.
Apa yang menjadi fokus utamanya adalah karier dan perancangan untuk memantapkan lagi bakat yang dimiliki berbanding memikirkan tentang soal cinta.
“Ya, saya memang belum berpunya. Selepas perpisahan yang lalu, saya malas untuk memikirkan perkara ini.
“Komitmen sepenuhnya diberikan kepada kerjaya kerana kontrak lima tahunnya dengan Soraya Intercine Film bakal tamat penghujung 2009,” kata anak pasangan Boetje S. Arifin dan Wunoy Rolandy Luntungan ini.
Anak ketiga dari empat beradik ini juga mengaku perlu berhati-hati dalam soal mencari pasangan dan tidak mahu terlalu tergesa-gesa kerana bimbang sejarah lama berulang.
Sammy juga menafikan calon pilihannya mesti memiliki minat sama sepertinya seperti bermain bola keranjang, suka menyelam, aktif dalam bidang automotif dan menceburi bidang lakonan.
‘‘Saya tiada mengenakan syarat tertentu untuk menjadi kekasih saya. Apa yang perlu, dia boleh menarik perhatian saya pada pandangan pertama dan mencari keserasian antara kami,” katanya yang turut berlakon dalam filem Sayang You Can Dance bersama Sharifah Amani dan Dafi.
Bagi Didi Riyadi atau nama penuhnya Didi Rahmat Riyadi pula, bakal kekasihnya perlu memiliki ciri-ciri fizikal dan berkeperibadian seperti pelakon filem terkenal yang berasal dari China, Gong Li.
Kata pelakon yang popular kerana lakonan ‘nakalnya’ dalam drama bersiri Kawin Gantung itu berkata wanita berkenaan perlu pandai menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan.
“Gong Li adalah lambang wanita sejati. Walaupun kami tidak pernah bertemu tetapi melalui siri lakonannya sebelum ini mendapati dia sangat istimewa,” kata Didi yang turut berlakon dalam drama Dewi Fortuna, Bahasa Bibir, Tersanjung dan Ramadhan & Ramona ini.
Ditanya tentang perbezaan umur sekiranya bakal kekasihnya itu lebih berusia daripadanya, Didi mengatakan dia sememangnya tidak kisah.
Katanya, apa yang dia mahukan kekasihnya itu seorang yang penuh dengan sifat kewanitaan dan tempat mengadu di saat kegembiraan atau kedukaan.
Anak kepada pasangan Ahmad Widodo dan Farida Salleh itu sebelum ini dikatakan pernah menjalinkan hubungan dengan beberapa wanita cantik seperti Donna Agnesia, VJ Nirina, Putri Patricia dan Vony Cornelia.
Sementara bagi Arifin Putra yang merupakan finalis MTV VJ Hunt 2003 semasa berusia 16 tahun itu, soal teman wanita terlalu awal untuk dibicarakan.
Kata jejaka mempunyai kacukan darah Jerman ini dia memerlukan satu jangka masa yang agak panjang memandangkan dirinya baru hendak membina tapak dalam bidang hiburan.
“Mungkin saya dikenali di Indonesia tetapi bukan di sini. Memang saya ada beberapa teman rapat tetapi masih belum ada yang istimewa.
“Tetapi percayalah, fokus saya kini terarah kepada pembinaan tapak karier di negara ini dan bukan ke arah cinta,” katanya yang gemar bermain go-kart ini.
Ditanya tentang ciri-ciri gadis impiannya, pelakon Lost in Love yang merupakan sekuel dari filem Eiffel I’m In Love ini berkata, dia tidak kisah tentang paras rupa dan apa yang penting adalah wanita itu menyayanginya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: