|
|
MENGENAKAN konsep solekan 'smokey', persalinan tajaan disediakan mengubah penampilan Azline Ariffin, 28, atau Ezlynn, sekali gus melengkapkan gaya ala wanita 'gipsi'. |
Sekali-sekala tidak salah tampil dengan perubahan, barulah hidup lebih warna. Begitulah diibaratkan percaturan hidup Ezlynn kini apabila diminta bergaya konsep sopan menutup aurat.
Mengorak langkah dalam bidang nyanyian lapan tahun lalu, Ezlynn memanfaatkan bakat anugerah Yang Maha Esa dengan menceburi dunia lakonan, seterusnya bidang pengacaraan.
Seiring kematangannya, Ezlynn semakin galak dan berani lalu memutuskan untuk mengatur karier seninya di bawah pengurusan sendiri, Ezlynn Entertainment yang beroperasi lima tahun lalu.
Sempena kemunculan album barunya nanti, Ezlynn juga cuba berdikari tanpa bergantung harap nama KRU yang bertanggungjawab memperkenalkannya di persada seni tanah air untuk duduk sebaris dengan artis popular sedia ada.
Kata Ezlynn, sudah sampai masanya dia mengatur kerjaya seni sendiri selepas enam tahun mendapat bimbingan KRU Records yang bertanggungjawab menaikkan nama dan karier seninya.
"Ada tawaran daripada beberapa label rakaman tetapi saya mencari syarikat yang boleh memberi kebebasan pada saya dalam membuat pilihan. Maknanya apabila menghasilkan album, saya berhak tentukan sendiri lagu yang bakal dimuatkan, komposer yang menerajui pembikinannya selain pengurusan serta promosi yang difikirkan lebih sesuai.
"Dalam erti kata lain, saya dan pihak pengurusan Ezlynn Entertainment mencari pihak yang boleh melabur dan segalanya kami akan uruskan sebaik mungkin. Kami ada cara bagaimana untuk mengehadkan kos pembikinan album," katanya.
Bercerita lanjut mengenai album impian, Ezlynn yang popular melalui lagu Hi Hi Bye Bye dan Pening (duet bersama Datuk M Daud Kilau), mahukan sesuatu yang berbeza berbanding apa yang pernah didengar peminat sewaktu masih bersama KRU.
Kali ini, gadis bermata galak itu mahu tampil dengan konsep lebih ringan dan bermesej. Ezlynn tertarik dengan konsep muzik diketengahkan band indie yang berjaya menarik minat masyarakat kini.
Selain lagu mesra pendengar seperti yang dibawakan mereka, saya juga melihat album ini sebagai produk variasi kerana ada lagu rancak, rock dan balada.
"Jika sebelum ini hampir semua lagu saya dihasilkan dengan rakaman secara program tetapi kali ini, saya mahu mencuba muzik live serta menggunakan peralatan bertali (string).
"Setakat ini, komposer baru yang sudah menyatakan persetujuan, Sorganina dan saya berminat sekali sekiranya dapat berkolaborasi dengan Taja daripada kumpulan Meet Uncle Hussin (MUH)," katanya.
Tidak mengetepikan nama komposer pengalaman yang pasti menerusi pembikinan album barunya, penyanyi bermata galak ini cuba berdiri tanpa sentuhan KRU demi mencari kelainan.
"Lagu KRU sudah terlalu sinonim dengan saya. Justeru, jika ingin tampil dengan kelainan, saya perlu cuba bekerjasama dengan komposer lain," katanya.
Selain tampil dengan album baru, Ezlynn juga gembira mengumumkan pengalaman barunya menjadi pengacara program hiburan Muzik Muzik 2009, sejak dua minggu lalu. Pemilik suara serak ini digandingkan dengan pengacara asal, Cheryl Samad dan Faizal Ismail.
Kata Ezlynn, dia tidak kekok mengendalikan program popular itu kerana sebelum ini pernah mengendalikan acara kemuncak Anugerah Juara Lagu 20 (AJL20) bersama Cheryl kerana tugas mengacara tidak diletakkan sepenuhnya di bahu Cheryl, sebaliknya diberi peluang kepada artis lain seperti Amy Mastura, Farah Fauzana, Hans Isaac dan juga Ally Iskandar.
"Selain acara kemuncak itu, sejak beberapa tahun lalu, saya sering menggantikan Cheryl sekiranya dia bercuti atau tiada di ibu kota. Justeru, saya tiada sebarang masalah menyesuaikan diri kerana sudah faham selok-belok perjalanan program.
"Cabarannya mungkin lebih kepada menghafal kedudukan carta, fakta mengenai peserta bertanding, nama komposer dan penulis lirik.
"Berbeza dengan musim lalu, 'Muzik Muzik' berwajah baru ini menggunakan pendekatan mesra penonton di mana pengacara dikelilingi peminat yang hadir di studio sewaktu rakaman dijalankan.
"Memastikan semuanya berjalan lancar, pengacara juga harus bijak mengendalikan situasi sepanjang proses rakaman berlangsung," katanya.
Selain muncul setiap minggu menerusi program yang bersiaran setiap Sabtu, jam 4.30 petang di TV3, peminat juga berpeluang menyaksikan Ezlynn menerusi drama bersiri Suara Hati yang disiarkan setiap Isnin, jam 10 malam di Astro Ria.
Lakonan juga bukan asing bagi Ezlynn kerana pernah muncul dalam beberapa filem antaranya Diva dan Zombie Kampung Pisang.
Mengenai kehidupan berkeluarga, nalurinya sama seperti wanita lain yang mengharapkan percintaan berkesudahan di jenjang pelamin.
"Jujur saya akui sedang berkawan dengan seseorang. Namun setakat ini, belum ada sebarang perancangan untuk berkahwin tapi kalau boleh, saya mahu menamatkan zaman bujang sebelum usia 30 tahun.
"Bermakna, selewat-lewatnya tahun depan saya sudah kena kahwin. Tapi, kalau seru belum sampai, hendak buat macam mana?
"Bercakap pasal perkahwinan ini, sebenarnya agak menakutkan saya kerana daripada pengalaman teman, kebanyakan mereka berhadapan dengan masalah yang akhirnya membawa kepada perceraian.
"Mungkin sudah takdir jodoh tidak panjang tetapi saya percaya satu perkara apabila kita berkahwin kerana sudah matang dan benar-benar bersedia, Insya-Allah kita mampu merencana rumah tangga dengan baik," katanya.
>Profil
Nama: Azline Ariffin
Tarikh Lahir: 27 September 1981
Asal: Ulu Kinta, Perak
Profesion: Penyanyi/pelakon/pengacara
Album: Ehmm.... (2003), Pssst... (2004)
Filem: Diva Popular, Bilut, Zombie Kampung Pisang
Drama: Suara Hati
Program TV: Mentor, Muzik Muzik
Duta: Produk kecantikan Shurah
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: