Wednesday, May 13, 2009

Afida Es sebak terima Anugerah Ibu Seni

Afida Es atau lebih mesra dengan panggilan Bonda, memang mempunyai keistimewaannya sendiri. Apa sahaja watak yang diberikan kepadanya, tidak pernah mengecewakan. Malah beliau juga merupakan seorang penyanyi bersuara merdu.

Selepas tamat persekolahan, dalam usia 16 tahun beliau sudah terlibat dalam seni. Afida memulakan kerjayanya sebagai anak seni dengan menjadi salah seorang penari kebudayaan. Ketika itulah dia mengenali suaminya, Allahyarham M Osman.

“Hidup bonda memang penuh dengan seni. Bonda boleh bercakap dengan burung dan kucing. Bonda boleh menyanyi, buat drama radio dan drama TV. Memang dari dulu lagi, kalau bonda disuruh buat apa pun dalam seni, bonda boleh. Dulu bonda ada berlakon teater di Singapura,” ujarnya.

Ceritanya lagi, ketika zaman kegemilangan irama 60-an dahulu, Afida acap kali membuat persembahan bertenaga dengan diiringi beberapa kugiran terkenal seperti kumpulan The Mods, The Clans dan Orkes Nirwana. Manakala lagu-lagu dendangannya yang acap kali diputarkan di corong radio termasuklah Keluhan Hampa dan Mata Keranjang.

Dia kemudiannya mendirikan rumah tangga ketika berusia 17 tahun. Sewaktu usianya menjangkau 18 tahun, beliau sudah pun bergelar ibu. Hasil perkongsian hidup selama puluhan tahun dengan arwah suaminya, Afida dianugerahkan dengan dua putera dan tiga puteri serta 25 cucu. Selain itu, mereka juga mempunyai ramai anak angkat.

Sudah pasti ramai yang mengetahui, antara anak Afida yang dikenali dan mengalir darah seni ialah Aziz dan Zulkifli. Dua bintang ini benar-benar menjejaki langkah kedua ibu bapanya.

Dengan itu, bertepatan dengan majlis Hari Ibu yang dianjurkan majalah Seri Dewi & Keluarga baru-baru ini, Afida telah menerima Anugerah Ibu Seni.

Buat pertama kalinya beliau menerima pengiktirafan yang sebegitu rupa. Dalam gelak tawanya, terlihat linangan air mata tanda gembira dan bersyukur kepada Allah.

“Bonda tak sangka, ada juga insan yang melihat Bonda. Pada hari ini Bonda menerima satu anugerah yang terlalu besar buat

"Bonda sebagai anak seni dan seorang ibu. Bukanlah balasan begini yang Bonda minta tetapi ingatan dari semua itu membuatkan Bonda betul-betul rasa terharu,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: