MASIH berpegang pada prinsip penonton berhak mendapat yang terbaik, pelakon dan pengarah Hans Isaac sanggup mengambil risiko yang besar dengan melabur lebih kurang RM 3 juta wangnya sendiri bagi merealisasikan harapannya untuk memberi yang terbaik kepada penonton.
Pemilik syarikat produksi Tall Order Productions Sdn Bhd (TOPSB) ini sanggup berbelanja besar untuk teater 'Cuci the Musical' yang akan dipentaskan pada 23 Oktober ini di Istana Budaya.
"Kita sebenarnya kalau nak satu projek yang besar, kita kena berbelanja besar dan semestinya risiko dia pun besar. Sebab itu saya tak nak setiap projek yang saya ambil hasilnya biasa-biasa saja.
"Saya juga ingin mencuba langkah baru untuk menampilkan kelainan dalam teater ini berbanding teater-teater sebelum ini. Bukan bermakna teater-teater sebelum ini tidak bagus, tapi saya ingin menampilkan kelainan jadi saya ambil inisiatif dengan melabur wang yang banyak." jelas Hans.
Menurut Hans juga, dia masih lagi belum menerima sponsor untuk perbelanjaan teater musikal ini yang akan menampilkan nama-nama besar dalam bidang lakonan, rekaan set dan juga pemuzik-pemuzik.
Teater 'Cuci the Musical' ini bakal menampilkan pelakon-pelakon seperti Awie, A.C Mizal, Hans Isaac, Adibah Noor, Vanidah Imran, Harith Iskandar dan ramai lagi.
"Apa yang saya cuba lakukan sebenarnya adalah untuk menjadikan 'Cuci the Musical' ini berbaloi. Saya harap dapat menggalakkan penonton datang menonton dan rasa berbaloi dengan apa yang mereka bayar.
Diminta mengulas mengenai filem kedua arahannya, Hans tidak mahu mengulas lanjut kerana dia tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi berikutan proses pembikinan filem itu masih lagi dalam perbincangan.
"Saya tidak dapat menjawab sebarang pertanyaan kerana kita masih lagi diperingkat awal dan berbagai masalah kami perlu selesaikan terlebih dahulu.
"Saya rasa lebih elok jika kita tunggu sahaja sidang akhbar yang akan diadakan nanti dan ketika itu barulah saya boleh menjawab segala pertanyaan," terang pelakon ini dalam nada ketawa.
Hans kini juga sedang sibuk menjalani pengambaran bagi drama bersiri 'Biru Cinta Laguna' yang akan ditayangkan di TV9 dan baru sahaja selesai pengambaran untuk drama 'Cuci the series' tiga dan empat minggu yang lepas dan bakal ditayangkan di RTM
Selain itu, peminat-peminat Hans juga dapat menyaksikan drama terbitannya yang berjudul 'Klon Teja' pada 27 Julai ini di Astro Prima pada pukul 10.00 malam.
Kepada peminat-peminat Hans Isaac yang ingin menyaksikan teater 'Cuci the Musical' ini tiket boleh didapati dalam lapan harga yang berbeza bermula dari RM 30 hingga RM 200. Tayangan ini akan diadakan di Istana Budaya pada 23 Oktober 2009 bermula jam 8.30 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: