KUALA KANGSAR - “Mulanya saya sangka selipar buruk, bila saya jirus air, barulah nampak rupanya sebutir bom tangan.”
Cerita seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Kangsar, Mohd Haidir Tarmizi yang menjumpai sebutir bom tangan berhampiran Pejabat JPAM Kuala Kangsar, semalam.
Menurutnya, dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, dia sedang membersihkan sangkar ular sebelum bom itu timbul apabila tanah di sekelilingnya terhakis.
Mohd Haidir kemudiannya memanggil rakan sepejabat bagi memastikan sama ada objek ditemui itu benar-benar merupakan sebutir bom.
“Kawan saya pada mulanya kata itu bukan bom dan mungkin plastik atau selipar tetapi saya tidak puas hati kerana memang saya yakin itu bom.
“Bentuknya yang melengkung dan ada lekuk-lekuk garisan membuatkan saya yakin itu adalah bom.
“Saya terus memanggil ketua sebelum beliau mengarahkan anak buah untuk menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam, Muhammad Hasrul Hashim berkata, kes tersebut pertama kali berlaku sejak beliau mula berkhidmat di situ pada 2008.
Menurutnya, beliau terkejut apabila anggotanya memberitahu menjumpai sebutir bom di belakang pejabat mereka.
“Alhamdulillah tiada kejadian buruk berlaku namun kami masih terkejut kerana menjumpai bom itu berhampiran tempat kami bekerja.
“Polis kemudiannya tiba dan melakukan operasi memusnahkan bom tersebut,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Ibrahim Husin mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.
Menurutnya, Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) IPK Perak tiba di lokasi kira-kira jam 1.10 petang dan mula melakukan operasi memusnahkan bom.
“Tiada sebarang kerosakan atau kecederaan terhadap harta dan orang awam. Bom tersebut adalah jenis bom lama Grenade M36,” katanya.