KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 43 tahun nyaris-nyaris ditipu apabila Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengesahkan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai pengesahan pinjaman yang diluluskan bukan dihantar oleh organisasi tersebut.
Malah pihak PTPTN sendiri dalam siasatan mereka terhadap isu yang dibangkitkan oleh Kosmo! dalam laporannya kelmarin tidak dapat mengenal pasti sumber SMS misteri itu.
Pemangku Pegawai Perhubungan Awam PTPTN, Mastura Mohd. Khalid dalam kenyataannya semalam menjelaskan, mereka telah membuat laporan polis kelmarin bagi menjalankan siasatan dan menangkap dalang SMS itu.
“SMS itu jelas bukan daripada kami, malah pihak yang menghantarnya juga tidak dapat dikenal pasti,” jelasnya.
Kosmo! dalam laporannya kelmarin menyiarkan dakwaan seorang lelaki yang terkejut menerima SMS pada 9 Jun lalu memaklumkan permohonannya mendapatkan pinjaman PTPTN telah berjaya dan disusuli SMS kedua pada 18 Jun pula meminta beliau datang kepada PTPTN untuk menguruskan pinjamannya.
Bagaimanapun Kosmo! yang melawat pejabat PTPTN mendapati alamat yang diberikan serta pegawai yang bernama Miss Maheran yang dinyatakan dalam SMS itu rupa-rupanya tidak wujud.
Mastura berkata, PTPTN memandang serius kejadian itu kerana ia boleh menjejaskan kewibawaan mereka.
“Kami menasihatkan pelajar, pemohon atau ibu bapa tidak terpedaya jika menerima SMS yang serupa,” ujarnya.
Katanya, jalan yang lebih selamat ialah membuat semakan dengan PTPTN menerusi talian 03-20927788 atau melayari www.ptptn.gov.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: