Monday, February 1, 2016

Law Awang terus dipanggil cikgu




Law Awang terus dipanggil cikgu
Law Awang (kiri) mengunjungi masyarakat Cina peranakan di Kampung Sering, Kedai Lalat.
NAMA ‘Cikgu’ masih abadi dipanggil hingga kini biarpun telah menamatkan perkhidmatan dalam bidang perguruan sejak 2006.
Menariknya pada diri tokoh ini apabila Law Awang yang suatu masa dahulu pernah menjadi Pensyarah dan Penyelaras Kaunselor  di Maktab Perguruan Kota Bharu (sekarang Institut Perguruan Kota Bharu (1991 hingga 1998), selain secara rela menjadi kaunselor  di sekolah.
“Minat saya untuk menjadi kaunselor selepas saya berada di maktab dan menyelaras kursus Perkhidmatan Dalam Kaunseling (KDP) selama 14 minggu yang diberikan kepada guru-guru kaunselor.
“Dari situ saya terfikir, saya pasti dapat menyelami perasaan sebenar klien, menyelesaikan masalah mereka, lalu memohon untuk menjadi kaunselor di SMKJC Chung Hwa dan berkhidmat sehingga pencen pada 2006,” katanya.
Beliau yang pernah menerima Pingat Pengakuan Negara (PPN) semasa Hari Keputeraan Agung Sultan Azlan Shah pada 1991 adalah alumni Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim (Johor).
Mula dipanggil Cikgu di SMK Pertang, Jelebu, Negeri Sembilan pada 1973, beliau kemudian pulang ke Kelantan  dengan mengajar di SMK Badak (Bachok).
“Saya menyambung pengajian ijazah di Universiti Sains Malaysia (USM) yang tamat pada 1981 dan Diploma Kaunseling di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1985/1986.
“Kepuasan belajar kaunseling juga membawa saya menyambung pengajian di Universiti New Castle (England) dari 1995 hingga 1996,” katanya.
Pulang ke Kelantan, ketika itulah beliau menjadi pensyarah maktab, namun cinta yang membuak-buak terhadap bidang kaunseling mengheretnya untuk mendekati jiwa pelajar.
“Ketika berada di sekolah, saya banyak menyelesaikan masalah yang dihadapi, mengurangkan tekanan dengan memberi nasihat dan memberi cadangan terbaik untuk memilih bidang serta universiti terbaik kepada mereka.
“Satu kepuasan yang sukar diluahkan dengan kata-kata apabila satu masalah dapat dirungkai dan diselesaikan, malah perasaan itulah yang saya cari dalam setiap klien saya,” katanya. 
Biarpun sudah lama meninggalkan bidang pendidikan, namun Cikgu Law Awang masih lekat dipanggil nama tersebut, malah turut dilantik dengan beberapa jawatan untuk membantu komuniti. 
Antaranya, Pengerusi Komuniti 1Malaysia Kelochor, Panel Penasihat Mahkamah, Kaunselor Panel Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Kelantan, Penasihat Persatuan Peranakan Cina Kelantan dan Setiausaha Pasukan Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Jajahan Kota Bharu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: