Saturday, January 7, 2017

Zaiton Sameon Masih Dapat Tawaran Pada Usia 60 Tahun



Zaiton Sameon bersyukur masih diberi peluang untuk mengadakan persembahan walaupun usianya kini sudah mencecah 60 tahun. 
PETALING JAYA: Penyanyi popular era 80-an, Zaiton Sameon bersyukur pada usianya yang kini mencecah 60 tahun dia masih menerima pelbagai undangan nyanyian.

Zaiton berkata, dia sentiasa terbuka dengan peluang diberikan sama ada majlis kecil atau pun besar kerana itu adalah rezeki dan peluangnya untuk menghiburkan peminat.

"Alhamdulillah rezeki menyanyi masih ada malah kebanyakannya di Johor dan Singapura. Setiap minggu saya akan ke sana untuk mengadakan persembahan walaupun terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Selatan tanah air.

"Tidak mengapa walaupun jauh, saya seronok kerana itu rezeki saya dan dapat menghiburkan peminat," katanya.

Dalam pada itu, Zaiton berkata, dia tidak pernah terfikir untuk bersara daripada bidang nyanyian kerana ia adalah minatnya sejak dahulu.

Malah kata Zaiton, dia akan menyanyi selagi ada permintaan daripada peminat yang mahu menyaksikan persembahannya.

Zaiton bakal muncul dengan album terbaharu.
"Nyanyian sudah sebati dalam diri saya dan Insya-Allah saya akan terus menyanyi selagi ada permintaan," ujarnya.

Sementara itu, penyanyi yang popular dengan lagu Menaruh Harapan itu berkata dia sudah pun menyiapkan album terbaharunya yang diberi judul Terimalah Aku, memuatkan sembilan buah lagu.

Zaiton memberitahu dia teruja dengan album berkenaan dan yakin ia akan diterima baik oleh peminat yang sudah lama menantikan buah tangan terbaharu daripadanya.

"Saya sudah siap merakamkan album berkenaan sejak tahun lalu lagi dan kini sedang menunggu masa sesuai untuk dilancarkan.

"Album itu memuatkan lagu-lagu balada yang melodinya lebih kepada era 90-an kerana itu yang pendegar suka sekarang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: