DARI kiri; Engku Emran, Faizal, Tacy, Aizat dan Amin pada sidang media mengenai APM 2009. |
Undian Artis Serantau Paling Popular dalam Anugerah Planet Muzik kian merosot
PELUANG artis Malaysia untuk terus mengungguli kategori Artis Serantau Paling Popular dalam Anugerah Planet Muzik (APM) semakin tipis apabila jumlah undian tidak langsung memihak kepada artis tempatan.
Jika sebelum ini selama lapan tahun berturut-turut, trofi itu digenggam oleh Datuk Siti Nurhaliza tetapi nampak gayanya ia mungkin menjadi milik kumpulan Indonesia, ST12. Antara nama artis tempatan yang turut bersaing dalam kategori itu tahun ini di samping nama Siti adalah Faizal Tahir, Meet Uncle Hussain (MUH) dan Hujan.
Pengarah Urusan Beyond Events Sdn Bhd (BESB), Amin Hussen, berkata undian artis Malaysia untuk kategori itu sudah mula terkebelakang dan pantas dipintas artis Indonesia terutama kumpulan ST12.
Katanya, sikap terleka, mudah selesa dan terlepas pandang daripada terus mengundi artis pilihan mungkin akan menyebabkan kegagalan artis Malaysia untuk terus mengekalkan takhta.
Justeru, peminat dan penyokong setia muzik tempatan digesa memperhebatkan undian jika mahu terus melihat wakil calon artis negara kita terus unggul bagi kategori terbabit.
| MAMPUKAH Hujan mencipta kejutan pada APM 2009? |
Undian di Malaysia bagi beberapa kategori popular dimulakan sejak 18 Jun lalu dan masih berjalan. Acara kemuncak APM 2009 diadakan buat pertama kali di Jakarta Indonesia pada 18 Julai ini.
Situasi itu antara alasan yang membuatkan BESB terpanggil untuk mengadakan sidang media 2 Julai lalu dengan mengundang rakan media untuk terus memainkan peranan menghebahkan kepada masyarakat untuk mengundi artis Malaysia yang dicalonkan dalam kategori popular itu.
“Untuk kategori terbaik, kita tidak dapat mengubah keputusan yang bakal diumumkan nanti. Hanya kategori popular saja yang boleh diubah dan semuanya terpulang kepada undian peminat tiga rantau, Malaysia, Indonesia dan Singapura.
“Maka untuk memastikan kejayaan yang pernah diraih Malaysia menerusi kemenangan Siti, peminat perlu sepakat mengundi empat calon akhir - Siti Nurhaliza, Hujan, Faizal Tahir dan MUH - yang sudah disenaraikan.
| APAKAH Datuk Siti Nurhaliza akan terus memegang rekod pemenang Artis Serantau Paling Popular yang dipegangnya lapan tahun berturut-turut? |
“Penggemar muzik Malaysia tak sepatutnya membiarkan kategori itu beralih tangan ke negara lain. Kemenangan Malaysia bagi kategori itu penting kerana dianggap sebagai batu loncatan untuk memastikan karya tanah air mendapat perhatian di negara orang. Setiap undian anda cukup bermakna, bagaimanapun ia bergantung kepada penetapan kuota peratusan maksimum sebanyak 3.33 peratus bagi tiga negara terbabit.
“Semuanya terletak kepada undian anda dan setakat ini (ketika artikel ini ditulis), Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir antara senarai artis Malaysia yang mendahului bagi kategori Artis Serantau Paling Popular. Bagaimanapun ia bukan lagi kedudukan yang selesa kerana sudah ada artis Indonesia yang memintas,” katanya sambil berharap supaya peminat muzik tempatan tidak akan berhenti mengundi bimbang undian akan terus statik.
Kata Amin lagi, peningkatan undian mendadak di Indonesia yang bermula 28 Jun lalu barangkali didorongi faktor keghairahan rakyat Indonesia yang pertama kali menjadi tuan rumah acara gilang-gemilang itu.
“Ketika pihak kami mengadakan majlis sidang media mengenai acara ini di APM 2009, lebih 100 media dari sana yang turun padang untuk membuat liputan. Gambaran itu secara jelas menunjukkan keterujaan orang Indonesia yang tidak sabar menanti acara ini singgah ke negara mereka,” katanya.
Ditanya tidakkah fungsi beberapa media rasmi yang sudah dilantik menjadi tulang belakang kepada APM 2009 membantu dalam terus memastikan hebahan mengenai perkembangan acara itu terus bergerak, Amin mewakili BESB mempunyai jawapannya sendiri.
Katanya seiring dengan peredaran masa, hak eksklusif yang diperoleh media tertentu mungkin tidak lagi relevan pada masa mendatang.
“Pada awal kemunculan acara ini, mungkin kita perlu media rasmi dalam mencipta jenama pertandingan itu sendiri. Kami mula terfikir untuk menggugurkan hak eksklusif itu tahun depan kerana mahu menarik lebih ramai rakan media untuk bekerjasama. Tak saya nafikan apabila wujud hak sebegini, ada keterbatasan yang dialami sesetengah media yang bukan media rasmi.
“Di Indonesia sendiri, ada empat radio berbeza profil pendengar, namun mereka bersatu untuk memberi sokongan padu dalam acara ini. Akhirnya kami mula sedar, kita semua patut bersatu dan tidak kisah daripada media mana kita berada. Kita juga boleh buat dan sebab itu, kami terus mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menjayakan dan menghebahkan perkembangan APM 2009,” katanya.
Suria FM tawar tiket saksi APM di Jakarta
SEMENTARA itu, selain mengumumkan kedudukan undian artis Malaysia bagi kategori popular dan artis yang bakal membuat persembahan, sidang media yang sama turut disertai stesen radio Suria FM yang menyatakan kesudian demi membantu mempromosikan APM 2009. Ia diwakili Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Zainal Abidin.
“Dua hari sebelum sidang media ini berlangsung, saya ada menghubungi Amin untuk bertanyakan perkembangan APM 2009. Amin ada memberitahu saya mengenai undian SMS artis negara kita yang semakin ketinggalan. Lalu, apa yang dilakukan kami ini sebagai tanda sokongan dalam usaha memeriahkan lagi acara terbabit.
“Selepas persetujuan termeterai, kami berharap usaha untuk memanjangkan promosi APM 2009 sedikit sebanyak dapat membantu kelancaran APM 2009 nanti. Kami juga akan membeli 10 tiket untuk dihadiahkan kepada lima pendengar bertuah Suria FM yang menjawab soalan berkenaan APM 2009 dengan tepat. Istimewanya mereka dapat membawa pasangan masing-masing.
“Kami akan membiayai kos tiket dan tempat tinggal mereka di sana. Peraduan itu akan bermula pada hari ini hingga Jumaat. Setiap hari akan diumumkan satu pemenang saja. Jadi pastikan anda mendengar frekuensi radio kami untuk memenangi tiket itu. Penyampai radio kami juga akan menggunakan pelbagai cara untuk memastikan undian kategori popular terus meningkat,” katanya sambil memberitahu segala status terkini mengenai APM 2009 boleh diketahui dengan melayari www.suriafm.com.my
Tambah suami kepada Erra Fazira itu lagi, apa yang dilakukan stesen radio itu adalah sebagai tanggungjawab sosial terhadap industri seni.
“Saya rasa bukan untuk acara ini saja, untuk acara berprestij lain juga lebih bagus kalau tiada media rasmi. Hak eksklusif itu tidak perlu diwujudkan lagi kerana saya yakin banyak media yang bersedia untuk mempromosikan acara hiburan sebegini dalam usaha memartabatkan dunia seni tanah air,” kata Engku Emran.
INFO: APM 2009
Pusat Konvensyen Jakarta, Senayan pada 18 Julai ini.
Senarai artis yang bakal membuat persembahan malam kemuncak APM 2009
Cara mengundi
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: