Wednesday, July 29, 2009

Sarimah dulu digelar 'gemuk badak' kini hos 'The Biggest Loser Asia'

Sarimah Ibrahim bersama para pelatih FitnessFirst.

KETIKA budak kecil, selebriti terkenal, Sarimah Ibrahim digelar dengan nama-nama julukan seperti 'gemuk badak', 'orang putih celup' dan macam-macam lagi.

Menurut Sarimah, badannya berisi sejak kecil apatah lagi berat badan sewaktu dilahirkan sudah mencecah 10 paun.

Katanya, ini mungkin disebabkan dia berdarah kacukan Irish dan Malaysia tetapi dia tidak terkilan malah menguatkan azamnya untuk berjaya.

"Saya selalu diejek. Misalnya, semasa belajar, saya terpaksa menempah baju kerana beli baju di Globe Silk Store, tak dapat saiz badan... buat malu aje.

"Bagaimanapun, saya menghadapinya (nama-nama julukan) secara positif. Parts of my life Saya buat lawak, acting, public speaking, debating. Dan saya sapu semua semua hadiah, anugerah... kerana itu adalah fokus saya," kata Sarimah.

Pengacara, pelakon, aktres dan pemuzik ini ditemui pada sidang akhbar pelantikannya sebagai pengacara program realiti Amerika Syarikat, 'The Biggest Loser Asia' menerusi saluran televisyen Hallmark di Plaza Mont Kiara, semalam.

Sarimah akan menjadi personaliti program realiti tersebut yang menampilkan 30 peserta dari negara-negara Asia berebut mendapatkan gelaran 'The Asian Biggest Loser' sekali gus meraih hadiah wang tunai USD100,000 (anggaran RM380 ribu).

Bermula Sabtu ini, Sarimah akan mengendalikan sesi uji bakat untuk mencari peserta 'The Biggest Loser Asia' di The Curve dari 10 pagi hingga 4 petang.

Dari kiri: Ketua Pegawai Kewangan, Fitness First Asia, David Prosser; Sarimah Ibrahim dan Produser Eksekutif Imagine Omnimedia, Riaz Mehta.

Antara kriteria pertandingan ialah peserta mesti berumur antara 18-55 tahun dan fasih berbahasa Inggeris.

Mengimbau zaman kanak-kanaknya, Sarimah berkata, saiz badan besar secara tidak langsung membantu dia memperkembangkan bakatnya pula, bak kata pepatah, "Pantang kutu dicukur, pantang manusia dihinakan".

"Saya tidak akan berputus asa dalam kehidupan peribadi saya dan kerjaya saya kerana saya membiasakan diri saya sejak kecil lagi.

"Saya mengambil apa-apa yang baik, tinggalkan yang buruk dan mara ke depan. Saya tak benarkan diri mengaku kalah. Saya membiasakan diri tidak menangisi, berasa 'self-pity' kerana semua itu tak ada maknanya," katanya.

Ujar Sarimah: ""Itulah yang dikatakan 'there's always good in bad.' Mengambil contoh perkahwinannya yang telah berantakan, jelitawan ini menganggap perceraian itu sebagai perubahan yang melonjakkannya ke hadapan.

Misalnya, Sarimah bakal mengacarakan program realiti 'The Biggest Loser Asia' yang bertaraf antarabangsa.

Lain-lain aktiviti kerja termasuk program baru Astro Ria, 'Tangkap Muat (Astro Ria), 'Macam-macam Aznil Raya', 'Mega Raya Astro', set penggambaran drama Akademi Fantasia, drama bersama Erma Fatima tentang Hari Raya.

Untuk peranannya sebagai hos 'The Biggest Loser Asia', Sarimah berkata dia telah mempunyai seribu satu idea bersarang di benaknya.

Katanya, dia ingin menjaja nama Malaysia di persada antarabangsa. "Saya ingin masyarakat dunia sedar Malaysia bukan sahaja setakat Menara Berkembar Petronas malah lebih dari itu.

"Rakyat Malaysia penuh humor, bertatasusila, kaya dengan nilai moral. Apabila berjaya memancing minat mereka, saya akan menceritakan negara Malaysia kepada mereka," ujarnya.

Sarimah akan menyandarkan pengalaman selama lebih 13 tahun dalam bidang pengacaraan, lakonan serta nyanyian untuk mengacara program tersebut dengan baik.

"Saya masih dibuai mimpi indah... Hai, saya ialah Sarimah Ibrahim dari Malaysia...," katanya yang pernah menjadi penyampai wanita pertama untuk Disney Channel.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: