OPPO memperkenalkan model telefon pintar baharunya, Oppo R9s, yang menawarkan pengalaman telefon kamera lebih jelas pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Ketua Pegawai Eksekutif Oppo Malaysia, William Fang berkata, Oppo R9s itu didatangkan dengan kamera belakang 16 mega piksel (MP), bersama teknologi fokus Dwi-PDAF serba baharu.
Katanya, kamera belakang R9s menggunakan sensor Sony IMX398 serba baharu, dibangun bersama antara Oppo dan Sony bagi memberikan gambar lebih jelas setiap kali pengguna menggunakan telefon kamera.
"Walaupun kami mendapat pengiktirafan daripada pengguna Malaysia untuk model F1s, kami tidak mahu berhenti di sini sahaja, sebaliknya meneruskan perjalanan supaya pelanggan berpeluang merasai pengalaman telefon kamera paling premium.
"Usaha penyelidikan Oppo mendedahkan, pengguna tidak berpuas hati dengan kamera belakang kerana imej gambar yang diambil, biasanya kabur atau gelap, dengan prestasi piksel kurang mantap. Jadi, kami nekad menyelesaikan masalah ini, dengan menghasilkan telefon pintar yang membolehkan pengguna mengambil gambar jelas bila-bila masa," katanya pada majlis pelancaran Oppo R9s di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Fang berkata, Oppo R9s direka dengan teliti dalam menyediakan telefon pintar yang bukan sahaja sedap dipandang, malah berguna dalam kehidupan seharian.
Oppo R9s ditawarkan pada harga RM1,798 seunit, termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan tempahan awal boleh dibuat sehingga 13 Januari ini.