Wednesday, July 1, 2009

RTM nafi ada arahan gam Ako Mustapha

Ako Mustapha.

BARU-BARU ini pelakon Ako Mustapha meluahkan perasaannya yang tertekan kerana tidak mempunyai kerja apabila banyak tawaran lakonan yang terbatal.

Menurutnya, terdapat beberapa syarikat produksi yang enggan mengambilnya berlakon kerana bimbang sekiranya dia digam stesen TV berikutan kes khalwatnya yang sedang dibicarakan di Mahkamah Syariah sekarang.

Ini kerana, ia merupakan kali pertama Ako menempuhi hal seumpama ini lebih-lebih lagi isterinya, Kartina Shuaib Abdullah sedang mengandung 11 minggu.

“Karier saya sangat perlahan sekarang dan memang saya tidak mempunyai apa-apa pekerjaan langsung setakat ini.

“Saya rasa sangat stres dan merasakan kehidupan ini agak ‘tough’ dan bertambah ‘struggle’ dengan keadaan saya yang mempunyai isteri dan bakal mendapat anak nanti.

“Tetapi, apa yang saya boleh lakukan. Saya telah buat yang terbaik. Jadi, selepas ini saya perlu mencari jalan lain untuk menyara kehidupan sekeluarga,” kata Ako.

Bagaimanapun, ketika menghubungi Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Ibrahim Yahya untuk mendapat kepastian mengenai hal itu, dia berkata setakat ini tiada sebarang tindakan yang diambil untuk menggantung atau melarang penyiaran drama atau program melibatkan pelakon itu.

“Setakat ini, tiada arahan untuk itu,” jawab Ibrahim ringkas.

April lalu, sebuah akhbar melaporkan semua stesen TV akan terus menyiarkan drama lakonan Ako Mustapha atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 37, walaupun pelakon itu dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM3,000 atas kesalahan berkhalwat, dua tahun lalu.

Empat stesen TV iaitu Astro, RTM, TV9 dan TV3 bersependapat adalah tidak adil untuk mengenakan tindakan ke atas pelakon itu kerana ketika drama lakonannya disiarkan, kes pelakon itu masih dalam peringkat perbicaraan.

Dalam laporan itu, Ibrahim pernah mengulas mengenai hal ini yang memaklumkan Ako masih diterima di stesen RTM.

"Bagaimanapun, apa-apa keputusan biarlah diputuskan menteri (Menteri Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan dan Kesenian)," katanya.

Ako yang mengaku bersalah berhubung kes khalwat dengan Anang Sagunting dijatuhkan hukuman denda RM3,000 dan penjara 3 bulan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur, 21 April lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad atas kes khalwat Ako dan dia dianggap telah menghina mahkamah setelah empat kali gagal menghadirkan diri semasa sebutan kes yang lalu.

Ako didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Ako, 37, yang berkahwin dengan Kartina, 29, pada 17 Januari lalu dituduh berkhalwat dengan Anang Sagunting, 25, di Oakleaf Park Kondominium, Persiaran Bukit Antarabangsa di sini, sekitar jam 1.20 pagi, pada 27 Jun 2007.

Ako sedang dalam proses menunggu tarikh perbicaraan lanjut mengenai kes khalwatnya yang belum ditentukan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: