DI sebalik kontroversi gara-gara adegan cium dengan pelakon Scha Al-Yahya menerusi filem Histeria yang ditayangkan pada Disember tahun lalu, nama Norliana Samsudin atau Yana mula jadi bualan peminat. |
Biarpun adegan itu heboh diperkatakan, sebaliknya Yana menganggap ia adalah cabaran untuk dia menimba pengalaman baru sebagai pelakon.
Jika dibandingkan dengan perjalanan awal Yana dalam bidang seni lima tahun lalu, dia pernah mencuba nasib menjadi penyanyi di bawah label MIG Records bersama album debut, Yana Ceria.
Namun, rezeki untuk terus meraih perhatian peminat menerusi nyanyian gagal.
Seterusnya, Yana menggalas cabaran baru menjadi pelakon atas peluang yang diberikan produser David Teo.
Bermula dengan watak pelakon pembantu menerusi filem 7 Perhentian, Mami Jarum Junior dan Main-Main Cinta, Yana kemudian meraih kepercayaan besar David untuk memikul tanggungjawab pengarah.
Pada usia 23 tahun ketika itu, Yana menjadi pengarah termuda selepas peluang yang sama diterima Pierre Andre yang mengarah pada usia 21 tahun.
Menerusi filem arahan pertama Yana, Selamat Pagi Cinta (SPC) yang menemui penonton pada November tahun lalu, Yana menerima banyak kritikan.
Kredibilitinya dicabar apabila ketika itu dia belum lagi tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Layar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
"Ramai yang pertikai kemampuan saya untuk mengarah filem berkenaan. Sejak mula sidang media pelancaran filem SPC diadakan hingga habis tayangan, masih ada lagi yang memperkatakan filem itu.
"Ada kalangan artis dan peminat yang memberi galakan pada saya untuk terus mengarah filem baru pada masa akan datang. Saya percaya untuk menjadi pengarah yang berjaya, tidak harus terburu-buru menyiapkan setiap projek filem yang dijalankan," katanya.
Ketika ini, Yana menyatakan kritikan pada SPC sudah mula reda.
Sungguhpun mendapat kritikan teruk, dia berharap percubaannya dalam mengarah menjadi dorongan pada pelakon muda lain yang bercita-cita menjadi pengarah.
Malah, Yana percaya peluang seperti itu membuka mata produser lain untuk memberikan tawaran yang sama kepada pengarah muda lain.
Mengenai perkembangan terbaru, Yana berkata dia sibuk dengan aktiviti berlakon drama.
Selepas telemovie Lu'Lu dan 3 Janda yang selesai tayangan di Astro Ria dan Prima, Yana baru selesai menjalani penggambaran drama E-Toyol.com minggu lalu.
Kata Yana, dia mendapat respons positif peminat yang menyokong karier lakonannya.
Antara tiga drama itu, Yana mendapat peluang untuk menampilkan karakter berbeza.
"Selain drama E-toyol.com, saya juga menantikan lakonan saya menerusi drama Bionik musim kedua. Ketika penggambaran Bionik dijalankan pada Januari lalu, saya berpeluang membawa watak antagonis iaitu Suri yang mempunyai kuasa.
"Saya tidak sabar menantikan respons peminat menerusi Bionik kerana dalam drama itu, saya melakukan sendiri adegan lagak ngeri seperti melompat dari bangunan dua tingkat dan berlawan dengan Bionik dalam satu gudang lama. "Untuk adegan berbahaya itu, saya turut dibantu tali yang menyokong aksi melompat dan terbang.
"Drama Lu'Lu turut memberi impak yang kuat pada lakonan saya. Membawakan karakter wanita lurus bendul yang sering dibuli rakan sekerja, hingga kini masih ramai peminat yang menyapa saya dengan nama Lu'Lu.
"Menerusi lakonan, saya puas hati kerana mendapat karakter berbeza. Jika menerusi Histeria, saya mendapat karakter lesbian, saya berpeluang melakonkan watak Suria iaitu gadis gedik dan manja menerusi 3 Janda," katanya.
Biarpun sibuk berlakon, Yana menyatakan dia masih rindu untuk kembali mengarah semula. Untuk projek kedua bersama MIG Productions, Yana kini dalam proses menyiapkan skrip filem barunya yang akan menampilkan konsep romantik komedi.
Katanya, skrip itu dijangka siap pada penghujung bulan ini sebelum penggambaran dijangka bermula selepas Aidilfitri. Berhasrat untuk mengambil Farid Kamil sebagai pelakon utama, Yana masih berbelah bagi antara tanggungjawab mengarah mahupun berlakon.
"Sepatutnya David mahu saya mengarah dan berlakon, tetapi saya berpandangan dua tanggungjawab ini begitu sukar. Sebelum ini menerusi SPC, saya pernah berlakon untuk dua adegan, tetapi ia menyusahkan bila saya perlu memainkan dua tanggungjawab serentak.
"Buat masa ini, saya fikir lebih baik saya berlakon dalam filem itu kerana saya lebih faham dalam mencipta watak utama. Namun, jika saya mendapat pelakon yang sesuai untuk watak berkenaan, mungkin saya akan mengarah buat kali kedua.
"Mungkin lakonan sebagai cameo tidak menjadi masalah. Berbanding pelakon lelaki seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee atau Pierre yang boleh mengarah dan berlakon serentak, sebaliknya pelakon wanita seperti saya sukar kerana perlu bersedia dengan solekan yang mengambil masa lama.
"Saya fikir apa salah untuk beri peluang berlakon pada orang lain jika saya menggalas tanggungjawab pengarah. Untuk layar perak, filem ini adalah skrip pertama saya.
"Sebelum ini, saya pernah menulis skrip program Gen X untuk RTM. Saya berminat tulis skrip apabila mendapat kepercayaan produser," katanya.
Matlamat selepas ini, Yana mahu terus meraih peluang mengarah filem baru.
Walaupun jadual lakonannya sibuk hingga Julai depan, Yana ingin terus berlakon dan mengarah.
Katanya, keutamaan masih diberikan pada bidang pengarahan dan lakonan menjadi aktiviti sampingan.
"Saya pernah berhasrat untuk kembali menyanyi sebelum mengarah SPC dulu, tetapi bila fikir semula, saya bimbang tidak dapat berikan komitmen sepenuhnya pada nyanyian. Berbanding lakonan dan mengarah, nyanyian perlu lebih komitmen.
"Nyanyian turut membabitkan proses rakaman hingga promosi. Atas faktor itu, saya fikir lebih baik saya beri fokus pada lakonan dan pengarahan dulu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: