|
|
PERSONALITI yang seorang ini dari luarannya memang cukup ceria biarpun gelodak hatinya, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Namun, berbekalkan semangat serta keyakinan yang ada dalam dirinya, dia tega menghadapi kehidupannya dengan tenang biarpun tiada lagi lelaki yang bergelar suami di sisi.
Perceraian Sarimah Ibrahim dengan suaminya, Amir Andrew Browning Abdullah sejak Disember tahun lalu sememangnya mengejutkan ramai pihak.
Masakan tidak, sebelum ini mereka kelihatan cukup bahagia sedangkan di dasar perkahwinan mereka sebenarnya bergelora.
Siapa yang pernah menyangka kegembiraan dan kebahagiaan yang terpancar di luaran itu adalah lakonan semata-mata dalam usaha untuk memperbaiki kekhilafan diri masing-masing.
Sememangnya Sarimah seorang yang cukup tabah menghadapi dugaan hidup dan mengakui kehidupannya kini semakin bahagia dengan rezeki yang mencurah-curah datang kepadanya.
Bertemu dengannya sewaktu rakaman program Astro Mega Raya baru-baru ini, Sarimah mengakui, dia semakin tenang menghadapi kehidupannya sebagai seorang selebriti.
Berderet
Biarpun pada awal perceraiannya air mata sering menjadi teman setia, kini semuanya sudah berubah.
“Tidak ada guna untuk saya kenang apa yang sudah berlaku kerana apa yang penting adalah masa depan saya sekarang. Saya perlu teruskan hidup dan saya bersyukur kerana mempunyai ibu bapa yang tidak pernah lelah menyokong saya dalam apa jua keadaan,” katanya dalam nada tenang.
Ucapan syukur tidak pernah terlepas dari bibir mungilnya tatkala mengenangkan rezeki yang diterimanya sejak akhir-akhir ini selepas bergelar seorang janda.
Kerana itu jugalah dia tidak mahu lagi memikirkan kisah lama yang sudah menjadi satu sejarah dalam diari hidupnya.
Sebaliknya, dia cukup galak bercerita tentang projek-projek barunya yang berderet menanti untuk direalisasikan.
“Saya tidak mahu membebankan fikiran saya berhubung soal jodoh dan pengganti. Pada saya, bila sampai waktunya barulah saya akan fikir tentang perkara itu. Buat masa ini saya mencintai diri saya terlebih dahulu,” katanya penuh makna.
Antara projek baru Sarimah adalah program terbaru bersama Astro yang diberi judul Tangkap Muat yang memperlihatkan dia sebagai hos menerusi rancangan sebanyak 13 episod itu.
Jelas Sarimah, Tangkap Muat merupakan sebuah program yang mentransformasi seseorang itu untuk menjadi lebih baik dari segi kecantikan diri serta apa sahaja di sekeliling mereka.
Dengan bantuan dua perunding solekan dan fesyen selebriti iaitu iaitu, Zulfazli Suhadi dan Rizalman Ibrahim, Tangkap Muat dijangka mampu menarik perhatian ramai.
Malah, kini permohonan sudah dibuka kepada mereka yang berminat untuk menyertainya tanpa mengira kaum, umur dan jantina seperti mana yang dipaparkan dalam iklan promosinya di saluran Astro.
Namun jelas Sarimah, apa yang membuatkan dia begitu teruja dengan Tangkap Muat apabila terlibat secara langsung bukan sekadar hos tetapi juga bertindak sebagai penolong penerbit.
Tidak cukup dengan itu, dia juga menjadi penyumbang idea kepada konsep rancangan tersebut yang menggabungkan idea America’s Next Top Model dan MTV Room Raiders.
“Sepanjang 13 tahun menjadi seorang pengacara, saya fikir ia merupakan satu perjalanan yang panjang untuk saya mengutip pengalaman serta membina nama sebagai seorang pengacara.
“Tidak cukup hanya dengan teori sebaliknya ilmu praktikal itu juga penting untuk kita mengetahui tentang penerbitan sesuatu rancangan itu. Bukan hanya dengan menjadi hos, berdiri depan kamera dan menyampaikan apa yang telah dihasilkan menerusi skrip,” ujar Sarimah memberikan pandangannya sambil memberitahu Tangkap Muat dijadualkan ditayangkan sekitar bulan Oktober nanti.
Dalam perkembangan lain, Sarimah yang juga seorang pelakon dan penyanyi itu juga menjelaskan, kekaburan statusnya sebagai artis eksklusif Astro di kalangan penggiat seni tempatan sudah terungkai.
Bertudung
Masakan tidak, selama tiga tahun dia menjadi wajah eksklusif Astro ramai penerbit dan pengarah takut untuk mengambilnya berlakon hanya kerana dia menjadi artis Astro.
Jelasnya, dia hanya menjadi wajah eksklusif Astro untuk bidang pengacaraan sahaja dan bukan untuk drama terbitan stesen televisyen berbayar itu.
“Alhamdulillah, apabila saya menjelaskan kepada mereka perkara sebenar barulah mereka faham dan rezeki berlakon itu mula mendatangi saya. Tetapi saya juga akan menimbangkan tawaran yang benar-benar bagus dan memastikan ia tidak bercanggah dengan jadual saya sebagai pengacara,” katanya yang muncul sebagai penampilan istimewa dalam filem animasi terbaru arahan Aziz M. Osman berjudul CE1.
Dalam perkembangan lain, Sarimah juga baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama mini sebanyak empat episod arahan Erma Fatima untuk tayangan Aidilfitri nanti.
Jelasnya, dalam drama yang masih belum berjudul itu, buat pertama kalinya dia berlakon memegang watak sebagai seorang isteri yang memerlukannya bertudung.
Menariknya, pasangannya merupakan pengarah kreatif, Mamat Khalid yang berlakon sebagai suaminya dalam drama mini berkenaan di samping pelakon lain seperti Vanidah Imran dan Diana Danielle.
Sarimah juga sempat ditanya tentang keadaan dirinya yang perlu menjalani ibadah puasa tidak lama lagi secara sendirian.
“Tentang itu, saya akan cuba menyesuaikan diri. Maklumlah, selama tiga tahun semuanya dilakukan berdua dengan Amir sewaktu puasa, tetapi kini semuanya berubah.
“Mujurlah ada kawan-kawan dan famili yang mampu menceriakan hari-hari saya ketika bulan Ramadan nanti,” ujarnya yang kelihatan semakin langsing itu.
bersabarlh...dulu saya big fan dia
ReplyDeletehttp://blog.thesutras.org