Thursday, July 30, 2009

Blogger Boy temukan mereka


DRAMA bersiri, Blogger Boy yang menggandingkan Nas-T (kiri), Julie Woon dan Qi .


KETIGA-TIGA mereka hakikatnya pernah memasang impian untuk bekerjasama dengan pengarah kreatif, Bernard Chauly sejak sekian lama. Bagi mereka, Bernard merupakan salah seorang pengarah generasi baru yang bijak mewarnakan karya-karya sehingga meninggalkan impak yang besar dalam industri penerbitan drama televisyen di negara ini.

Segar, kreatif dan inovatif - itulah yang digambarkan oleh mereka bertiga ini apabila ditanya mengenai karya yang dihasilkan oleh Bernard yang cukup popular dengan filem dan drama bersiri, Gol & Gincu.

Lantas, apabila ditawarkan berlakon dalam drama bersiri Blogger Boy terbitan Red Communications Sdn. Bhd., yang sudah pun memulakan tayangannya di 8TV setiap hari Khamis sejak 28 Mei lalu, masing-masing menyifatkan diri mereka cukup bertuah.

Kata tiga bintang utama Blogger Boy iaitu Qi, Julie Woon dan Nas-T, bukan sekadar memperoleh pengalaman berharga menerusi drama itu tetapi ia juga telah mencipta persahabatan yang terjalin indah antara mereka.

Sewaktu menjalani sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini, kemesraan antara mereka jelas terpancar baik sewaktu diminta untuk memberikan gaya masing-masing di depan kamera mahupun ketika ditemuramah.

Karakter masing-masing yang gila-gila dan ceria sepanjang sesi fotografi berlangsung banyak menghidupkan suasana dan semuanya terpancar jelas dalam seluloid.

Berlakon tingkat keyakinan diri Qi

JEJAKA berkulit putih dan tinggi lampai ini mula mencuri perhatian khalayak sewaktu menjadi pengacara untuk rancangan Destinasi Bajet selama dua musim yang juga bersiaran di 8TV.

Bukan itu sahaja, rancangan pengembaraan Field Trip USA! juga telah berjaya meletakkan nama Qi sebagai pengacara pelapis negara yang semakin menempa nama.

Berbekalkan wajah kacak yang menjadi kegilaan ramai wanita, tidak hairanlah populariti Qi mula melonjak dan diterima dengan baik oleh audiens.

Menafikan kehadirannya dalam bidang pengacaraan semata-mata hanya mahu mempertaruhkan wajahnya, Qi mahu masyarakat menerimanya lebih daripada itu.

Disebabkan itu, dia tidak teragak-agak menerima tawaran Red Communications untuk berlakon dalam Blogger Boy setelah lulus dalam satu sesi uji bakat.

Menyifatkan bidang lakonan jauh berbeza dengan bidang pengacaraan, yang nyata Blogger Boy telah membuka lembaran baru dalam diari seninya selain meningkatkan tahap keyakinan diri.

Kata Qi, 31, atau nama sebenarnya, Qushairi Razali impiannya untuk menjadi seorang pelakon sudah disimpan sejak lama tetapi dia tidak yakin pada dirinya sendiri.

"Menjadi pengacara, ia lebih kepada menjadi diri sendiri dan kita bebas melakukan apa sahaja aksi biarpun ada skrip sebagai panduan.

"Tetapi berlakon kita tidak boleh terlalu tersasar daripada skrip yang sudah diberikan biarpun pengarah memberi kebebasan untuk mewarnakan watak masing-masing," katanya membuka bicara.

Dengan bimbingan pengarah itu juga, kata Qi, dia berjaya memberikan serta menghidupkan watak Budi seperti mana yang dimahukan.

"Hakikatnya, Budi merupakan watak yang bertentangan dengan personaliti diri saya," jelasnya yang memberitahu musim kedua Blogger Boy akan menjalani penggambaran tidak lama lagi.

Tidak berapa lama dulu, pernah ada gosip tentang Qi yang dikatakan teman istimewa kepada model terkenal, Irene Santiago.

Diminta mengulas isu itu, Qi hanya menggelengkan kepalanya sambil memberitahu, perkara itu tidak benar sama sekali.

"Hubungan saya dengan Irene saling tidak ubah sekadar teman rapat sahaja. Tidak lebih daripada itu. Saya sedar dalam usia yang melewati 30 tahun ini merupakan masa yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga.

"Buat masa ini, saya sedang mengenali seseorang sejak enam bulan lalu. Tentang peringkat seterusnya, biarlah masa yang menentukan," ujarnya tanpa berselindung.

Mengenai projek terbarunya dalam bidang pengacaraan pula, Qi tidak menolak kemungkinan Destinasi Bajet akan diteruskan untuk musim ketiga yang merangkumi negara-negara Asean pula.

Mengulas tentang kemenangan Field Trip USA! di Shout! Awards 2009 baru-baru ini, Qi tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya apabila rancangan itu dipilih sebagai Favourite TV Program Award.

Jelas anak kelahiran Tanjung Bungah, Pulau Pinang ini, ia sekali gus membuktikan rancangan tersebut menerima respons positif daripada peminat dan penonton.

Namun begitu, Qi tewas di tangan Nazrudin Habibur Rahman untuk merangkul gelaran Favourite TV Host Award.

"Menang atau kalah tidak kisah tetapi misi penganjuran Shout! Awards itu sendiri yang telah membuka satu lembaran baru dalam industri hiburan tempatan.

"Saya rasa bertuah kerana turut dicalonkan bersama-sama mereka yang cukup hebat dan bagus di mata saya," katanya jujur.

Pengalaman baru Julie

SEPERTI Qi, anak jati Kuala Lumpur ini juga memulakan kariernya sebagai seorang pengacara rancangan Motorsports @ Petronas untuk ntv7 yang akan memasuki musim kedua tidak lama lagi.

Pernah membintangi sebuah filem bebas arahan Jeffry Chong berjudul Light Sunshine After Rain sebelum ini, namun Julie menganggap Blogger Boy merupakan permulaan segala-galanya untuk memperkenalkan namanya kepada industri.

Tidak pernah bermimpi untuk melibatkan diri dalam produksi yang sering kali menerbitkan produk berkualiti, Julie bagaimanapun harus berterima kasih kepada Lina Tan selaku penerbit dan Bernard sendiri.

Cerita Julie, pada awalnya dia hanya menemani salah seorang rakannya pergi uji bakat untuk drama berkenaan.

Bagaimanapun, kawannya itu memujuk Julie untuk menguji bakat bersama-sama dan akhirnya rezeki yang berpihak kepadanya.

"Saya sedar pertuturan saya dalam bahasa Melayu tidak berapa bagus tetapi menerusi Blogger Boy inilah yang banyak membantu meningkatkan mutu bahasa saya.

"Biarpun watak Nina yang saya bawakan dalam drama ini memerlukan saya mengucap dialog dalam dwi bahasa tetapi itu bukan satu halangan buat saya. Saya bersyukur kerana dapat melibatkan diri dalam produksi ini," katanya yang baru sahaja menginjak usia 25 tahun pada 21 Julai lalu.

Mengenai watak Nina pula, graduan Universiti Monash, Australia ini menjelaskan, ia sedikit sebanyak persamaan dengan dirinya - berpendidikan tinggi, berkeyakinan, berani dan ada kalanya degil.

Keserasiannya dengan dua bintang lain, Qi dan Nas-T juga banyak membantunya menghidupkan watak Nina dan daripada situ, terjalinlah satu persahabatan yang dia sendiri tidak pernah impikan.

"Kami pada mulanya segan dan hanya bertegur sapa sewaktu di lokasi tetapi lama-kelamaan ia bertukar menjadi satu hubungan yang erat apabila masing-masing membantu antara satu sama lain.

"Qi dan Nas-T masing-masing mempunyai karakter dan personaliti yang berbeza. Sehingga kini, kami masih keluar bersama-sama jika berkesempatan dan pernah juga kami keluar memancing bersama-sama.

"Tidak pernah saya menyangka Blogger Boy mengeratkan hubungan persahabatan antara kami bertiga," ujarnya sambil mengerling dan tersenyum ke arah Qi dan Nas-T yang berada di sebelahnya.

Nas-T enggan stereotaip

IMEJ lelaki jahat, nakal dan antagonis sering kali diberikan kepada Nas-T lantaran personalitinya sendiri yang mendorong penerbit untuk menawarkan watak sedemikian kepadanya.

Namun, jauh di sudut hatinya, dia seboleh-bolehnya mahu lari daripada membawakan watak-watak sedemikian kerana bimbang dikatakan tidak mampu membawakan watak lain.

Disebabkan itu, Nas-T menjelaskan, watak Kid yang dibawakannya dalam Blogger Boy telah memberi dimensi baru kepada lakonannya.

"Setidak-tidaknya ia mampu membuka mata kepada audiens bahawa saya boleh membawakan watak yang lain. Tidaklah asyik watak sama sahaja. Saya tidak mahu dilabelkan sebagai pelakon stereotaip.

"Tetapi saya sedar, rezeki datang kepada saya menerusi watak-watak sedemikian. Jadi, saya menerimanya dengan hati terbuka. Sebagai orang baru, ada kalanya saya tidak boleh terlalu memilih," katanya jujur.

Pemilik nama penuh Nas Muammar Zar Nasruddin ini bukanlah nama asing dalam produksi terbitan Red Communications sementelah dia pernah membintangi filem dan drama bersiri Kami.

Bukan itu sahaja, dia juga pernah bekerja dengan Bernard menerusi filem Goodbye Boys dan akan datang, Pisau Cukur.

Justeru itu, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerja dengan Bernard kerana sudah masak dan tahu bagaimana cara pengarah itu bekerja.

"Namun begitu, setelah sekian lama tidak bekerja dengan Bernard, saya teruja menantikan peluang itu datang sekali lagi dan akhirnya ia datang menerusi Blogger Boy," ujar Nas-T yang juga mempunyai kumpulannya sendiri iaitu Kugiran Malaya.

Malah Blogger Boy merupakan platform terbaik untuk Nas-T dan kugirannya apabila single mereka Epilog Cinta turut dimuatkan dalam drama bersiri itu.

Biarpun sibuk dengan lakonan, anak jati Kuala Lumpur ini berkata, dia masih mampu membahagikan masa antara lakonan dan nyanyian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: