|
| BERTOLAK daripada kejayaan album Doa Berzanji & Qasidah Berlagu yang diterbitkan dua tahun lalu dan berkonsepkan ketuhanan dan kemanusiaan, Mawi mula mengorak langkah lebih serius dengan kelahiran sebuah lagi album berkonsepkan serupa berjudul Allah Habeebi. |
Album yang menelan belanja RM100,000 ini, dihasilkan dengan lebih teliti sama ada dalam penyampaian serta melodi yang dimuatkan dan ditangani penerbit berkaliber seperti Farihin, M Nasir dan Edry KRU.
Bercerita mengenai keistimewaan album ini, Mawi berkata, ia menggunakan alat-alat muzik yang dimainkan secara langsung oleh pemuzik profesional seperti keyboard yang diterajui Firdaus dan Zul Mahat, sementara petikan gitar oleh Aman Alias, Man Keedal dan Napie Spider.
"Semua lagu yang dimuatkan dalam album ini sedap didengar dan mampu memberi kepuasan kepada mereka yang mencintai rentak ini.
"Malah, ini adalah cara yang saya gunakan untuk menasihati generasi muda di luar sana agar sentiasa mengingati Allah," katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran album terbaru Allah Habeebi di Al-Nafourah, Le Meridien, baru-baru ini.
Dalam album ini, Mawi turut menyumbangkan karyanya dengan menulis lirik lagu 'Hijab' yang mengisahkan perjalanan manusia kembali kepada kekuasaan Tuhan.
"Saya diberi peluang buat kali kedua untuk menulis lirik lagu Hijab selepas percubaan pertama dalam penulisan lirik lagu Ayah yang dimuatkan dalam album Kompilasi Lagu-lagu Raya Akademi Fantasia 2007.
"Masa yang diambil untuk menyiapkan lirik lagu Hijab adalah tiga hari," katanya.
Bagaimanapun, album Allah Habeebi yang berada di pasaran sejak 28 Disember tahun lalu, hanya mencatat hasil jualan 30,000 unit sehingga Mac tahun ini.
Akui Mawi, perjualan album ketika ini sangat perlahan kerana disebabkan faktor muat turun dari Internet dan sikap masyarakat hari ini yang lebih gemar mendengar radio daripada membeli album.
"Lagu-lagu artis tanah air senang dimuat turun dari Internet dan inilah masalah utama yang menggangu industri album tempatan.
"Bagaimanapun, saya gembira kerana di saat kegawatan ekonomi melanda negara, hasil kutipan jualan album Allah Habeebi boleh dikira membanggakan. Namun, saya akui untuk mendapatkan jualan album seperti sebelumnya, agak susah," kata Mawi.
Mengulas jualan album perlahan disebabkan dirinya sudah tidak sepopular dahulu, kata Mawi dia tidak pernah memikirkan soal glamor dalam kerjaya.
"Bagi saya, populariti bukan sasaran yang saya cari dalam industri ini. Apa yang saya tahu ialah buat kerja dengan seikhlas hati dan saya tahu masih ramai lagi yang menyokong saya di luar sana.
"Namun, melalui kerjasama terjalin dengan syarikat utama telekomunikasi, lagu dalam album Allah Habeebi mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan apabila menerima lebih daripada 50,000 muat turun bunyi dering sejak album ini dipasarkan," katanya.
Lagu berjudul Sujud hasil kerjasama vokal bersama KRU kerap berkumandang di radio tempatan adalah cubaan pertama Mawi berganding tenaga bersama dengan kumpulan rap itu.
"Saya bersyukur apabila lagu berjudul Sujud dan lagu Allah Habeebi berjaya menduduki tangga lima teratas dalam carta-carta lagu popular di stesen radio tempatan.
"Perkembangan ini juga membakar lagi semangat saya dalam pembikinan klip video kedua-dua lagu itu," katanya.
Album ini memuatkan enam lagu baru seperti Allah Habeebi, Serulah Namanya, Teman Hakiki, Sujud, Wal-Asri dan Hijab manakala dua lagu lama yang dinyanyikan semula iaitu Tola'al Badru Alaina dan Seroja.
Sementara itu, kata Mawi rancangan Langkah Mawi World yang diterbitkan syarikatnya, Mawi World Entertainment (MWE) akan memasuki musim kedua dan penggambaran bermula bulan lima ini.
"Kali ini destinasi yang kami pilih ialah Melbourne, Itali dan Hong Kong. Bagi setiap destinasi, kami akan berada selama 15 hingga 20 hari.
"Seramai tujuh orang akan pergi dan mereka terdiri daripada tenaga kerja kami sendiri," katanya.
Rancangan 13 episod ini bakal menemui penonton dalam bulan 9 atau bulan 10 tahun ini dan disiarkan di saluran Astro Ria.
Menyentuh sama ada Mawi tidak mahu menerbitkan drama atau telefilem, kata Mawi selaku pengarah urusan MWE, syarikatnya ada menyimpan hasrat untuk mempelbagaikan program yang diterbitkan oleh MWE, namun semuanya masih dalam perbincangan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: