|
| JARUM jam menunjukkan kurang 30 minit sebelum melewati 11 malam. Namun, kelibat wajah yang dinanti belum juga datang. |
Lalu, satu panggilan daripada Kharil Izwan Pilus (Izwan), 30, diterima lantas memaklumkan dia mungkin tiba sedikit lewat kerana masih menunggu adiknya, Khairil Azam Pilus (Aril), 24, yang belum selesai membuat persembahan di Hotel Crowne Plaza, Khamis lalu.
Biarpun malam semakin pekat, tidak pula Izwan menyatakan hasrat untuk membatalkan rancangan ke kediaman orang tuanya di Taman Nyalas Permai, Nyalas Jasin, Melaka, yang menjadi lokasi fotografi, sekali gus meraikan 'Sambutan Hari Ibu'.
Bahkan, meminta supaya bersabar dan berjanji akan beredar sesudah adiknya selesai. Kata-kata itu dikotakan 15 minit kemudian dan Lebuh Raya Utara-Selatan yang disusuri hanya mengambil masa 90 minit untuk sampai ke destinasi.
Kehadiran Izwan dan Aril disambut mesra ibunya, Normah Abdullah, 55, dan bapanya, Pilus Mohd Jani, 57. Sebaik terpandang wajah ibu tercinta, seraya saudara kandung ini menyahut, "Hai Cik Normah"
"Emak, sudah siap kemas rumah," kata Izwan memulakan perbualan dengan ibunya, yang baru berpindah ke rumah baru mereka yang dibeli Izwan tanda kasih kepada ibu juga bapanya.
Sementara Aril, pula terus memeluk ibu tersayang bagi melepaskan rasa rindu, maklumlah sejak menyertai Akademi Fantasia 7 (AF7), mereka terpaksa berjauhan. Bahkan sesudah tersingkir pun, Aril belum sempat bertemu bonda kerana jadualnya yang Astro.
Malam cukup indah itu, bukan saja digunakan Aril meraikan ibu tersayang tetapi memohon restu kalau-kalau rezeki berpihak padanya untuk menyertai semula AF7, sebaik AFMasuk diumumkan Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina, dua minggu lalu.
Sebagaimana diketahui umum, penyingkiran Aril daripada AF7 mengejutkan ramai pihak kerana dia antara pelajar paling menyerlah. Malah, ketiadaan Aril membuatkan program itu hilang seri.
Kata Aril, walaupun keletihan gara-gara seharian tidak berehat kerana memenuhi undangan fotografi dan persembahan, namun itu bukan alasan tidak pulang ke kampung menyambut Hari Ibu bersama emaknya.
"Dua hari lagi (Sabtu), saya serta semua pelajar AF7 yang tersingkir sebelum ini akan di kuarantin pihak Astro. Justeru, kalau tidak hari ini, bila lagi hendak jumpa emak.
"Kalau dulu ketika kami tinggal di Ampang lainlah cerita, sebabnya saya memang tinggal dengan keluarga, jadi tiap-tiap hari boleh jumpa emak tapi sekarang emak dan ayah sudah berpindah ke kampung.
"Tambahan pula, sekarang ini boleh dikatakan tiap-tiap hari ada saja aktiviti, jadi peluang balik ke kampung itu agak susah.
"Bagaimanapun sempena Hari Ibu, saya dan abang sepakat balik malam ini walaupun terpaksa balik hari kerana kami tidak mahu ketinggalan meraikan emak, apatah lagi ia sudah menjadi acara tradisi kami setiap tahun," katanya.
Izwan pula mencelah, sama seperti Aril, dia juga sibuk setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad kerana terikat dengan latihan serta siaran langsung Bintang RTM. Justeru, hanya malam Khamis lalu ada sedikit masa senggang.
Sejak minggu lalu lagi, saya bercadang balik kampung tetapi masa selalu tidak mengizinkan. Lihat sajalah hari ini, tengah malam baru ada masa pulang ke kampung," katanya.
Tatkala ibunya leka menyediakan hidangan di dapur, Izwan dan Aril sempat membuat kejutan dengan membawakan sebiji kek coklat yang tentera perkataan 'Happy Mothers Day'.
Mata ibu mereka ditutup dengan kain oleh si abang sementara adiknya pula berdiri sambil memegang kek.
Tatkala meminta Izwan menggambarkan betapa kasihnya dia pada ibu, dengan tiba-tiba nada suara si pemuda peramah ini berubah menjadi sebak.
"Sayang sangat! Kasihnya saya kepada emak tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Tujuh lapisan lautan di dunia sekalipun tidak dapat menandingi rasa sayang saya pada emak," katanya sebak.
Akui Izwan, berbanding ayah, dia lebih rapat dengan ibunya. Bukan tidak kasih pada ayah, cuma mungkin dia lebih serasi dengan ibu kerana berkongsi tarikh lahir yang sama membuatkan mereka mempunyai persamaan dari segi karakter.
"Saya boleh bercakap dan berbincang apa saja dengan emak kerana dia seorang pendengar yang baik. Tidak seperti Aril yang manja dengan emak dan ayah, saya pula rasanya lebih rapat dan selesa dengan emak.
"Bukan tidak sayang ayah tetapi saya jenis manusia yang tidak pandai meluahkan perasaan. Baru-baru ini, misalnya, datuk saya meninggal dunia dan emak menangis terisak-isak di sisi saya.
"Terasa mahu memeluknya tetapi entah mengapa seperti ada sesuatu yang menghalang dan kekesalan itu sampai sekarang masih saya rasakan," katanya.
Cerita Izwan lagi sewaktu ditanya, perasaannya ketika mendengar khabar pengesahan doktor ibunya menghidap barah payudara tahun lalu, dia berasakan dunia menjadi gelap.
"Saya merasakan dunia saya tidak lagi bermakna. Tapi saya harus kuat dan tidak boleh bersedih kerana bimbang emak yang menanggung penyakit itu bertambah lemah dan sedih.
"Hampir setiap hari saya menemani emak dan pada saya, itu bukan lagi satu tanggungjawab tetapi kewajipan anak untuk menjaga orang tua mereka," katanya.
Aril pula menyifatkan ibu satu-satunya orang yang mampu meredakan amarah dan menenangkan hatinya selain seorang sahabat paling setia.
"Emak saya seorang yang comel, manja, tegas dan saya banyak terhutang budi dengannya sepanjang dia membesarkan dan menyekolahkan saya. Sebagai anak lelaki bongsu, saya memang manja dengan emak dan sampai sekarang pun masih tidur di pehanya.
"Emak istimewa di mata saya kerana dia tahu menyesuaikan diri dengan usia anak-anak, justeru saya bukan saja senang bercerita dengannya bahkan untuk menipu pun kami tidak tergamak.
"Namun, dalam pada memahami jiwa remaja kami serta memberi kebebasan, emak tidak pernah lupa ingatkan kami bersolat. Pertuturannya lembut saja, namun maksudnya mendalam.
"Sama seperti abang Wan, sewaktu mendapat tahu emak menghidap penyakit itu saya terduduk jadi buntu. Saya takut dan tidak bersedia... kehilangan satu-satunya wanita yang paling saya sayangi dan hormati.
"Tapi saya cakap dengan emak dia mesti kuat, tabah dan terus melawan penyakitnya. Saya katakan padanya lagi, walaupun suatu hari nanti saya terpaksa menerima kehilangan emak atau ayah, tapi saya tidak mahu emak cepat mengalah kerana kami perlukan emak," katanya lebih kental daripada si abang.
Membongkar rahsia daripada ibu mereka, jelaskan sama ada Izwan mahupun Aril, kedua-duanya anak manja dan mereka lebih manja berbanding dua saudara perempuan mereka.
"Klip lakonan Adam AF berbaring di peha saya sebagaimana dipaparkan dalam konsert mingguan yang lalu, itulah diri Aril yang sebenarnya di rumah. Bukan Aril saja, abangnya juga dua kali lima.
"Mereka berdua ini memang manja dengan saya. Selain, selalu kongsi perasaannya dengan saya dan sebagai ibu, saya cuba memahami dan meletakkan diri seusia mereka," katanya.
Pun begitu, kedua-dua mereka tetap mempunyai keistimewaan masing-masing walaupun berkongsi minat dalam nyanyian.
"Setiap anak punya keistimewaan masing-masing, namun Izwan istimewa kerana dia berkongsi tarikh lahir yang sama dengan saya iaitu 24 November. Kami daripada bintang yang sama dan banyak persamaan karakter.
"Saya memang menaruh harapan kepadanya untuk memikul tanggungjawab keluarga pada hari tua kami nanti atau menjaga adik-beradiknya apabila kami sudah tiada.
"Saya menaruh kepercayaan kepadanya kerana Izwan seorang yang matang, bijak buat keputusan dan tegas. Malah, dia selalu katakan pada saya, ibu bapa adalah keutamaannya kemudian barulah dirinya.
"Sementara Aril masih remaja, perubahan masa akan mematangkannya. Tapi Aril ini istimewa orangnya. Kehadiran dia menceriakan keluarga kami kerana dia suka menghiburkan kami. Walaupun dia agak nakal, namun Aril pandai ambil hati.
"Kalau dia buat salah, cepat-cepat dia pujuk saya sampai kita sendiri tak jadi hendak marah," katanya.
Mengakui, setiap tahun diraikan anak-anaknya sama ada pada Hari Ibu serta ulang tahun kelahiran, biasanya mereka sekeluarga keluar makan malam bersama.
Bagaimanapun, sambutan ulang tahun tiga tahun lalu bersama Izwan paling tidak dapat dilupakan apabila anak keduanya itu mendedikasikan sebuah lagu Inggeris yang cukup indah maknanya.
Bahkan akui Normah, rumah setingkat yang diubah suai itu adalah pemberian Izwan kepadanya dan suami apabila mereka memutuskan untuk menetap di kampung selepas bersara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: