|
|
KISAH Mahsuri bukan satu cerita yang asing bagi rakyat negara ini. Mahsuri yang sinonim dengan Pulau Langkawi itu merupakan sebuah kisah yang telah wujud sejak turun temurun lagi.
Meskipun pelbagai versi yang kita dengar sebelum ini, masih ramai yang tidak mengetahui apakah sebenarnya kisah yang terjadi malah ada yang melabelkan kisah Mahsuri sebagai satu mitos sejak zaman berzaman.
Apabila Istana Budaya ‘membuka’ pintu kepada aktivis teater, Fauziah Nawi untuk mengarahkan teater Mahsuri, peluang itu digunakan sebaik-baiknya untuk menggambarkan Mahsuri dari sudut pandangannya.
Paling membanggakan apabila tiket pementasan Mahsuri laris dan sedikit sebanyak menunjukkan bahawa khalayak di negara ini sudah dapat menerima teater seperti itu dan tidak hanya menerima teater popular sahaja.
Watak Mahsuri yang didokong oleh Vanida Imran bersama Arja Lee (Wan Darus), Azliyuszaini Mohd Noor (Datuk Pekema Jaya), Sabera Shaik (Wan Mahura), Ard Omar (Pandak Mayah) dan Norsiah Mohd Yatim (Cik Alang).
Turut terlibat termasuklah Azman Md. Hassan sebagai Deramang, Azizah Mahzan (Wan Endah) dan Cico Harahap (Aria).
Mungkin inilah keistimewaan Mahsuri. Masih dapat menarik minat orang ramai untuk datang termasuklah pelajar sekolah.
Bagi Fauziah, rasa kagum dan gembira bercampur baur apabila melihat ramai penonton hadir pada setiap malam untuk menyaksikan pementasannya itu.
“Walaupun semua pelakon hanya berlatih dalam masa yang singkat sahaja, tetapi mereka memberikan komitmen yang baik. Memang saya bangga melihat kesungguhan mereka.
“Kalau nak cakap soal puas atau tidak, rasanya memang kurang berpuas hati. Banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki dalam semua aspek.
“Saya membikin Mahsuri dari sudut pandangan saya sendiri. Orang selalu melihat kesengsaraan yang dilalui oleh Mahsuri. Tapi bagaimana pula dengan Wan Darus yang kematian isteri angkara fitnah?
“Inilah yang cuba saya paparkan dalam Mahsuri. Walaupun kesengsaraan seorang suami hanya tidak digambarkan secara langsung dalam babak tetapi ia tetap dilaksanakan,” ujar Fauziah ketika di temui di Istana Budaya baru-baru ini.
Mungkin ada yang hampa apabila melihat tidak ada pancutan darah putih yang mengalir daripada tubuh Mahsuri apabila ia ditikam oleh Aria dalam pementasan tersebut.
Bagi Fauziah sendiri, dia tidak mahu membuat sesuatu yang klise yang selama ini sudah diketahui umum.
“Untuk apa membuat sesuatu perkara yang orang sudah tahu? Hal yang sama berlaku pada babak akhir apabila watak Wan Mahura yang memfitnah tidak menerima balasan.
“Saya sedar penonton mahu menyaksikan setiap kejahatan itu mendapat balasan. Tapi kita habiskan sahaja watak tersebut begitu sahaja kerana tidak mahu ia berakhir seperti yang dijangka oleh penonton,” jelas Fauziah yang pernah mengarahkan teater Opera Ayu Cendana dan Muzikal Tok Rimau 1.
Irama dan melodi Melayu sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada Fauziah sendiri. Bagi dirinya irama Melayu yang asyik dan penuh berseni seharusnya dipertahankan.
Maka tidak hairanlah jika pementasan Mahsuri ini masih lagi menggunakan elemen muzik dan lagu Melayu sebagai kekuatan.
Meskipun ada yang pihak yang tidak menyukai teater yang berunsurkan muzikal yang terlalu kerap dipertontonkan kepada khalayak, Fauziah mempunyai jawapan yang tersendiri.
“Teater popular mahupun teater serius mempunyai kelompok peminat yang tersendiri. Jadi tak akan timbul isu siapa yang lebih atau yang kurang,” jelasnya tanpa berselindung.
Hukuman angkara fitnah
Mahsuri mengisahkan tentang seorang gadis cantik yang juga merupakan anak kepada Pandak Mayah dan Cik Alang. Kejelitaan Mahsuri yang tiada tandingannya menjadi buah mulut dan kecemburuan terutamanya kaum wanita.
Mahsuri telah dikahwinkan dengan seorang pahlawan Wan Darus, adik kepada wakil Sultan di Langkawi, Datuk Pekerma Jaya yang juga suami kepada Wan Mahura.
Sehingga suatu masa hubungan antara Kedah dan Siam menjadi keruh dan pada ketika Wan Darus meninggalkan Langkawi untuk berperang, Mahsuri telahpun hamil.
Semasa ketiadaan Wan Darus, Mahsuri dijaga oleh ibu bapanya bersama-sama dengan Deramang, seorang pengembara yang telah singgah di Langkawi pada ketika itu.
Kepandaian Deramang bersyair telah menambat hati ibu dan bapa Mahsuri serta mempelawa Deramang untuk tinggal bersama-sama mereka.
Wan Mahura amat marah terhadap Mahsuri dan sangat berdendam dengannya sebelum perkahwinannya lagi.
Mereka telah merancang satu komplot untuk mengenakan Mahsuri. Pada suatu hari Wan Mahura telah menuduh mereka bersekedudukan dan membuat tuduhan kononnya Mahsuri menduakan suami.
Mahsuri dan Deramang dijatuhi hukuman bunuh oleh Datuk Pekerma Jaya. Mahsuri meminta tangguh sehingga ia melahirkan anak dalam kandungannya yang dinamakan Wan Hakim.
Walaupun ibu bapa Mahsuri mendesak agar Mahsuri tidak dijatuhi hukuman angkara fitnah itu, mereka tidak dapat mengubah apa-apa keputusan yang telah dibuat.
Sebelum dijatuhi hukuman, Mahsuri telah menyumpah Langkawi akan menjadi padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: