
Dua anak muda mempamerkan kemahiran dalam seni silat Lintau ketika menjalani latihan di Jalan Pondok.
PASIR PUTEH - Seni silat bukan sekadar permainan atau warisan yang mesti dipertahankan, malah ia sebagai satu kaedah mendekatkan diri kepada agama.
Pertubuhan Seni Silat Lintau Kelantan memainkan peranan tersendiri dengan membuka jalan kepada murid untuk mendekati ALLAH melalui amalan yang diperturunkan sejak zaman berzaman.
Presidennya, Dr Kamal Shah Abdullah berkata, Gelanggang Tuanku Lintau di Jalan Pondok, di sini, merealisasikan hasrat Ahli Waris Yang Dipertuan Bakumih, Sultan Abdul Jalil Muning Shah, Lintau, Indonesia, dengan mengadakan acara ‘Mengisi Adat Menuang Lembaga’.
Katanya, menerusi acara itu, murid diajar mengenai ilmu agama termasuk al-Quran dan tasawuf selain ilmu mengenai adab dan adat Melayu yang wajar diketahui generasi sekarang.
“Kita juga tidak mengajar murid bermusuh dengan sesiapa sahaja, murid diminta berpandukan ajaran Rasulullah SAW sebagai utusan pendamai,” katanya.
Menurutnya, lima jurulatih ‘menyerahkan adat’ dan diterima sebagai Ahli Lembaga Adat Silat Lintau menerusi acara julung kali diadakan itu.
Kamal Shah yang juga Guru Latih Seni Silat Lintau berkata, silat Lintau yang berasal dari negeri Lintau, Sumatera Barat, sejak 1119 Masihi merupakan silat paling tua lahir dalam alam Melayu-Minangkabau.
“Kekuatan seni silat ini dapat digambarkan dengan kejayaan negeri Lintau bebas daripada jajahan Belanda, Lintau merupakan satu-satunya negeri yang tidak pernah dijajah Belanda walaupun dalam tempoh Perang Paderi dari 1825 hingga 1837.
“Pendekar Lintau pada masa silam merupakan hulubalang Raja Alam Minangkabau yang menjaga Istana Pagar Ruyung,” katanya.
Beliau berkata, amat mengecewakan apabila terdapat sesetengah pihak yang mentafsirkan silat hanya sebagai permainan dan budaya bangsa Melayu di Nusantara.
Katanya, silat mengikut kajiannya berkait rapat dengan tawassul dan wasilah di mana dalam ilmu silat, penuntut diajar mendekatkan diri kepada ALLAH dan tidak bergantung kepada yang lain selainNya.
“Ada mengatakan perkataan silat berasal dari ‘silek’ (Minangkabau) yang bermaksud Si Liek atau Si Liat tapi sebenarnya, ia daripada bahasa Arab dan mempunyai akar kata ‘asala’ yang bermaksud sesuatu yang mendekatkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: