Tuesday, July 7, 2009

Tuhan tahu...Farawahida




"DIA (Farawahida) sebenarnya mahu mengalihkan isu sebenar," demikian tegas Julfekar berhubung kontroversi dengan penyanyi asuhannya, Farawahida.

“Kenyataannya banyak menyentuh soal peribadi tetapi soal tindakan dia melanggar kontrak yang menjadi isu sebenar tidak disentuh sepenuhnya,” sambungnya lagi.

Julfekar berkata, dia tetap bertegas untuk menuntut ganti rugi daripada Farawahida berjumlah lebih RM400,000 sebagai memenuhi tuntutan penyanyi ini yang meminta dibebaskan daripada syarikat rakaman Millineum Art Sdn Bhd.

“Dia boleh bercakap apa saja termasuk membesar-besarkan cerita peribadi. Memang dia ada memohon daripada saya untuk minta dibebaskan. Saya memenuhi permintaannya tetapi dengan bersyarat iaitu dia mesti menjelaskan ganti rugi yang saya tanggung terlebih dulu.

“Sebelum dia menghilangkan diri begitu saja, saya sebenarnya sudah membuat pelbagai perancangan untuk kerjayanya seperti pembikinan album terbarunya iaitu Farawahida 09, kos pembikinan klip video, urusan promosi di Indonesia dan kos promosi lain untuk albumnya di Indonesia,” kata Julfekar kepada Hip.

Dalam pertemuan ini, Julfekar menunjukkan lampiran senarai tuntutannya dalam surat kepada pelepasan secara bersyarat kepada Fawahida.



Farawahida menjadi artis rakaman di bawah naungan MilleniumArt Sdn Bhd (MASB) selama lima tahun berkuat kuasa daripada tarikh dia menandatangani kontrak iaitu pada 19 Februari 2004. Kontrak ini ditandatangani oleh Farawahida dengan Julfekar dari pihak MASB dengan disaksikan ibu penyanyi itu, Nurmah Omar dan peguam yang dilantik.

Mengikut kontrak itu, selepas tempoh lima tahun, kontrak Farawahida boleh disambung lagi secara automatik seperti terdapat pada perkara ketujuh kontraknya.

Jelas Julfekar, mengikut Perkara Satu kontrak itu, Farawahida mempunyai kontrak dengan syarikat untuk tempoh lima tahun dari tarikh perjanjian dengan pilihan untuk sambungan kontrak selama setahun di tangan syarikat. Ini diperjelaskan lagi mengikut Perkara Kesembilan pula, pilihan setahun adalah hak syarikat untuk sambung (kontrak).

“Dan mengikut Perkara ke-12 kontrak itu, dengan jelas dia (Farawahida) kena membayar ganti rugi di atas segala kerugian, kos dan kesusahan yang diterima syarikat termasuk bayaran peguam akibat melanggar kontrak dan penamatan perjanjian ini,” katanya.

SAAT-SAAT manis bersama.

Sedih dan kecewa

SELAIN ganti rugi lebih RM400,000 sebagai syarat pelepasan, Julfekar juga turut membuat tuntutan ganti rugi pengurusan yang dianggarkan sebanyak RM180,000.

“Dia juga harus menerima hakikat, syarikat pengurusan sudah menanggung kos kehidupannya selama lima tahun yang dianggarkan RM180,000 membabitkan sewa rumah, perbelanjaan dapur, perbelanjaan peribadi, bil-bil, Astro dan perbelanjaan tambahan lain seperti membeli belah.

“Dalam masa tiga tahun pertama pembabitannya dalam dunia nyanyian, dia tidak ada pendapatan dan semua kos kehidupannya ditanggung oleh syarikat pengurusan. Inikah cara Farawahida membalas pengorbanan, jasa dan budi saya? Kenapa perlu saya dianiaya dan dizalimi seperti ini? Sekurang-kurangnya bagilah ucapan terima kasih yang tulus dan ikhlas,” katanya

Julfekar berkata, dalam keadaan sekarang dia sangat kesal dan sedih dengan keadaan yang berlaku sekarang kerana ia tidak sepatutnya berlaku kalau semua pihak bersedia berbincang dengan baik.

“Perkara ini tidak akan terjadi kalau dia dan keluarganya boleh berbincang. Persoalan utama di sini ialah mengenai kontrak. Kenapa perlu mengheret hal peribadi yang boleh mengaibkan saya dan kredibiliti saya. Malahan dia dan anggota keluarganya juga,” jelasnya.

Menurutnya, jika Farawahida sudah tidak suka sekalipun, penyanyi itu tidak boleh bertindak dengan cara melulu seperti menghilangkan diri dan enggan tampil untuk berbincang terutama berkaitan dengan kontraknya bersama MASB.

“Kalau pun tidak suka, jangan buat begini. Sekurang-kurangnya ingatlah juga kebaikan saya selama ini. Semua albumnya rugi tetapi saya masih buat lagi untuk albumnya Farawahida 09.

“Itu semua untuk siapa? Untuk dia juga. Sebab saya sudah merancang tahun ini untuk menjadikan Farawahida di tempat teratas. Kerana saya faham, shownya sebelum ini dibayar sedikit kerana dia belum cukup popular. Jadi tahun ini adalah tahun dia menyimpan duit tapi nampaknya tidak kesampaian,” katanya.

Julfekar mengakui selama lima tahun menguruskan Farawahida, penyanyi itu sebenarnya masih belum cukup bagus untuk menerima persembahan anjuran syarikat korporat dan seterusnya menerima bayaran lumayan.

“Dia (Farawahida) juga harus mengakui kesilapannya kenapa dia dibayar sedikit (oleh penganjur persembahan). Pertama, dia tidak cukup popular dan kedua, dia tidak boleh menyanyi lagu Inggeris dengan baik. Malahan dia hanya boleh menghafal 25 lagu berbahasa Melayu.

“Apabila penganjur minta dia nyanyi lagu empat hingga lima lagu Inggeris, saya tidak dapat ambil tawaran itu sebab saya tahu Farawahida hanya boleh hafal satu lagu Inggeris saja,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Farawahida yang mendakwa dirinya terseksa sepanjang bersama MASB, Julfekar berkata, ia sebenarnya akan menimbulkan banyak tanda tanya kerana penyanyi itu tidak bercakap benar.

“Saya tidak mahu cakap Farawahida menipu, cuma kenapa dalam banyak perkara dia tidak bercakap benar,” katanya.

Farawahida menerusi kenyataannya dalam B*pop pada 5 Julai lalu mendakwa dirinya sebagai cukup terseksa sepanjang lima tahun bersama Julfekar. Penyanyi ini tampil mempertahankan diri sambil mendakwa dirinya didera mental dan fizikal. Malahan Farawahida juga menegaskan Julfekar bukanlah kekasihnya, sebaliknya hubungan mereka tidak lebih daripada pengurus dan artis.

“Saya tak pernah berbohong malah saya bercakap perkara yang sama jika ada yang bertanya sejak dulu lagi. Julfekar hanya pengurus saya, bukan kekasih!,” jelas Farawahida.

Biarlah Tuhan saja yang tahu

JULFEKAR berkata, dia tidak perlu bercakap panjang lebar pasal cinta kerana mengetahui Farawahida akan terus menafikannya.

“Nanti nampak sangat saya yang terhegeh-hegeh. Biarlah Tuhan saja yang mengetahui sejauh mana hubungan kami selama enam tahun.

“Walaupun begitu, pada hakikatnya, saya boleh berikan nama individu yang boleh menilai dan mengesahkan sejauh mana keakraban hubungan kami, terutama selama kami berulang alik ke Indonesia.

“Ketika di Indonesia, dengan siapa sebenarnya sepanjang di sana? Saya menerima satu SMS daripada Farawahida, ayatnya ialah, “Kamu ingat Fara tak curi-curi video kamu? Jangan anggap Fara bodoh... Masa di Indonesia, Fara ambil (video) tanpa pengetahuan kamu”.

“Sebenarnya dengan ayat SMS itu sendiri sudah membuatkan kita boleh terfikir dia berada di mana. Dalam bilik hotel? Takkan dalam reban ayam?” jelasnya.

Jahil sangatkah saya?

KOMPOSER itu berkata dia amat kecewa dan terkilan dengan dakwaan Farawahida kononnya tidak membenarkan bersolat.

“Apakah saya jahil sangat dalam hal agama? Sebenarnya Fara mula ‘mengenal’ agama dan sembahyang sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Oleh kerana prihatin dengan kesedarannya, saya membelikan dua telekung dan dua sejadah dan beberapa kitab agama untuk dia mentelaah dan memahami mengenai Islam.

“Jadi, bagaimana dia boleh kata saya memarahi dia pasal sembahyang? Malahan saya cuba membimbing ke arah Islam, tetapi kenapa dia memutarbelit cerita ini. Kenapa gunakan agama untuk memburukkan saya, pada hal saya cuba berusaha membimbing dia.

“Malahan apabila dia melarikan diri ke Taiping, semua sejadah dan telekung dan kitab dibawa juga. Saya fikir dia sudah sedar, tetapi hakikatnya pada saat ini dia belum berubah,” kata Julfekar.

Tak pernah marah keluarga Fara

“SAYA tidak pernah memaki hamun keluarganya. Saya mengaku ada memarahi Fara. Ini kerana saya tertekan dengan tindakan Fara yang menghilangkan diri tanpa memikirkan pelbagai kesan yang saya tanggung. Lagipun dia degil. Tapi semua SMS itu antara saya dan dia (Farawahida), bukan kepada mana-mana anggota keluarganya.

“Dia sengaja membesar-besarkan perkara itu dengan mengheret sekali keluarganya yang tidak ada sebarang kaitan dalam hal ini. SMS itu adalah luahan masalah antara saya dan dia,” jelas Julfekar.

Julfekar juga menegaskan dia tidak pernah sama sekali menghalang Farawahida daripada menemui keluarganya di kampung di Taiping kecuali apabila ada perlu menghadiri persembahan, rakaman TV atau aktiviti publisiti dan promosi membabitkan dirinya.

“Saya tidak bagi balik (kampung) sebab ketika itu dia perlu hadir menyertai acara-acara yang sudah ditetapkan. Waktu itu saya memang tak lepaskan. Dia pun tahu perkara ini. Selalunya dia balik dengan emak atau bapa saudaranya. Malahan, kalau tidak ada apa-apa, biasanya saya sendiri hantar dia balik ke kampung,” katanya.

Tak masuk akal pukul di hadapan khalayak

DAKWAAN Farawahida bahawa dia pernah dipukul di hadapan ibu dan orang ramai dianggap oleh Julfekar sebagai melampau.

“Kenyataan itu sangat keterlaluan dan amat tidak berasas sama sekali. Gila ke saya ni? Masuk akal ke, pukul dia depan ibunya, apa lagi di hadapan orang ramai? Kenapa saya hendak buat tindakan bodoh di depan orang ramai.

“Bodohlah kalau saya buat tindakan macam itu kerana ia boleh mencemarkan maruah saya,” tegas Julfekar.

Julfekar juga menjelaskan, sebagai manusia yang pernah berkeluarga, dia tidak menghalang Farawahida bersuka ria dengan keluarganya.

“Saya pun ada keluarga. Saya faham. Tetapi masalahnya dia sudah berjanji akan membahagikan masa antara keluarga dan kerja. Selama lima tahun jadi artis rakaman, bayangkan dia hanya tahu satu lagu Inggeris saja untuk dinyanyikan dalam sesuatu persembahan.

“Dan hanya 25 lagu Melayu popular yang boleh hafal. Lagu itu sajalah yang diulang dalam mana-mana persembahan selama lima tahun. Sedangkan saya sudah berikan banyak minus one dan VCD karaoke lagu Inggeris, beli di Malaysia dan Indonesia, tetapi tiada satu lagu yang dia hafal. Begitu juga dengan lagu Melayu yang lain.

“Saya mahu dia berlatih untuk kebaikannya supaya jangan asyik pada lagu sama saja berulang kali. Tapi dia gagal. Jadi macam mana saya tak membebel kepada dia,” kata Julfekar.

Menurutnya, dia juga tertanya-tanya dengan dakwaan Farawahida yang mahu keluar dengan keluarganya kerana hendak membeli barang perkahwinan keluarganya.

“Pada hakikatnya dia keluar waktu malam dengan orang lain yang saya tak kenal selain ditemani ibunya. Tapi katanya, dia bersama keluarga dengan bapa dan ibu saudaranya. Lepas tu dia cakap, ambil gambar MMS curi-curi. Pelik. Kalau sudah itu bapa dan ibu saudaranya kenapa hendak ambil gambar curi-curi. Apa masalah dia kalau ambil gambar bapa dan ibu saudaranya tanpa pengetahuan mereka?

“Saya jadi syak, sebab dia tidak bercakap benar. Kenapa dia boleh MMS gambar dia, tetapi dia tidak MMS gambar orang depan walaupun ambil gambar curi-curi.

“Saya bukan cemburu, tetapi saya juga hendak tahu siapa orang itu. Ini tanggungjawab saya. Walaupun bersama emaknya, tetapi mereka perempuan. Adakah waktu itu dia keluar dengan lelaki lain barunya? Saya tidak menuduh, tapi kemungkinan saja,” katanya.

Mengenai dakwaan Farawahida kononnya dihalang daripada meraikan kemenangannya di AJL23 bersama keluarganya, Julfekar menjelaskan, itu satu lagi kenyataan tidak betul kerana selepas menang, dia (Julfekar) tidak lagi menemui penyanyi itu selama dua minggu.

“Saya bagi pelepasan selama dua minggu. Ini memberi ruang kepada Fara untuk bertemu keluarganya di rumah Fara di Wangsa Maju.

“Di situ semua anggota keluarganya ada. Jadi, kenapa timbul saya menghalangnya daripada meraikan kemenangan bersama keluarga. Dua minggu saya tidak menemuinya selepas menang AJL23,” katanya.

Desakan kahwin

BERHUBUNG dengan soal kahwin, Julfekar berkata dia tidak pernah merancang untuk kahwin lari seperti yang didakwa oleh Farawahida, terutama ketika siri penjelajahan di Indonesia.

“Bagaimana dia boleh beri kenyataan saya merancang nak kahwin lari seminggu sebelum konsert jelajah Indonesia sedangkan acara itu dibuat pada Mac. Kenyataannya waktu itu dia berada di Taiping. Dia menghilangkan diri dan bersama-sama keluarganya sejak Februari sampai sekarang. Ertinya waktu itu dia sudah lari.

“Isu kahwin lari tak timbul langsung. Soal kahwin memang pernah ada dibincangkan, tapi saya minta ini ditangguhkan dulu kerana saya mahu dia memberi tumpuan kepada kerjanya terlebih dulu.

“Tapi sekarang saya malas nak cerita pasal kahwin lagi. Sudah tentu Fara akan menafikannya, lagipun dia mungkin sudah ada teman lelaki baru. Jadi malulah kalau dia hendak bercerita mengenai bekas teman lelakinya pula,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: