Sunday, May 4, 2014

RIMBUNAN pohon yang tumbuh menghijau kelihatan melambai-lambai tatkala desiran angin pantai menghembus perlahan ke arah Pulau Nangka di perairan Selat Melaka. Pulau berbatu yang terletak kira-kira 4 kilometer dari Pulau Besar, Melaka itu dikenali dalam kalangan orang awam disebabkan keindahan semula jadi yang dimilikinya. Selain air laut yang jernih, pasir-pasir halus berwarna putih turut menyelimuti seluruh pesisiran pantainya. Namun begitu, sejak beberapa bulan lalu, pulau yang tidak berpenghuni itu mula menjadi tumpuan berikutan dakwaan ia menyimpan harta karun bernilai berbilion ringgit, milik sultan terakhir Kesultanan Melayu Melaka, Sultan Mahmud Shah. Dokumentasi Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Universiti Malaysia Perlis, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, dokumentasi yang terdapat dalam sejarah Malaysia menunjukkan Sultan Mahmud Shah telah melarikan diri selepas dikejar oleh Portugis. “Saya rasa ada benarnya dakwaan sesetengah pihak bahawa wujud harta karun di pulau tersebut memandangkan pada waktu itu, Sultan Mahmud melarikan diri ke beberapa kawasan seperti Bertam, Batu Hampar dan Pagoh. “Dalam usaha untuk menyelamatkan hartanya daripada dirampas oleh pihak Portugis, tidak mustahil Sultan Mahmud ada menyimpan sebahagian daripada harta-hartanya di beberapa tempat dan salah satu daripada longgokan harta tersebut berkemungkinan ada di pulau tersebut,” ujarnya kepada Jurnal. GAMBAR sebahagian pekerja yang menjalankan operasi memburu harta karun yang dirakam baru-baru ini. Namun begitu, ujar Ramlah, peristiwa yang berlaku pada tahun 1511 itu telah berlalu kira-kira 800 tahun. Jika benar harta karun wujud di pulau tersebut, usaha untuk mencari galinya mungkin mengambil masa yang agak lama kerana ia telah tertimbun jauh ke dasar pulau. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Negeri Melaka, Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata, kewujudan harta karun tersebut tidak dapat disangkal lagi selepas pihaknya melihat beberapa keping foto daripada pihak tertentu yang pernah memasuki gua yang ada di pulau tersebut. “Setelah meneliti rakaman foto individu yang pernah masuk ke kawasan tersebut, dan mengkaji sejarah Kesultanan Melayu Melaka, saya percaya harta karun itu benar-benar wujud. “Tetapi, harta tersebut amat sukar untuk diperoleh walaupun pelbagai usaha mencari dijalankan sejak 30 tahun lalu,” katanya. Ujarnya, hal tersebut berkemungkinan disebabkan kekangan perkakasan yang digunakan memandangkan operasi pencarian di kawasan berbatu itu memerlukan peralatan moden yang berteknologi tinggi. Operasi mencari harta karun Sultan Mahmud diperluaskan sejak empat bulan lalu dengan pelantikan syarikat Smart Partnership International (M) Sdn. Bhd., yang dipertanggungjawabkan untuk mencari gali harta tersebut. Menurut Pengarah Urusannya, Mohammad Foad Khushairy Mohd. Said, pihaknya mula menjejakkan kaki ke pulau tersebut pada bulan Julai 2012 setelah diberi kepercayaan oleh pihak kerajaan untuk menjalankan misi tersebut. “Pada waktu itu, kami hanya menjalankan penyelidikan mengenai harta karun seperti yang digembar-gemburkan umum. “Namun, selepas menemui beberapa petanda yang menunjukkan kewujudan harta karun di pulau itu seperti ukiran batu berbentuk bulan sabit, kami yakin dakwaan tersebut benar,” ujarnya. BATU di permukaan pulau diimbas menggunakan mesin pengimbas sebelum ditebuk dengan mesin penggerudi. Pulau batu Bukan itu sahaja, tambah Foad, di permukaan batu tersebut, turut tertera perkataan seperti nama manusia, iaitu Muhammad bin Abdullah dan Almahdi selain penemuan lakaran orang Islam menunaikan solat dan batu berbentuk buah nangka. Penelitian awal mendapati, kesemua batu tersebut diperbuat daripada batu kuarza sebelum dicantum pada batu laut. Jelasnya, keseluruhan operasi yang dijalankan sejak awal tahun lalu itu menelan belanja kira-kira RM1 juta yang meliputi penyediaan peralatan, tenaga kerja dan logistik. “Dalam usaha mengesan harta karun tersebut, kami menggunakan alat pengimbas bumi berteknologi tinggi. Hasil imbasan tersebut, kami yakin wujud harta karun dan artifak di pulau ini. “Jadi, untuk mendapatkan barangan tersebut, kami terpaksa membuat pintu baharu bagi menembusi ruang bawah kawasan ini dan membolehkan kami masuk ke dalam bilik-bilik yang terdapat di sini,” ujarnya. Tambah Foad, hasil daripada imbasan awal yang dijalankan, pulau tersebut didapati mempunyai 20 buah bilik. Kesemua bilik tersebut dipercayai dibina pada zaman kemuncak Kesultanan Melayu Melaka. Disebabkan dinding batu jenis berlian kuari itu mempunyai ketebalan sehingga 5 meter, selain berketinggian 8 meter dari puncak bukit, syarikat tersebut terpaksa mengambil masa selama hampir dua tahun bagi menjalankan kerja-kerja penebukan lubang. Sebelum ditebuk, kesemua dinding diimbas menggunakan mesin pengimbas khas bagi mengenal pasti lorong-lorong yang boleh ditembus masuk. “Pada mulanya kami hanya menggunakan seramai 23 tenaga kerja yang pakar dalam melakukan kerja-kerja menebuk bongkah konkrit. “Namun, disebabkan struktur batu yang dibina terlalu kukuh dan padat, kami mengalami kesukaran untuk menebuk dinding tersebut sehingga terpaksa menambah bilangan tenaga kerja seramai 17 orang lagi pada Isnin lalu,” ujarnya. LUBANG gua yang menjadi laluan utama ke ruang yang menempatkan harta karun. Artifak Usaha keras yang dilakukan selama hampir empat bulan itu membuahkan hasil sekali gus membuktikan kewujudan harta karun di pulau tersebut apabila dua keping syiling berjaya ditemui pada malam Khamis lalu. Kedua-dua artifak itu ditemui dengan diameter 6 sentimeter berbentuk bulat dan berwarna kuning. “Salah satu daripada artifak tersebut dipercayai daripada zaman kerajaan Majapahit berdasarkan lima barisan huruf yang tertera di permukaannya manakala artifak kedua bertulis kalimah Allah dalam tulisan jawi. “Artifak tersebut ditemui dalam keadaan berpasir di dalam tiub penggerudi ketika salah seorang pekerja kami menggerudi dinding batu,” ujarnya. Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, syiling tersebut akan dihantar ke makmal dan Jabatan Wasiran Negara bagi memastikan keasliannya. “Prosedur tersebut dilaksanakan bagi memastikan sama ada medal tersebut diperbuat daripada emas atau tembaga selain mengetahui usianya. “Selain itu, ujian itu perlu bagi memastikan artifak tersebut memang benar berasal dari zaman Kesultanan Melayu Melaka,” katanya. Tambah Idris, jika kesemua harta di Pulau Nangka berjaya ditemui dan dibawa keluar, ia akan diserahkan mengikut Akta Warisan Negara. Namun jika harta tersebut ditemui, tetapi gagal dibawa keluar, pihaknya akan menjadikan pulau tersebut sebagai produk pelancongan baharu negeri Melaka.




RIMBUNAN pohon yang tumbuh menghijau kelihatan melambai-lambai tatkala desiran angin pantai menghembus perlahan ke arah Pulau Nangka di perairan Selat Melaka.
Pulau berbatu yang terletak kira-kira 4 kilometer dari Pulau Besar, Melaka itu dikenali dalam kalangan orang awam disebabkan keindahan semula jadi yang dimilikinya. Selain air laut yang jernih, pasir-pasir halus berwarna putih turut menyelimuti seluruh pesisiran pantainya.
Namun begitu, sejak beberapa bulan lalu, pulau yang tidak berpenghuni itu mula menjadi tumpuan berikutan dakwaan ia menyimpan harta karun bernilai berbilion ringgit, milik sultan terakhir Kesultanan Melayu Melaka, Sultan Mahmud Shah.
Dokumentasi
Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Universiti Malaysia Perlis, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, dokumentasi yang terdapat dalam sejarah Malaysia menunjukkan Sultan Mahmud Shah telah melarikan diri selepas dikejar oleh Portugis.
“Saya rasa ada benarnya dakwaan sesetengah pihak bahawa wujud harta karun di pulau tersebut memandangkan pada waktu itu, Sultan Mahmud melarikan diri ke beberapa kawasan seperti Bertam, Batu Hampar dan Pagoh.
“Dalam usaha untuk menyelamatkan hartanya daripada dirampas oleh pihak Portugis, tidak mustahil Sultan Mahmud ada menyimpan sebahagian daripada harta-hartanya di beberapa tempat dan salah satu daripada longgokan harta tersebut berkemungkinan ada di pulau tersebut,” ujarnya kepada Jurnal.

GAMBAR sebahagian pekerja yang menjalankan operasi memburu harta karun yang dirakam baru-baru ini.


Namun begitu, ujar Ramlah, peristiwa yang berlaku pada tahun 1511 itu telah berlalu kira-kira 800 tahun. Jika benar harta karun wujud di pulau tersebut, usaha untuk mencari galinya mungkin mengambil masa yang agak lama kerana ia telah tertimbun jauh ke dasar pulau.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Negeri Melaka, Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata, kewujudan harta karun tersebut tidak dapat disangkal lagi selepas pihaknya melihat beberapa keping foto daripada pihak tertentu yang pernah memasuki gua yang ada di pulau tersebut.
“Setelah meneliti rakaman foto individu yang pernah masuk ke kawasan tersebut, dan mengkaji sejarah Kesultanan Melayu Melaka, saya percaya harta karun itu benar-benar wujud.
“Tetapi, harta tersebut amat sukar untuk diperoleh walaupun pelbagai usaha mencari dijalankan sejak 30 tahun lalu,” katanya.
Ujarnya, hal tersebut berkemungkinan disebabkan kekangan perkakasan yang digunakan memandangkan operasi pencarian di kawasan berbatu itu memerlukan peralatan moden yang berteknologi tinggi.
Operasi mencari harta karun Sultan Mahmud diperluaskan sejak empat bulan lalu dengan pelantikan syarikat Smart Partnership International (M) Sdn. Bhd., yang dipertanggungjawabkan untuk mencari gali harta tersebut.
Menurut Pengarah Urusannya, Mohammad Foad Khushairy Mohd. Said, pihaknya mula menjejakkan kaki ke pulau tersebut pada bulan Julai 2012 setelah diberi kepercayaan oleh pihak kerajaan untuk menjalankan misi tersebut.
“Pada waktu itu, kami hanya menjalankan penyelidikan mengenai harta karun seperti yang digembar-gemburkan umum.
“Namun, selepas menemui beberapa petanda yang menunjukkan kewujudan harta karun di pulau itu seperti ukiran batu berbentuk bulan sabit, kami yakin dakwaan tersebut benar,” ujarnya.

BATU di permukaan pulau diimbas menggunakan mesin pengimbas sebelum ditebuk dengan mesin penggerudi.


Pulau batu
Bukan itu sahaja, tambah Foad, di permukaan batu tersebut, turut tertera perkataan seperti nama manusia, iaitu Muhammad bin Abdullah dan Almahdi selain penemuan lakaran orang Islam menunaikan solat dan batu berbentuk buah nangka.
Penelitian awal mendapati, kesemua batu tersebut diperbuat daripada batu kuarza sebelum dicantum pada batu laut.
Jelasnya, keseluruhan operasi yang dijalankan sejak awal tahun lalu itu menelan belanja kira-kira RM1 juta yang meliputi penyediaan peralatan, tenaga kerja dan logistik.
“Dalam usaha mengesan harta karun tersebut, kami menggunakan alat pengimbas bumi berteknologi tinggi. Hasil imbasan tersebut, kami yakin wujud harta karun dan artifak di pulau ini.
“Jadi, untuk mendapatkan barangan tersebut, kami terpaksa membuat pintu baharu bagi menembusi ruang bawah kawasan ini dan membolehkan kami masuk ke dalam bilik-bilik yang terdapat di sini,” ujarnya.
Tambah Foad, hasil daripada imbasan awal yang dijalankan, pulau tersebut didapati mempunyai 20 buah bilik. Kesemua bilik tersebut dipercayai dibina pada zaman kemuncak Kesultanan Melayu Melaka.
Disebabkan dinding batu jenis berlian kuari itu mempunyai ketebalan sehingga 5 meter, selain berketinggian 8 meter dari puncak bukit, syarikat tersebut terpaksa mengambil masa selama hampir dua tahun bagi menjalankan kerja-kerja penebukan lubang.
Sebelum ditebuk, kesemua dinding diimbas menggunakan mesin pengimbas khas bagi mengenal pasti lorong-lorong yang boleh ditembus masuk.
“Pada mulanya kami hanya menggunakan seramai 23 tenaga kerja yang pakar dalam melakukan kerja-kerja menebuk bongkah konkrit.
“Namun, disebabkan struktur batu yang dibina terlalu kukuh dan padat, kami mengalami kesukaran untuk menebuk dinding tersebut sehingga terpaksa menambah bilangan tenaga kerja seramai 17 orang lagi pada Isnin lalu,” ujarnya.

LUBANG gua yang menjadi laluan utama ke ruang yang menempatkan harta karun.


Artifak
Usaha keras yang dilakukan selama hampir empat bulan itu membuahkan hasil sekali gus membuktikan kewujudan harta karun di pulau tersebut apabila dua keping syiling berjaya ditemui pada malam Khamis lalu.
Kedua-dua artifak itu ditemui dengan diameter 6 sentimeter berbentuk bulat dan berwarna kuning.
“Salah satu daripada artifak tersebut dipercayai daripada zaman kerajaan Majapahit berdasarkan lima barisan huruf yang tertera di permukaannya manakala artifak kedua bertulis kalimah Allah dalam tulisan jawi.
“Artifak tersebut ditemui dalam keadaan berpasir di dalam tiub penggerudi ketika salah seorang pekerja kami menggerudi dinding batu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, syiling tersebut akan dihantar ke makmal dan Jabatan Wasiran Negara bagi memastikan keasliannya.
“Prosedur tersebut dilaksanakan bagi memastikan sama ada medal tersebut diperbuat daripada emas atau tembaga selain mengetahui usianya.
“Selain itu, ujian itu perlu bagi memastikan artifak tersebut memang benar berasal dari zaman Kesultanan Melayu Melaka,” katanya.
Tambah Idris, jika kesemua harta di Pulau Nangka berjaya ditemui dan dibawa keluar, ia akan diserahkan mengikut Akta Warisan Negara.
Namun jika harta tersebut ditemui, tetapi gagal dibawa keluar, pihaknya akan menjadikan pulau tersebut sebagai produk pelancongan baharu negeri Melaka.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: