
Madu lebah segar yang dijual Mansor dengan harga sekitar RM35 hingga RM50.
PASIR MAS - Pengalaman terpaksa berlari seorang diri lebih tiga kilometer (km) akibat dikejar sekumpulan lebah masih terpahat kukuh dalam ingatan Mansor Ibarhim, 64, biarpun kejadian itu sudah bertahun berlalu.
Bagi Mansor, pengalaman itu sama sekali tidak mematahkan semangatnya menjadikan pekerjaan mencari madu sebagai pendapatan utama bagi membesarkan lapan anaknya.
Mansor berkata, bagi menyelamatkan diri daripada disengat haiwan berbisa itu, dia terpaksa terjun ke dalam sungai dan kemudian menyelam beberapa minit untuk mengelakkan dikesan lebah.
“Peristiwa itu masih diingati, berlaku di Kampung Keladang, Salor masa saya seorang diri saja. Waktu itu, baju yang saya pakai terkena kencing lebah masa panjat ambil madu.
“Terus saya lari selamatkan diri bila banyak lebah datang serang, tahu-tahu saja saya sudah lari tiga kilometer sebab takut kena sengat,” katanya.
Menurutnya, itu antara cabaran terpaksa diharungi pencari madu lebah sepertinya yang berdepan risiko disengat, selain memanjat pokok tinggi bagi mendapatkan hasil.
Katanya, dia berkecimpung mencari madu lebah sudah lebih 20 tahun selepas mengikut Allahyarham sepupu yang menjadikan kerjaya itu sebagai punca pendapatan.
“Sebelum ini pendapatan mencari madu agak lumayan, tapi sekarang agak kurang sebab banyak persaingan hebat bila ramai mula mencarinya,” katanya.
Mansor berkata, kebiasaannya dia akan dibantu dua lagi rakannya dalam kerja-kerja mencari madu tersebut.
Katanya, Mei dan Jun merupakan kemuncak dalam kerja mencari madu kerana ketika ini lebah banyak menghasilkan madu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: