Friday, May 9, 2014

Jeriji besi bukan penghalang



TATKALA sekumpulan banduan wanita mula menguntum senyuman sebaik melihat kehadiran anggota keluarga masing-masing, riak wajah Nancy (bukan nama sebenar) mulai berubah sayu.
Kelopak matanya digenangi air jernih yang kemudian laju menuruni pipinya. Menyedari dirinya diperhatikan, Nancy pantas menyeka air mata yang mengalir lantas ditukar dengan senyum hambar.
Redup wajahnya merenung rakan-rakan banduan yang gembira memeluk erat insan-insan tersayang sedikit terkesan di hati. Hadiah yang telah pun disediakan buat anak-anaknya di atas meja hanya dipandang sepi.
Bagaimanapun, kegundahan hati Nancy akhirnya terlerai jua apabila mendengar suara anak bongsunya yang berusia sembilan tahun memanggil namanya melalui mikrofon.
“Mommy, I love you mommy. Happy Mother’s Day mommy,” demikian ucapan tulus dari mulut seorang anak yang kehilangan kasih sayang seorang ibu sejak lapan tahun lalu yang dipisahkan oleh tirai besi.
Pelukan erat diiringi tangisan kegembiraan antara ibu dan anak ternyata meruntun banyak jiwa yang berada di pekarangan Penjara Wanita Kajang, Selangor sempena siaran langsung program Wanita Hari Ini (WHI) itu.
Episod istimewa menerusi segmen Mesej Dari Penjara itu diadakan sempena meraikan sambutan Hari Ibu sekali gus menunjukkan betapa murninya kasih sayang wanita bergelar ibu.
Menurut Nancy, seorang banduan dari Filipina yang dipenjara di bawah Seksyen 13 Akta Pemerdagangan Orang 2007, dia bersyukur kerana terpilih menyertai program itu yang memberi peluang untuk bertemu dengan empat orang anak yang amat dirindui.
“Sewaktu ditangkap bersama suami, anak bongsu saya baru berusia setahun. Saya hanya mampu menangis ketika itu apabila mengenangkan nasib anak-anak. Tetapi, saya sempat berpesan kepada abang dan kakak-kakaknya agar menjaga dia dengan baik,” luah Nancy yang akan dibebaskan pada 14 Februari 2018.
Pada kesempatan itu, Nancy berpeluang memakaikan baju baharu dan menyuapkan makanan buat anaknya yang tidak dapat merasai curahan kasih seorang ibu lantaran kesilapan yang dilakukan.
Selain Nancy, seramai 11 banduan lagi dapat meraikan Hari Ibu bersama keluarga tercinta yang dipilih berdasarkan kriteria tertentu seperti menunjukkan disiplin yang baik.

KUCUPAN tulus dari seorang anak buat ibu tercinta menggamit kesayuan di hati pengunjung.


Berdebar
Bagi banduan yang mahu dikenali sebagai Karen, dia mengakui hatinya berdebar untuk berjumpa keluarganya meskipun sebelum ini setiap minggu ada di antara mereka datang melawat.
Ini kerana, pertemuan itu tidak melibatkan sebarang sentuhan, sebaliknya hanya mampu memandang wajah antara satu sama lain yang dipisahkan melalui cermin.
“Sudah empat tahun saya dipenjarakan dan ini kali pertama saya berpeluang memeluk ibu, adik-beradik dan ibu saudara yang hadir dalam program ini.
“Ia satu penghargaan yang amat besar bagi diri saya. Justeru, kepada masyarakat di luar sana, hargailah ibu bapa anda walau siapa pun mereka. Sebagai anak, mereka mungkin akan memarahi atau menasihati kita, tetapi semua itu pasti ada kepentingannya.
“Hormati mereka dan buatlah yang terbaik demi menggembirakan ibu bapa anda,” ungkap Karen yang dipenjarakan atas tuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang kemudian ditukar kepada Seksyen 304 membunuh tanpa niat.
Apabila ditanya, apakah punca kesalahan yang dilakukan, Karen dengan berhemah memohon maaf kerana tidak mahu menceritakan perkara tersebut lantaran mahu melupakannya.
Bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 12 tengah hari hingga 1 petang, WHI merupakan program bual bicara yang memberi tumpuan terhadap topik-topik kaum Hawa. Ia merangkumi isu kewanitaan, kekeluargaan, kesihatan, keinsafan dan fesyen.
SEORANG banduan menghadiahkan sejambak bunga buat ibu tercinta yang menghadiri program segmen Mesej Dari Penjara ini.


Dikendalikan oleh barisan pengacara seperti Azizah Ariffin, Hasfizza Sabjahan, Nor Azzura Azizul Azman, Hazrena Kassim, Teh Syuhaida Sarip, Irin Putri Azmi dan Nabihah Rosdi, WHI terus menjadi pilihan dan rujukan utama golongan wanita selepas 13 tahun program itu disiarkan.
Penerbit Eksekutif WHI, Siti Hatija Yusof memberitahu, pihaknya telah bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia sejak bulan Oktober 2013 untuk segmen Mesej dari Penjara.
Melalui segmen itu, beberapa banduan wanita dibawa ke studio dan berkongsi kisah secara langsung dengan penonton tentang bagaimana mereka terlibat dengan jenayah dan meluahkan kekesalan di atas perbuatan yang dilakukan.
Episod istimewa
“Sesungguhnya, episod istimewa seumpama ini merupakan satu inisiatif yang baik untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan banduan agar mereka tidak rasa dipinggirkan.
“Jika orang lain berpeluang meraikan hari istimewa ini dengan memberikan pelbagai hadiah atau kad ucapan sempena Hari Ibu, banduan wanita di sini juga dapat menyempurnakan impian mereka.
“Kami berharap program ini dapat mencetuskan elemen-elemen kasih sayang untuk disemarakkan oleh golongan banduan bersama ibu mereka serta memberi kesedaran dan keinsafan kepada penonton tentang kepentingan dan keutuhan ibu pertiwi,” jelas Siti Hatija.
Selain bertemu orang tersayang, penghuni-penghuni di Penjara Wanita Kajang turut mempamerkan bakat mereka menghiburkan tetamu yang hadir. Para banduan juga diraikan dalam upacara memotong kek bersama ibu masing-masing yang membangkitkan keriangan di hati.

AZIZAH menemu bual Zawawi mengenai pengorbanan seorang ibu dan tanggungjawab anak terhadap wanita yang melahirkan mereka ke dunia.


Tidak ketinggalan, pakar motivasi dan pendakwah bebas, Datuk Ustaz Mohd. Zawawi Yusoh turut dijemput bagi menyampaikan ceramah kepada banduan dan ahli keluarga mereka agar menginsafi diri di atas ujian yang menimpa.
Pada episod kali ini, ia dikendalikan oleh Hasfizza selaku penerbit dan pengacara siaran yang ditemani Azizah serta Hazrena.
Bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: