SYARIKAT
 Oscar Three Fine Resources memperkenalkan Sistem Pengesanan Kenderaan GPS (SPKG) membantu pemilik kenderaan dicuri atau hilang.
Sistem SPKG tracker adalah sistem mengesan kedudukan kenderaan pada bila-bila masa sahaja melalui aplikasi telefon pintar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakwan Hafiz Ahmad Ansari berkata, sistem baharu itu menggunakan aplikasi android menerusi telefon pemilik kenderaan untuk mengesan kenderaan secara real time.
“Paparan ini boleh didapati menerusi aplikasi dimuat turun menerusi telefon masing-masing.
“SPKG Tracker merupakan peralatan menggunakan teknologi mengesan kenderaan sekiranya ia hilang menerusi GPS,” katanya.
Teknologi tersebut didatangkan bersama satu unit SPKG Tracker dan satu kad sim dalam sistem pengesanan kenderaan tersebut.
Katanya, aplikasi SPKG Tracker boleh dimuat turun dalam dua sistem operasi iaitu Android, Play Store dan iOS, Apple Store menggunakan telefon bimbit selepas pendaftaran.
“Sistem ini akan memaklumkan kedudukan kenderaan yang dipasang dengan SPKG bukan sahaja koordinat bahkan nama jalan dan kawasan secara terperinci.
“Kita boleh melihat semula pergerakan kenderaan dari awal pergerakan sehingga ia berhenti,” katanya.
Beliau berkata, alat tersebut sesuai digunakan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kenderaan peronda.
Sistem tersebut juga dapat mengesan pergerakan kenderaan yang sepatutnya meronda di kawasan tertentu, lokasi dan rekod perjalanan.
Katanya, senarai rekod perjalanan boleh dilihat dengan menekan butang history dan video pergerakan itu akan dimainkan setelah butang play ditekan.
“Segala perjalanan direkodkan dan kita dapat melihat ke mana arah tujuan kenderaan bergerak tanpa sebarang masalah.
“Bukan sahaja kereta, motosikal juga boleh dikesan dengan menggunakan sistem baharu ini,” katanya.
Pemantauan berkesan
Menurut Zakwan Hafiz, pemantauan terhadap anak-anak juga lebih mudah dengan sistem tersebut.
Sekiranya ibu bapa risau akan kegiatan anak mereka, pengguna boleh menggunakan fungsi butang fence bagi menetapkan radius kawasan.
“Jika kita meminjam motor atau kereta kepada rakan, kita boleh tetapkan radius atau lokasi ingin ditujui.
“Contoh, kita boleh setkan lokasi dengan mudah tanpa risau rakan itu melencong ke tempat lain,” katanya.
Dia berkata, sistem itu dapat melakukan pemantauan secara berkesan dan cekap sekiranya kenderaan itu terkeluar daripada radius asal.
Sistem tersebut mengingatkan ibu bapa sekiranya kenderaan itu berada di luar radius dan notis amaran dikeluarkan di telefon bimbit mereka.
“Ramai ibu bapa bimbang jika anak mereka tidak berada di tempat sepatutnya, jadi sistem ini membantu mereka memantau gerak geri.
“Anak-anak tidak boleh menipu kerana ibu bapa boleh melihat pergerakan menerusi telefon bimbit,” katanya.
Paling menarik, sistem itu juga dapat mematikan enjin dengan menekan butang OFF atau ON, namun ia hanya boleh digunakan ke atas kenderaan yang mempunyai fuel injection sahaja. Namun ia tidak sesuai bagi sistem kaburetor.
Tidak hanya terhad kepada sistem pengesanan, ia turut memiliki fungsi mengehadkan kelajuan kenderaan dan sesuai untuk kegunaan bas.
“Alat ini boleh mengawal penggunaan minyak berlebihan dengan pergerakan dipantau.
“Bagi bas ekspres, kawalan kemalangan boleh menggunakan sistem ini dengan memasang kamera hadapan, belakang dan atas,” katanya.
Alat itu boleh direkodkan selama 24 jam sehari selama 30 hari berturut-turut, namun jika ia berhenti, ia dipadam secara automatik.
Butang Tracking pula mengesan kedudukan kenderaan, khusus di kawasan parkir. Butang Alert berfungsi sekiranya kelajuan melebihi 80 kilometer sejam dan notis amaran akan di hantar kepada sistem pemantauan.
Jimat bateri
Zakwan Hafiz berkata, banyak kebaikan alat GPS itu berbanding alat elektronik sama di luar pasaran.
“Sistem kami tidak gunakan tenaga elektrik terlalu banyak sehingga menyebabkan bateri kenderaan cepat habis.
“Alat ini hanya menggunakan jumlah elektrik sangat sedikit dan tidak mengganggu fungsi lain,” katanya.
Jelas Zakwan Hafiz, berdasarkan kajian, motosikal yang sudah lama tidak dihidupkan dengan bateri 13.2 volt, dapat berfungsi baik.
"Berbeza dengan situasi tanpa sistem itu, bateri motosikal cepat lemah dan tidak dapat dihidupkan," katanya
.