Zawiah sedang menggoreng keropok sebelum dijual kepada pelanggannya.
KUALA TERENGGANU - Biarpun harga isi ikan naik kepada 50 sen sekilogram, kebanyakan peniaga tetap menjual keropok di gerai mereka dengan harga sama sebelum ini, supaya pelanggan tidak terkesan dengan kenaikan berkenaan.
Kenaikan harga isi ikan daripada RM5.00 kepada RM5.50 sekilogram itu berlaku sejak Disember lepas, memandangkan ikan berkurangan dan berharap ianya kembali stabil dalam masa terdekat.
Pemilik gerai Keropok Najihah, Zawiah Mohd, 56, berkata, gerainya yang baharu beroperasi Jun tahun lepas tetap mengekalkan harga RM1 sebatang bagi keropok rebus yang bersaiz besar walaupun harga bahan mentah (isi ikan) meningkat naik.
“Saya rasa kalau nak naikkan harga keropok tak patut, lagipun kenaikan hanya 50 sen dan kami masih lagi dapat untung. Mungkin keadaan cuaca yang tidak menentu dan ekonomi semasa menyebabkan kenaikan ini berlaku.
“Bagaimanapun, kenaikan itu diharap tidak lagi berlaku dalam masa terdekat ini, cukuplah 50 sen sahaja,” kata pesara guru yang mengusahakan gerai keropok berkenaan bersama suami, Hamzah Mat Diah, 58, di Jalan Sungai Rengas, di sini.
Sementara itu, ditanya berhubung perniagaannya, Zawiah berkata, dia membuat keputusan untuk bersara pilihan pada umur 56 tahun untuk memberi tumpuan kepada perniagaan berkenaan.
“Selama ini sepanjang saya menjadi guru sejak 34 tahun lalu, tidak pernah terfikir langsung untuk menjadi seorang usahawan apatah lagi mempunyai gerai keropok sendiri,” katanya.
Zawiah menganggap ia adalah rezeki yang tidak dijangka, tambahan pula latar belakang keluarganya ramai yang menceburi bidang perniagaan.
“Semua ini berlaku tanpa diduga, tetapi dengan izin ALLAH SWT serta sokongan daripada keluarga, anak-anak termasuk rakan-rakan, akhirnya perniagaan ini mampu bertahan dan Alhamdulillah, semakin mendapat sambutan saban hari,” cerita ibu kepada lapan anak ini.
Buktinya, pada awal pembukaan gerai itu, Zawiah hanya membekalkan sebanyak 40 kilogram isi ikan sehari, namun kini ia meningkat kepada lebih 150 kilogram.
“Ia cukup mengujakan saya apabila perniagaan ini berkembang dengan begitu cepat, malah mendapat permintaan bukan sahaja di dalam negeri tetapi turut diedarkan ke Johor Bahru dan Kuala Lumpur,” katanya yang membuka gerai setiap hari termasuk hari Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 6.30 petang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: