Tuesday, May 5, 2009

Seni tempatan ke pasaran dunia


PENCARIAN peserta berbakat besar untuk bersaing ke Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat yang dijadual pada 11 hingga 19 Julai ini berakhir selepas 24 peserta diumumkan pada peringkat akhir pemilihan yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Berbeza dengan pemilihan wakil negara sebelum ini, penganjur bersama iaitu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta All Stars Performing Arts Sdn Bhd mengadakan uji bakat secara terbuka sejak pertengahan Februari lalu di enam lokasi berbeza iaitu Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Pertandingan peringkat antarabangsa ini yang turut diterbitkan dalam format TV dikenali World Stars Road To Hollywood 2009, berjaya menarik perhatian ramai peserta termasuk bertaraf profesional dan amatur.

Pada saingan akhir kali ini, hanya 40 peserta layak bertanding. Bagaimanapun, lapan juri profesional memutuskan hanya 24 peserta dibawa ke sana untuk berdepan cabaran lebih getir.

Berbanding lima kategori disertai negara iaitu vokal, tarian, lakonan, muzik dan peragaan, kategori vokal lebih mencuri tumpuan.

Dua penyanyi popular, Siti Sarah Raissuddin dan Yusrizan Usop (Bob) akhirnya berjaya menempah tempat ke sana. Turut berkongsi kegembiraan, bekas Juara Bintang Asli Remaja Peringkat Kebangsaan 2000, Norhasmidar Ahmad bersama Raja Farah Afzal Raja Ikram. Kejayaan empat peserta ini mengetepikan enam peserta lain.

Bagi Bob, dia berpuas hati dengan persembahan dua lagu My Baby You dan The Prayer yang disampaikan malam itu. Biarpun berjaya untuk peringkat akhir ini, dia sebaliknya tidak mahu terlalu yakin dengan mutu persembahan diberikan.

Katanya, persediaan lebih teratur dan bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk bersaing dengan peserta luar negara.

"Saya perlu memberi fokus pada latihan vokal dan memilih lagu sesuai untuk dibawa ke pertandingan di sana nanti. Sebelum bertanding, saya perlu melihat kriteria diperlukan penganjur. Ada 12 genre muzik berbeza dipertandingkan dan setiap peserta perlu menyanyikan lima genre.

"Pada saya, ia tidak menjadi masalah menyanyikan genre muzik berbeza walaupun sebelum ini saya lebih selesa dengan muzik pop dan R&B. Ada kemungkinan lagu Melayu juga akan disampaikan nanti khusus untuk kategori etnik.



"Saya percaya lagu Melayu mempunyai kelebihan untuk menang meskipun juri tidak faham. Sebagai penyanyi tempatan yang berpeluang ke sana, saya berbangga menyanyi lagu Melayu yang mencerminkan identiti negara ini," katanya.



Untuk kategori lakonan, Putri Mardiana Zainal Abidin berjaya menewaskan empat peserta lain untuk layak ke Hollywood. Kejayaan awal peserta ini lebih bermakna apabila menjadi wakil tunggal kategori itu yang pertama kali disertai delegasi negara tahun ini.

Putri membawakan lakonan mantap bersama sketsa mengenai pengantin wanita yang dikecewakan bakal suaminya kerana seorang gay.

Kata Putri, 28, dia tidak menyangka persembahannya menggunakan idea sendiri menarik perhatian juri. Katanya, dia tidak mempunyai pengalaman berlakon secara serius, tetapi ada minat mendalam untuk menjadi pelakon berjaya.

Dia pernah menunjukkan bakat lakonan ketika di sekolah menengah dan menyimpan impian menyambung pelajaran dalam bidang lakonan di Akademi Filem New York.

"Semua yang saya lakukan atas usaha sendiri. Terus terang saya katakan, penguasaan bahasa Inggeris saya belum fasih dan mempunyai masalah dalam sebutan. Namun, gembira apabila lakonan saya mampu menghiburkan juri dan penonton.

"Sebelum ini, saya berpeluang mendapat tunjuk ajar daripada juri lakon iaitu Hans Isaac dan Samantha Schubert. Walaupun pertemuan berlangsung dua kali, Hans sempat memberi tip iaitu lakonan perlu ringkas, tetapi menarik.

"Untuk persediaan ke sana, saya mahu berikan fokus dan latihan yang lebih untuk memantapkan persembahan nanti. Saya percaya tanggungjawab kali ini berat kerana membawa nama negara apatah lagi bertanding bersama ramai peserta yang hebat dari seluruh dunia," katanya.

Bekas juara program realiti, Malaysia Most Beautiful musim pertama, Dilla Syahirah Atiff berkata, kemenangan untuk kategori peragaan memberi semangat kepadanya untuk berdepan cabaran lebih besar di sana.

Katanya, model tempatan perlu bersaing dengan peserta antarabangsa yang mempunyai kelebihan tubuh badan lebih tegap dan tinggi. Kejayaan Dilla turut dikongsi tiga peserta lain iaitu Siti Nurizana Iskandar, Ramsheh Singh dan Wilson Tan Siong Ping.

"Mungkin orang lain melihat tugas model mudah, sekadar memperagakan diri di pentas, tetapi model juga menggalas tanggungjawab yang besar untuk menang. Saya sendiri mahu terus berlatih agar dapat memberi persembahan yang terbaik nanti.

"Sebenarnya model tempatan mempunyai potensi untuk menang. Walaupun bukan aspek tinggi, tetapi pesona atau aura di atas pentas mampu menawan perhatian juri profesional. Sebagai model, perlu fikirkan bagaimana persembahan dapat menarik perhatian juri dan penonton.

"Persediaan saya, masih mengamalkan diet yang sihat dengan mengurangkan pengambilan nasi dan makanan berminyak. Dalam pada itu, saya bersama Siti Nurizana juga merancang mencari stamina dengan menaiki tangga kuil Batu Caves. Namun, saya gembira kerana berpeluang menunjukkan bakat di sana dan paling berharga, menimba pengalaman dengan model terkenal, Tengku Azura," katanya.

Kategori muzik pula hanya dimenangi kumpulan Tuku Kame dari Sarawak dan anggota kumpulan itu, Jerry Anak Kamit turut berjaya untuk penyertaan solo. Sama seperti kategori lakonan, kategori tarian juga menyaksikan hanya satu wakil dipilih iaitu kumpulan penari Istana Budaya yang dikenali Artistana. Kumpulan yang dianggotai lapan penari berpengalaman ini menewaskan lima peserta solo lain.

Semua peserta yang berjaya di peringkat akhir ini turut menerima pingat kemenangan yang disampaikan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum dan Senator Heng Seai Kie. Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamarudin Siaraf dan Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Mohamed Md Daud.

Pada sidang media selepas itu, Heng berkata latihan intensif akan disediakan untuk 24 peserta ini sebelum bertanding pada WCOPA nanti. Berbanding penyertaan pada tahun sebelumnya, delegasi negara yang pertama kali menyertai kategori lakonan diharap dapat peluang cerah untuk menang besar.

"Sebelum ini, pemilihan peserta dibuat secara selektif dan tidak menyeluruh. Namun, tahun ini uji bakat secara terbuka berjaya menarik ramai peserta untuk mencuba nasib. Matlamat kami, mahu mengangkat penggiat seni yang cemerlang ke peringkat antarabangsa.

"Malah, ia membuka peluang untuk memasarkan seni tempatan ke pasaran dunia. Saya juga yakin wakil tunggal negara untuk lakonan mampu membawa pulang pingat dan apa yang penting, peserta perlu mendapat latihan secukupnya dan berusaha sedaya-upaya.

"Setiap pemenang yang membawa pulang pingat untuk negara nanti akan menerima imbuhan iaitu RM2,500 untuk pingat emas, RM2,000 (perak) dan RM1,500 (gangsa)," katanya.

Keputusan pemenang diputuskan juri profesional 100 peratus. Juri terbabit ialah Deja Moss dan Syafinaz Selamat untuk kategori vokal, Dayang Mariana Ab Bolhassan dan Zainal Abidin Bujang (tarian), Tengku Norazura Tengku Awang dan Andrew (peragaan) dan Hans Isaac serta Samantha Schubert (lakonan).

Program World Stars Road To Hollywood 2009 yang dikendalikan pelakon Jehan Miskin dan Vanessa Chong sebagai pengacara, disiarkan secara langsung menerusi TV2, jam 8.30 malam, Ahad lalu. Bagi penonton di IB, mereka dihiburkan pelawak Datuk Ali Mamak dan Abon ketika memberi laluan untuk iklan.

Adik penyanyi Vince, Sean Chong Tai Cern dan anak penyanyi Ibnor Riza, Putri Norizah turut bertanding kategori vokal, tetapi tidak berjaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: