Tuesday, May 5, 2009

6 protege dapatkan tip


UJI bakat mencari peserta Mentor musim ketiga yang berlangsung di Sri Pentas sejak 14 Mac sudah pun berakhir pada 4 April lalu. Seramai enam protege (termasuk peserta berkumpulan) diumumkan layak untuk meneruskan perjuangan di bawah bimbingan mentor atau tenaga pengajar masing-masing pada musim terbaru program realiti TV popular ini.

Barisan protege musim baru Mentor itu ialah Tahiruddin Sain atau Thye, 22, (mentor Adibah Noor); Hanifah Md Hanafiah atau Black, 22, (Mas Idayu); Camellus De'lelli Anam atau Chaq, 20, (Ajai); Suriana Abdul Wahab, 22, (Awie) dan Hunanis Zafira Huzaini atau Fira, 18 (Lah Ahmad) dan peserta berkumpulan, Khairul Najmuddin Abu Samah atau Hyrul,17 serta Halhusani Razmi atau Sani, 20 (Jaclyn Victor).

Lebih bermakna, enam protege berkenaan turut mengadakan sesi lawatan dan ramah mesra ke pejabat kumpulan akhbar, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) iaitu New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro sekali gus memperkenalkan mereka kepada media, Rabu lalu.

Ketika berkunjung ke Bahagian Hiburan Harian Metro, barisan protege Mentor musim baru itu sempat bermesra dan mendapat tip berguna untuk menyahut cabaran dalam program realiti TV daripada Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro, Hartati Hassan Basri.

Fira yang berasal dari Batu Caves, Selangor berkata, peluang menjadi protege kepada Lah Ahmad dalam Mentor musim ketiga kejayaan terbesar kerjaya nyanyiannya setakat ini.

"Saya akan menggunakan peluang keemasan ini sebaik mungkin untuk menebus maruah kerana sering gagal dalan uji bakat program realiti TV tempatan sebelum ini," katanya.

Naib juara pertandingan Metro Idol di gerai Harian Metro/Metro Ahad, sempena Karnival Jomheboh di Bukit Jalil sebelum ini juga mengagumi bakat Lah Ahmad yang menjadi mentornya.

Chaq dari Penampang, Sabah yang juga abang kepada Stacy AF berkata, dia menyertai uji bakat Mentor kerana dorongan dan semangat yang diberikan adiknya itu.

"Perasaan gembira dan sedih berbaur dalam diri saya. Saya sedih kerana terpaksa meninggalkan kumpulan BadBoyz apabila berjaya dalam uji bakat Mentor ini. Sekalipun, berpengalaman dalam bidang tarian, saya sedar masih banyak lagi yang perlu diterokai," katanya.

Manakala Suriana yang juga penyanyi kelab eksklusif dan hotel dari Bandar Baru Ampang, Kuala Lumpur berkata, dia memang mengagumi Awie sejak dulu lagi.



"Sebenarnya Awie pernah menyaksikan persembahan saya di kelab Ralley Club, Melaka, tahun lalu.



"Saya juga sedar, setakat manalah kemampuan saya menyanyi di kelab saja sedangkan saya mampu pergi lebih jauh lagi dalam bidang nyanyian.

"Justeru, saya memutuskan untuk mencuba nasib dalam uji bakat yang dikendalikan Awie untuk menjadi protegenya dalam program Mentor 3 dan ternyata percubaan saya juga berjaya.

"Pada masa sama, saya menaruh harapan Mentor akan menjadi platform untuk menggapai impian menjadi penghibur berjaya seperti diva Anita Sarawak pada masa depan," katanya.

Konsert mingguan Mentor yang juga showcase Mentor 3 untuk memperkenalkan protege Jaclyn, Mas Idayu, Lah Ahmad, Adibah Noor, Ajai dan Awie di Auditorium MBSA, Shah Alam jam 8 malam, di sini semalam. Jurnal Protege pula disiarkan setiap Ahad jam 5.30 hingga 6 petang yang menyorot aktiviti protege bersama mentor serta Jurnal Mentor pula setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.28 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: