Friday, May 1, 2009

DFP angkat karya Datuk Lat

Persembahan dua malam diiringi MPO bermula malam ini tampilkan karya berlatarkan karakter Kampung Boy

PENGHARGAAN yang cukup membuatnya terharu, malah membawa karyanya merentasi sebuah kolaborasi menarik dengan menyatukan sentuhan animasi dan muzik menerusi siri persembahan, Lat’s Window To The World.

Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih mesra dikenali sebagai Lat berbangga apabila Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) mengangkat karyanya untuk dipersembahkan dengan sentuhan muzik oleh komposer dan konduktor berkarisma, Carl Davis.

Persembahan dua malam pada 1 dan 2 Mei ini menampilkan karya animasi Lat yang dibahagikan kepada tiga siri berlatarkan karakter kartunnya yang popular, Kampung Boy.

“Saya melihat tawaran yang diterima sejak 2007 ini sebagai penghargaan terhadap karya saya selepas bertemu Juniwati Rahmat Hussin yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif DFP/MPO.

“Daripada pertemuan itu, beliau mencadangkan saya supaya bertemu Carl yang popular dengan sentuhan untuk runut bunyi filem bisu.

“Saya memang mencintai muzik walaupun tidak pandai bermain peralatan muzik. Pembabitan dalam dunia animasi membuat saya semakin dekat dengan muzik kerana ia membentuk bahagian yang membangkitkan keterujaan dalam sesebuah produksi,” katanya.

Lat yang ditemui pada sidang media sempena persembahan Lat’s Window To The World di Traders Hotel, Kuala Lumpur, pagi Selasa lalu menghargai segala usaha yang memberi kenangan manis sepanjang 35 tahun beliau bergelar kartunis.

Kata Lat penuh terharu, beliau merasai kemanisan setiap kali karyanya mendapat reaksi positif penonton malah turut menerima perhatian masyarakat luar serta dipanjangkan dengan penerbitan siri animasi di televisyen.

“Karya saya juga membentuk jaringan perhubungan dengan masyarakat apabila sering diundang ke sekolah dan kolej untuk memberi perangsang dan semangat kepada mereka yang meminati dunia seni,” katanya.

Mengalih kembali perbualan kepada siri persembahan itu, Lat berkata, hasil perbincangan dengan Carl mencetuskan idea kepada konduktor itu untuk menghasilkan skor muzik yang menggerakkan karektor kartun yang diilhamkannya.

Lat berkata, beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada Carl untuk menjalankan tanggungjawab itu dengan memberikan sentuhan yang bersesuaian kepada setiap pergerakan animasi selama 20 minit itu.

“Sememangnya ia persembahan muzikal namun diperkuatkan dengan karektor animasi yang membuat penonton tersenyum dan ketawa.

“Kolaborasi ini membentangkan usaha menarik kerana menyatukan idea penggiat seni Timur dan Barat menerusi idea yang saya lahirkan dalam tiga bahagian animasi itu,” katanya.

Menjelaskan tiga siri yang setiap satu memakan masa antara lima hingga tujuh minit, Lat berkata, paparan senario di kampung ketika kecil membuka animasi itu seterusnya karakter itu membesar untuk memulakan penghidupan di bandar sebelum mengembara ke seluruh dunia.

“Ia turut memaparkan kecintaan terhadap lukisan serta pegangan yang dibawanya sepanjang pengembaraan di seluruh pelusuk dunia,” katanya.

Ditanya apakah karakter yang diketengahkan menyamai pengalaman yang dilaluinya, Lat merendah diri berkata, kehidupan lalunya agak suram dan tiada elemen menarik untuk dikongsi.

“Mungkin kerana itu ramai yang menulis dan bertanya mengenainya kepada saya. Cuma saya bernasib baik kerana kerjaya yang dipilih memberi saya peluang menjelajah ke pelbagai tempat di dunia.

“Setiap kali pulang ke tanah air saya akan melukis segala pengalaman yang dilalui. Tidak semuanya diterjemahkan secara mendalam, cuma saya memberikan asas kepada setiap latar perjalanan itu,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai wartawan sebelum meninggalkan kerjaya itu pada 1984.

Penghargaan yang diberikan DFP kata Lat, memberi petanda seni lukis mampu digarap bersama seni muzik untuk menghasilkan sebuah karya bermutu tinggi.

“Saya melihat banyak potensi besar menerusi kolaborasi ini tetapi apa yang diberikan DFP adalah sebuah penghargaan yang terlalu tinggi untuk kartun tempatan.

“Dulu kita tidak mempunyai animasi berkualiti yang dibantu oleh muzik yang baik untuk bertahan lama, sedangkan kombinasi antara dua aspek ini walaupun ringkas dapat diulang tonton pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DFP/MPO, Karina Ridzuan ketika mengulas mengenai kolaborasi itu berkata, pihaknya sangat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan dua nama menerusi kerjasama seni dan muzik yang menarik ini.

“Kami berharap agar persembahan ini akan mengujakan segenap lapisan masyarakat untuk menyaksikan Kampung Boy menjadi nyata di DFP,” katanya.

FAKTA: Lat's Window To The World

  • Tiket berharga RM25, RM55, RM75 dan RM95 boleh ditempah menerusi Box Office di talian 03- 2051 7007 atau faksimili 03- 2051 7077 serta e-mel: dfp_boxoffice@petronas.com.my.

  • Jangan lepaskan peluang menyaksikan keistimewaan persembahan MPO kali ini, hanya di DFP!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: