KUALA LUMPUR – “Bukan ikan bilis (Abdul Kudus) saja yang patut diberi pengajaran mesti dapatkan ikan yu juga, ikan bilis tidak patut dianiaya sehingga ikan yu terlepas.”
Demikian hujah peguam bela, M. Manoharan ketika memohon penangguhan hukuman penjara 11 tahun, 10 bulan dan denda RM370,000 yang dikenakan terhadap bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini semalam.
Hakim Noradidah Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Abdul Kudus selepas disabitkan bersalah atas 24 tuduhan meminta dan menerima rasuah RM59,000 enam tahun lalu.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Polisi) Jabatan Peguam Negara, Datuk Nordin Hassan membalas: “Ikan yu ke, ikan bilis atau ikan kembong mana-mana ikan pun sama saja, tindakan tetap akan diambil berdasarkan fakta dan undang-undang.”
Manoharan yang menyambung hujah berkata, anak guamnya mempunyai hak untuk merayu di Mahkamah Tinggi lebih-lebih lagi isteri keduanya baru melahirkan anak tiga bulan lalu.
Hakim membenarkan penangguhan hukuman sehingga rayuan selesai dengan jaminan RM150,000.
Abdul Kudus yang mempunyai 10 orang anak hasil perkahwinan dengan dua isteri bakal menjalani hukuman penjara tambahan 17 tahun lagi jika gagal membayar denda RM370,000. Hukuman itu diarahkan berjalan berasingan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: