Tuesday, July 7, 2009

Tiket terhangat di pasaran - Konsert 1Wajah M.Nasir raih sambutan memberangsangkan




TINGGAL 19 hari sahaja lagi Stadium Negara bakal digegarkan dengan Konsert 1Wajah M. Nasir yang berlangsung pada 25 Julai depan.

Khabarnya jualan tiket untuk konsert tersebut meraih sambutan hebat sejak ia mula dijual sebulan yang lalu.

Pengarah Urusan Maya Axis Creative Sdn. Bhd., Samirah Hambali yang merupakan penganjur konsert ini memberitahu, semakin hari semakin hebat sambutan yang diterima.

"Setakat hari ini, jualan tiket menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Ini belum termasuk yang telah menempah secara on-line.

"Tetapi masih ada lagi tiket untuk peminat M. Nasir kerana lokasi konsert kali ini lebih besar dan boleh memuatkan sehingga 6,000 orang dalam satu-satu masa," ujarnya.

Tambah Samirah lagi, dia yakin jualan tiket semakin bertambah apabila tarikh konsert semakin hampir kerana sudah menjadi tradisi warga Malaysia sememangnya gemar membeli tiket pada saat-saat akhir.

"Berdasarkan pengalaman, memang orang Malaysia suka beli tiket pada saat-saat akhir dan semakin bertambah terutama dua tiga hari sebelum konsert dan ramai juga yang beli pada hari konsert berlangsung.

"Tetapi setakat ini kami berpuas hati terhadap sambutan yang diberikan oleh peminat M. Nasir," katanya lagi.

Selain tiket persiapan terakhir kini sedang giat dijalankan terutama daripada segi teknikal oleh krew-krew profesional dan sesi latihan akan dimulakan pada minggu hadapan

Produksi untuk konsert ini juga jauh lebih besar daripada Konsert Alam di Istana Budaya yang berlangsung pada Februari lalu kerana Kosmo! difahamkan pentasnya juga jauh lebih besar daripada konsert biasa.

Tambahnya, M. Nasir juga banyak memberi idea terhadap perjalanan konsert selain dia juga meminta props tertentu untuk konsert tersebut.

"M. Nasir sendiri yang menentukan pengarahan seni konsert ini apabila dia meminta props untuk mencantikkan lagi pentas, kami kena ikut segala kemahuannya.

"Kiranya apa yang akan dipertontonkan pada 25 Julai nanti merupakan wajah serta isi hati M. Nasir sendiri," terangnya.

Apa ditunggu lagi, buat peminat setia M. Nasir yang ingin menyaksikan magis sifu industri muzik Malaysia di pentas Konsert 1Wajah M. Nasir jangan lupa dapatkan segera tiket sebelum terlambat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: